WADAH PELANCAR EDISI NOVEMBER 2023

KOPERASI 12

NOVEMBER 2023

National Land Finance Co-operative Society Ltd. (NLFCS) Cipta Kecemerlangan Bantu Tingkat Taraf Hidup Komuniti India

Oleh WAN ADLINA WAN AB. AZIZ

Prestasi dan pencapaian cemerlang National Land Finance Co-operative Society Ltd. (NLFCS) sejak ditubuhkan pada 14 Mei 1960 membuktikan koperasi tersebut telah melakar kegemilangan yang membanggakan, sekali gus berada sebaris dengan koperasi berjaya yang lain di Malaysia. Pada peringkat awal penubuhannya adalah bertujuan untuk mengatasi masalah pemecahan ladang, namun kini NLFCS Berhad telah berkembang pesat sehingga menjadi koperasi dan institusi perladangan yang berjaya dalam gerakan koperasi negara. NLFCS Berhad yang tersenarai sebagai Koperasi Premier Negara Profil 100 Koperasi Terbaik Malaysia 2023 merupakan satu pengiktirafan tertinggi buat koperasi, sekali gus meletakkannya untuk berada pada kedudukan lima teratas dalam Profil 100 Koperasi Terbaik selama tiga tahun berturut-turut. Kemampuan NLFCS Berhad menguruskan ladang secara besar-besaran di seluruh negara dengan cekap membuktikan sektor perladangan yang menjadi aktiviti utama koperasi mencapai matlamat dan objektif utama penubuhannya, iaitu meningkatkan taraf sosioekonomi pekerja ladang serta menjaga keutamaan menerusi kebajikan anggota. Ikuti wawancara wakil PELANCAR bersama Pengarah Urusan merangkap Setiausaha NLFCS Berhad, YBhg. Datuk B. Sahadevan berkongsi perkembangan, kisah kejayaan dan harapan beliau mengenai NLFCS dalam gerakan koperasi negara. 1. Boleh YBhg. Datuk terangkan secara ringkas mengenai sejarah penubuhan dan latar belakang NLFCS Berhad? Isu pemecahan ladang-ladang getah yang dimiliki oleh pemilik asing terutama dari negara Eropah menjadi masalah yang membimbangkan dalam kalangan pekerja sektor perladangan pada sekitar tahun 1960-an. Hal ini adalah disebabkan pemilik asing itu menjual tanah secara lot kepada masyarakat tempatan untuk mendapatkan keuntungan sehingga menyebabkan kebanyakan pemilik yang terdiri daripada kaum India kehilangan pekerjaan dan tempat tinggal seterusnya menjejaskan ekonomi dan mata pencarian mereka. Berikutan masalah tersebut, Presiden kelima Kongres India Malaya (MIC), mendiang Tun Dr. V. T. Sambanthan dan beberapa warga tempatan yang prihatin telah menubuhkan koperasi yang dikenali sebagai National Land Finance Co-operative Society Ltd. (NLFCS) bagi menyelesaikan masalah yang berlaku dengan menyediakan peluang dan memberi hak milik tanah kepada pekerja. Kewujudan NLFCS Berhad yang diasaskan oleh tokoh terkemuka negara itu akhirnya telah berjaya menguruskan ladang dengan lebih tersusun serta meningkatkan taraf hidup golongan pekerja ladang dan golongan berpendapatan rendah.

Pengarah Urusan merangkap Setiausaha NLFCS Berhad, YBhg. Datuk B. Sahadevan yakin instrumen koperasi dapat membantu meningkatkan taraf hidup anggota dan komuniti setempat.

Wisma Tun Sambanthan, Kuala Lumpur menjadi mercu tanda kejayaan NLFCS Berhad.

2. Apakah perkembangan terkini NLFCS Berhad, khususnya pencapaian dalam sektor perladangan koperasi? NLFCS Berhad sentiasa berusaha dalam mempelbagaikan aktiviti perniagaan bagi meningkatkan pertumbuhan ekonomi koperasi serta komited mencari peluang mengembangkan perniagaan terutama dalam bidang perniagaan komersil yang berskala besar. Pada awal kewujudannya, NLFCS Berhad berfungsi sebagai koperasi hartanah yang menjalankan aktiviti perladangan. Ladang getah pertama yang dimiliki oleh NLFCS Berhad adalah Ladang Bukit Maju, Kedah iaitu seluas 2,900 ekar.

Mendiang Tun Dr. V. T. Sambanthan.

Made with FlippingBook. PDF to flipbook with ease