JPAN Pahang Tengah
19
Laksana Pelbagai Inisiatif Majukan Koperasi
Oleh : RAHMAT MOHD DID
Ulu Kerut Farm (UKF) milik Koperasi Usahawan Temerloh Pahang Berhad (KUSTEM).
Jawatankuasa Perhubungan ANGKASA Negeri (JPAN) Pahang Tengah sedang giat memajukan Projek Ternakan Ayam Pedaging yang dibangunkan oleh Koperasi Usahawan Temerloh Pahang Berhad (KUSTEM) di FELCRA Ulu Kerut, Maran. Ladang yang dikenali sebagai Ulu Kerut Farm (UKF) ini merupakan ladang ayam tertutup dengan kapasiti jangkaan 200,000 ekor ayam untuk empat reban. Menurut Pengerusinya, Haji Mansor Ab. Rahman, ini adalah projek besar Pahang Tengah dan akan menjadi teladan ( role model ) kepada koperasi kecil yang menjalankan aktiviti ternakan ayam di sekitar Pahang untuk turut sama menjayakannya. Projek yang menelan belanja hampir RM10 juta dijangka dapat memberikan keuntungan bersih sebanyak RM1.49 juta setahun dan titik pulangan modal adalah pada tahun ketujuh. “Pelaksanaan projek ini adalah secara ladang kontrak ( Contract Farming ) di mana pihak integrator akan membekalkan segala input seperti anak ayam, makanan, ubat- ubatan termasuk pemasaran ayam tersebut melalui perjanjian antara penternak dengan integrator. “Anak ayam akan diternak selama 38 hari mulai umur satu hari dan akan habis dijual kepada pihak integrator sekitar umur 45 hari,” katanya. Tambah beliau, projek itu juga akan memberi manfaat besar kepada koperasi di Pahang dengan peningkatan keuntungan kepada koperasi dan anggota, membuka peluang pekerjaan kepada anggota dan anak- anak, harga ayam bersih yang lebih rendah berbanding harga pasaran serta menarik minat lebih ramai orang untuk menyertai koperasi. “Usaha ini juga adalah sebagai menyahut seruan kerajaan yang mahukan pengusaha ternakan ayam tempatan untuk mengurangkan kebergantungan terhadap syarikat pengeluaran ayam besar selain menjamin sekuriti makanan negara,” jelasnya.
Selain itu, JPAN Pahang Tengah juga dalam proses menambah baik kolam ternakan ikan sangkar Konsortium Koperasi Ternakan Ikan Negeri Pahang di Temerloh setelah menerima dana berjumlah RM100,000 daripada Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dan Kumpulan Wang Amanah Pembangunan Koperasi (KWApK). Pengerusinya, Haji Mansor berkata, bantuan tersebut akan digunakan bagi menambah sangkar sedia ada daripada 20 buah kepada 30 buah serta membina stor simpanan makanan ikan. Setiap sangkar menelan belanja RM6,000. “Tahun lepas, keuntungan bersih konsortium ini mencecah RM70,000. Jadi tahun ini kami menjangkakan pulangan yang lebih tinggi iaitu sekitar RM150,000 berdasarkan naik taraf ini. “Saya yakin sasaran ini mampu dicapai kerana permintaan untuk ikan patin sangkar semakin bertambah dan peraih juga mengambil terus ikan secara pukal mengikut sangkar. Stor simpanan makanan juga akan menjadikan proses kerja lebih efisien,” katanya. Konsortium yang telah ditubuhkan sejak tahun 2014 tersebut kini mempunyai keahlian 12 buah koperasi dan JPAN Pahang Tengah menyeru koperasi yang mempunyai kepakaran atau pengusaha individu untuk turut serta menggerakkan usahasama ini bagi meningkatkan pendapatan, memenuhi permintaan pasaran dengan lebih efisien dan mengurangkan peranan orang tengah sekali gus membantu kerajaan mencapai matlamat Bidang Keberhasilan Utama Ekonomi (NKEA) dalam sektor akuakultur. Beliau juga turut mengesahkan Pusat Dialisis ANGKASA yang kini mempunyai dua buah cawangan di Temerloh dan Alor Setar akan ditambah tiga lagi cawangan baharu iaitu di Tapah, Kuala Terengganu dan Semenyih. “Setakat ini, kami sudah mendapat kelulusan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk membina pusat dialisis di Tapah dan akan menggunakan sistem serta fasiliti lebih kurang sama seperti di Temerloh iaitu sembilan buah mesin untuk 35 orang pesakit,” jelasnya.
Haji Mansor Ab. Rahman Pengerusi JPAN Pahang Tengah
Kolam ternakan ikan sangkar Konsortium Koperasi Ternakan Ikan Negeri Pahang di Temerloh yang sedang dinaik taraf.
Pengerusi JPAN Pahang Tengah, Haji Mansor Ab. Rahman melawat Pusat Dialisis ANGKASA di Temerloh.
Lawatan Anggota Lembaga ANGKASA, Dato’ Haji Kamarudin Ismail dan Pengerusi JPAN Pahang Tengah, Haji Mansor Ab. Rahman ke Ulu Kerut Farm (UKF).
Made with FlippingBook. PDF to flipbook with ease