WADAH PELANCAR EDISI NOVEMBER 2023

8

ANGKASA, NCMF Meterai MoU

Presiden ANGKASA merangkap Presiden ASEAN Co-operative Organization (ACO), Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah (barisan hadapan dua dari kanan) dan Setiausaha National Commission on Muslim Filipinos (NCMF), Mr. Guiling A.Mamondiong (barisan hadapan tiga dari kanan) menunjukkan dokumen memorandum persefahaman (MoU) yang telah ditandatangani di Manila, Filipina pada 6 November 2023.

Oleh NADIAH KAMARUDIN

ANGKASA telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan National Commission on Muslim Filipinos (NCMF) dalam satu majlis di Pejabat NCMF di Manila, Filipina pada 6 November 2023 sebagai inisiatif untuk memperluaskan lagi kerjasama bagi meningkatkan sosioekonomi masyarakat Islam di negara itu melalui platform koperasi. Memorandum yang meliputi lapan ruang lingkup kerjasama tersebut telah ditandatangani oleh Presiden ANGKASA merangkap Presiden ASEAN Co-operative Organization (ACO), Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah dan Setiausaha NCMF, Mr. Guiling A. Mamondiong. Hadir sama menyaksikan pemeteraian MoU berkenaan ialah Duta Besar Malaysia ke Filipina, Tuan Yang Terutama (TYT) Dato' Abdul Malik Melvin Castelino Anthony. TYT Dato’ Abdul Malik Melvin dalam ucapan beliau berkata, kerjasama itu membuktikan contoh bagaimana koperasi mampu memainkan peranan dalam pembangunan sesebuah negara khususnya membantu golongan minoriti Muslim. “Pemeteraian MoU hari ini yang memfokuskan kepada pembangunan koperasi dalam komuniti Muslim adalah sesuatu yang kami (Kedutaan Besar Malaysia, Manila) sedang usahakan kerana salah satu aspek utama pembangunan sesebuah negara adalah institusi koperasi dan sudah tentu untuk membangunkan persatuan berasaskan komuniti. Saya tahu bahawa ANGKASA sebagai badan puncak gerakan koperasi di Malaysia dapat memberi manfaat kepada penduduk di Filipina terutamanya dalam bidang pembangunan kapasiti,” kata beliau. Tambah beliau, bantuan dan sokongan oleh ANGKASA akan membantu koperasi di Filipina untuk mewujudkan lebih banyak kedai menjual produk halal di negara tersebut supaya dapat meningkatkan permintaan dan seterusnya membina rantaian bekalan yang kukuh. Beliau juga berkata, dalam lawatan rasmi pertama Presiden Filipina, Ferdinand "Bongbong" Romualdez Marcos Jr. ke Malaysia selama tiga hari bermula 25 Julai 2023, pihak kepimpinan kedua-dua negara telah memutuskan bahawa Malaysia dan Filipina akan bekerjasama dalam beberapa sektor utama termasuk industri halal, pembiayaan Islam dan sekuriti makanan. Sementara itu, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah turut menyatakan harapannya supaya model koperasi kariah masjid akan terus berkembang di Filipina dan membawa kepada lebih banyak penubuhan koperasi seumpama itu.

Mr. Guiling A.Mamondiong ketika memberikan ucapan. Turut bersama ialah Pengarah IV, Biro Hal Ehwal Ekonomi Muslim NCMF, Mr. Rahmatol M.Mamukid (kiri sekali).

Duta Besar Malaysia ke Filipina, Tuan Yang Terutama Dato’ Abdul Malik Melvin Castelino Anthony.

“Antara cabaran yang dihadapi oleh koperasi kariah masjid di sini adalah memastikan kelestarian dan pertumbuhan berterusan sambil kekal berdaya saing dan relevan sepanjang masa. Faktor utama untuk perkembangan berterusan koperasi kariah masjid termasuk pemahaman yang jelas dalam kalangan anggota mengenai konsep koperasi, kepentingan mewujudkan pelan strategik dan penglibatan aktif oleh mereka dalam segala aktiviti yang diusahakan oleh koperasi. Kerjasama antara jawatankuasa masjid dengan Ahli Lembaga Koperasi juga penting untuk mengukuhkan peranan koperasi sebagai pusat pembangunan ekonomi dalam masjid dan komuniti tempatan,” kata beliau. Turut hadir ialah Pengerusi Yayasan Infaq ANGKASA, Sahibus Samahah Dato' (Dr.) Haji Nooh Gadot, Pengarah IV, Biro Hal Ehwal Ekonomi Muslim NCMF, Mr. Rahmatol M.Mamukid, Pengurus Program Department of Trade and Industry Halal Industry Development , Mr. Aleem Siddiqui Guiapal dan Ketua Biro Hal Ehwal Ekonomi Muslim NCMF, Mr. Almojin D. Pandapatan. Kepimpinan ANGKASA yang hadir ialah Timbalan Presiden ANGKASA, Dr. Mohd Azlan Yahya serta Anggota Lembaga ANGKASA iaitu Datuk Haji Mohamad Ali Hasan dan Dato’ Haji Kamarudin Ismail.

Barisan Lembaga ANGKASA turut hadir ke majlis menandatangani MoU.

Made with FlippingBook. PDF to flipbook with ease