WADAH PELANCAR EDISI DISEMBER 2023

KOPERASI 18

DISEMBER 2023

Cawangan CBP Miri Penuhi Keperluan Masyarakat Setempat

Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Koperasi Malaysia, Tuan Rusli Jaafar (duduk, enam dari kiri) dan barisan Anggota Lembaga, pengurusan kanan serta kakitangan Co-opbank Pertama Malaysia Berhad (CBP) bergambar di hadapan cawangan CBP Miri, Sarawak pada 1 Disember 2023.

Oleh WAN ADLINA WAN AB. AZIZ

Co-opbank Pertama Malaysia Berhad (CBP) meluaskan lagi cawangannya di Sarawak apabila secara rasmi telah membuka cawangan ke-31 di Miri pada 1 Disember 2023. Pembukaan tersebut telah disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Tuan Rusli Jaafar. Hadir sama dalam majlis tersebut ialah Pengerusi CBP, Datuk Baharom Embi, Timbalan Pengerusi CBP, Hajah Nor Hidayah Omar, barisan Anggota Lembaga CBP dan Ketua Pegawai Eksekutif CBP, Encik Khairil Anuar Mohammad Anuar. Datuk Baharom dalam ucapannya berkata, pembukaan cawangan CBP Miri adalah yang kedua di negeri Sarawak selepas cawangan CBP Kuching dan cawangan ketiga bakal dibuka di Matang Jaya pada suku pertama 2024. Usaha tersebut adalah sejajar dengan strategi CBP untuk membawa produk dan perkhidmatan perbankan secara terus ke Bumi Kenyalang itu. Tambah beliau, selain Sarawak, CBP turut akan mengembangkan perniagaan dengan membuka cawangan di Sandakan dan Papar, Sabah serta di Jerteh, Terengganu pada suku pertama 2024. “CBP kini dalam perancangan untuk mempunyai sekurang- sekurangnya 36 buah cawangan di seluruh negara menjelang tahun 2026 dengan memperkenalkan beberapa produk dan model perniagaan baharu bagi memenuhi keperluan anggota serta pelanggan CBP selaras dengan Pelan Strategik CBP 2022-2026 yang dilancarkan pada 31 Mei 2022,” jelas beliau. CBP telah ditubuhkan pada 7 Jun 1950 dan diiktiraf oleh SKM dan Bank Negara Malaysia sebagai sebuah bank pada September 2014. Sehingga kini, CBP memiliki sejumlah 31 buah cawangan di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak yang menawarkan pelbagai Produk Pembiayaan Individu, Koperasi serta Korporat, Ar-Rahnu, Deposit, Syer Keanggotaan serta Takaful dan Wasiat.

Tuan Rusli (dua dari kiri) ketika merasmikan cawangan CBP Miri. Turut kelihatan ialah Pengerusi CBP, Datuk Baharom Embi (dua dari kanan), Anggota Lembaga CBP, Hajah Nor Hidayah Omar (kiri sekali) dan Ketua Pegawai Eksekutif CBP, Encik Khairil Anuar Mohammad Anuar (kanan sekali).

Tuan Rusli menurunkan tandatangan pada buku pelawat sambil disaksikan oleh Datuk Baharom dan Hajah Nor Hidayah.

Made with FlippingBook. PDF to flipbook with ease