Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera,
Alhamdulillah, bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan izin-Nya, Seminar Buku Teks Mendepani Kurikulum Persekolahan 2027 dapat dianjurkan. Seminar ini penting dalam usaha kita memperkasakan kualiti bahan pembelajaran di sekolah. Buku teks merupakan nadi dalam sistem pendidikan di sekolah, terutamanya dalam konteks Malaysia yang kini menuju era pendidikan yang lebih berorientasikan digital. Dalam pelaksanaan Kurikulum Persekolahan 2027, buku teks bukan sahaja berfungsi sebagai sumber rujukan utama, tetapi juga memainkan peranan penting dalam membentuk pemikiran, sikap, sahsiah, dan nilai generasi muda. Buku teks yang relevan dan kemas kini dapat membantu memperkukuh penguasaan ilmu pengetahuan serta memupuk kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif. Oleh itu, penyemakan dan pengemaskinian buku teks adalah langkah yang perlu dilaksanakan secara berterusan bagi memastikan kandungannya sentiasa sesuai dengan perkembangan semasa dan mampu memenuhi keperluan pendidikan abad ke-21. Langkah ini juga selari dengan aspirasi Dasar Pendidikan Digital, yang menekankan penggunaan teknologi untuk meningkatkan kualiti pengajaran pembelajaran serta memperkayakan pengalaman pendidikan murid-murid di sekolah.
Semoga perkongsian ilmu dalam seminar ini menjadi panduan kepada semua pemegang taruh dalam sistem pendidikan supaya bersiap siaga untuk menyokong pelaksanaan Kurikulum Persekolahan 2027. Ini bukanlah suatu kerja yang mudah, tetapi kita mampu melakukannya secara bekerjasama, insya-Allah. Akhir kata, saya mengucapkan terima kasih kepada semua jawatankuasa dan peserta seminar. Semoga seminar ini membawa manfaat yang besar kepada sistem pendidikan kita dan seterusnya kepada negara.
Sekian, terima kasih.
TUAN HJ. AZMAN BIN HJ. ADNAN KETUA PENGARAH PENDIDIKAN MALAYSIA
02
Made with FlippingBook Digital Proposal Creator