WADAH PELANCAR EDISI OKTOBER 2023

ANGKASA 15

OKTOBER 2023

ANGKASA-UKM Meterai Kerjasama Penyelidikan Tingkatkan Kesedaran Generasi Muda Terhadap Alam Sekitar

Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah (dua dari kiri) dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Penyelidikan dan Inovasi) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Datuk Dr. Wan Kamal Mujani (dua dari kanan) bersalaman sambil menunjukkan dokumen memorandum kerjasama antara ANGKASA dengan UKM. Turut bersama Ketua Pegawai Eksekutif ANGKASA, Dato' Haji Abdullah Haji Jusoh (kiri sekali) dan Pengarah Institut Perubahan Iklim UKM, Prof. Madya Dr. Zaini Sakawi (kanan sekali).

Oleh RAHMAT MOHD DID

ANGKASA menjalinkan kerjasama penyelidikan dengan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dalam usaha meningkatkan kesedaran generasi muda khususnya kepada dua juta anggota koperasi sekolah terhadap isu perubahan iklim dan kepentingan melestarikan alam sekitar serta ekosistem hutan. Kerjasama yang dimeterai dalam tempoh dua tahun bermula Oktober 2023 hingga September 2025 itu diharap dapat memupuk kesedaran mengenai isu alam sekitar, khususnya dalam kalangan koperator berusia 13 hingga 17 tahun. Menurut Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Penyelidikan dan Inovasi) UKM, Prof. Datuk Dr. Wan Kamal Mujani, kerjasama tersebut bakal mengukur sejauh mana kesedaran generasi muda terhadap isu kelestarian alam sekitar serta impaknya menerusi kajian yang dijalankan. Katanya, antara yang menjadi fokus kepada kajian tersebut adalah kesan aktiviti yang dijalankan oleh manusia, impak perubahan iklim jangka pendek dan jangka panjang serta langkah mitigasi dalam mengurangkan impak bagi menangani cabaran perubahan iklim. "Penerbitan pelaporan dan artikel dalam jurnal oleh pihak UKM menerusi kajian ini akan menjadi rujukan kepada pelaksanaan program kesedaran dan aktiviti pemeliharaan alam sekitar oleh anggota koperasi dan juga masyarakat Malaysia secara amnya. Pada masa kini, universiti bukan lagi menjadi medan penghasilan modal insan untuk pasaran negara semata-mata, malah universiti turut berperanan menyumbang kepada pembangunan negara seperti usaha memupuk kesedaran alam sekitar," katanya. Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Menandatangani Memorandum Kerjasama Penyelidikan antara ANGKASA dengan UKM di Kelana Jaya, Selangor pada 13 Oktober 2023. Sementara itu, Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah dalam ucapannya berkata, gerakan koperasi berperanan sebagai perusahaan sosial yang memenuhi keperluan anggota dan masyarakat.

Tetamu kehormat merakamkam gambar kenangan dengan sebahagian mereka yang hadir.

“Isu perubahan iklim ini bukan sahaja memberi kesan kepada persekitaran malah terhadap landskap ekonomi, sosial dan juga politik. Program Penghijauan Malaysia: Koperasi Prihatin Sejuta Pokok merupakan inisiatif ANGKASA menanam sejuta pokok bagi menyokong agenda kerajaan dalam menghijaukan negara melalui Kempen Penanaman 100 Juta Pokok menjelang tahun 2025,” katanya. Tambahnya, program tersebut merupakan bukti kesungguhan dan komitmen ANGKASA menyokong agenda nasional Penghijauan Malaysia seiring dengan inisiatif Matlamat Pembangunan Mampan 2030 (SDG2030) dan Dekad Pemulihan Ekosistem Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) 2021-2030. “Memorandum kerjasama penyelidikan ini merupakan kesinambungan daripada kejayaan memorandum perjanjian (MoA) yang telah ditandatangani antara ANGKASA dengan UKM pada tahun 2021 bagi menyokong agenda Penghijauan Malaysia menerusi usaha pemuliharaan hutan terosot di Kompartment 19, Hutan Simpan Sungai Lalang, Semenyih. Melalui kerjasama tersebut, pihak ANGKASA dan UKM telah membangunkan modul

pendidikan dan pembelajaran bertajuk ‘Sejuta Pokok Segunung Harapan’ yang dimanfaatkan oleh 2,481 buah koperasi sekolah di seluruh Malaysia. Hadir sama dalam majlis tersebut ialah Pengarah Institut Perubahan Iklim UKM, Prof. Madya Dr. Zaini Sakawi, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Sukan, Kokurikulum dan Kesenian, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Haji Hafiz Ridhuan Md. Daud, Pengarah Bahagian Ladang Hutan dan Perlindungan Hutan mewakili Ketua Pengarah Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia, Encik Radhi Chu Abdullah dan Ketua Bidang Mitigasi Perubahan Iklim, Kursi Kelestarian UKM-YSD dan Felo Utama Bersama Institut Perubahan Iklim UKM, Prof. Dr. Mohd Nizam Mohd Said. Barisan kepimpinan ANGKASA yang hadir terdiri daripada Anggota Lembaga ANGKASA, iaitu Dato’ Haji Kamarudin Ismail, Dato’ Haji Che Mohd Shukree Che Isa dan Prof. Madya Dato’ Dr. Haji Abdul Rahman Abdul Razak Shaik, Pengerusi ANGKASA Wilayah Persekutuan, Hajah Sharifah Aminah Syed Mohssain dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan ANGKASA, Dato’ Haji Abdullah Haji Jusoh.

Made with FlippingBook. PDF to flipbook with ease