KOPERASI SEKOLAH 15
NOVEMBER 2023
Perolehan RM1 Juta Koperasi Sekolah: Bukti Komitmen Padu Guru dan Pelajar Koperasi SMK Saujana Utama Sg. Buloh Berhad (KOOPSUTAMA)
Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah bergambar bersama barisan tetamu dan barisan kepimpinan KOOPSUTAMA.
Datuk Seri Dr. Abdul Fattah bersama barisan guru KOOPSUTAMA yang menjadi tulang belakang kepada kejayaan koperasi.
Datuk Seri Dr. Abdul Fattah beramah mesra bersama barisan kepimpinan pelajar KOOPSUTAMA.
Oleh MOHAMAD ZAIRUL HAFIZ SARDIN
Pencapaian Koperasi SMK Saujana Utama Sg. Buloh Berhad (KOOPSUTAMA) meraih jumlah perolehan sebanyak RM1.35 juta pada tahun 2022 membuktikan daya usaha cemerlang koperasi dalam memajukan aktiviti berorientasikan perniagaan, sekali gus menjadi contoh kepada koperasi sekolah yang lain. Gandingan kerjasama guru dan anggota menjadi tunjang kekuatan serta kunci kejayaan koperasi berkenaan. Usaha tersebut wajar diberi pujian atas komitmen yang ditunjukkan ke arah melahirkan modal insan koperasi dalam bidang keusahawanan. Sebagai menghargai kejayaan dan pencapaian tersebut, ANGKASA berbesar hati meraikan KOOPSUTAMA dalam satu Majlis Anugerah Pengiktirafan Perolehan RM1 Juta Koperasi Sekolah bertempat di SMK Saujana Utama, Sg. Buloh, Selangor pada 3 November 2023.
Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah ketika berucap merasmikan majlis tersebut menyatakan, penganjuran majlis seumpama itu adalah satu bentuk penghargaan ANGKASA terhadap koperasi sekolah yang menunjukkan kecemerlangan dalam melonjakkan ekonomi koperasi untuk manfaat anggota dan komuniti setempat. Beliau berkata, sehingga Disember 2022, terdapat 2,481 koperasi sekolah yang berdaftar dengan keanggotaan berjumlah 2.006 juta orang, modal saham dan yuran terkumpul sebanyak RM29.92 juta, aset berjumlah RM439.02 juta serta perolehan mencecah RM298.76 juta. "Angka ini membuktikan bahawa koperasi sekolah memainkan peranan besar dalam menjana pendapatan di samping mampu menyeimbangkan aktiviti pengajaran dan pembelajaran dalam kalangan pelajar.
Sehingga kini, sebanyak 23 buah koperasi sekolah di seluruh negara telah mencapai perolehan berjumlah RM1 juta dan ANGKASA yakin jumlah ini akan dapat ditingkatkan pada masa akan datang," ujarnya. Datuk Seri Dr. Abdul Fattah turut menzahirkan rasa bangga terhadap kesungguhan dan minat yang ditunjukkan oleh anggota koperasi sekolah di seluruh negara dalam menjayakan aspirasi koperasi sekolah sehingga berada pada yang membanggakan. Hadir sama dalam majlis tersebut Penolong Pengarah Unit Pembangunan Bakat Murid, Sektor Pembangunan Bakat, Jabatan Pendidikan Negeri Selangor, Encik Khairul Anuar Abdul Azid dan Timbalan Pengerusi ANGKASA Negeri Selangor, Prof. Dr. Haji Mansor Ahmad @ Ayob. Turut hadir ialah Pengetua SMK Saujana Utama, Puan Hajah Noor Hayati Embong, Penolong Kanan Kokurikulum SMK Saujana Utama, Puan Suzana Aris, Ketua Pegawai Operasi Koperasi SMK Saujana Utama Sg. Buloh Berhad, Encik Saedin Husni dan Pengerusi PIBG SMK Saujana Utama, Encik Azmanizam Baharom.
Made with FlippingBook. PDF to flipbook with ease