WADAH PELANCAR EDISI KHAS MAPA 2023

Salam Malaysia MADANI Hala tuju gerakan koperasi pada masa sekarang dilihat lebih fokus kepada misinya untuk meningkatkan ekonomi anggota melalui pulangan hasil perniagaan. Perkara tersebut disebabkan oleh persekitaran sosioekonomi dan kos sara hidup yang agak tinggi selain kehendak anggota koperasi itu sendiri yang mahu supaya kepimpinan koperasi berperanan secara lebih aktif bagi meningkatkan lagi perolehan koperasi. Di sinilah letaknya tanggungjawab paling besar bagi setiap pemimpin koperasi demi memastikan pelaburan dan pelaksanaan aktiviti perniagaan dapat menghasilkan pulangan seperti yang disasarkan. Cabaran ekonomi seperti persaingan yang kuat dan kos operasi yang tinggi sering menyulitkan perniagaan koperasi untuk memberikan yang terbaik kepada pelanggan dan kekal berdaya saing dalam pasaran. Kerajaan sedar bahawa kepimpinan koperasi amat memerlukan banyak input, sokongan dan bantuan agar setiap perancangan dan pelaksanaan yang digagaskan tidak tersasar daripada landasan. Justeru, KUSKOP telah melaksanakan beberapa pelan ekonomi komprehensif bersama SKM dan IKMa bagi membantu koperasi untuk terus konsisten dalam perniagaan masing-masing. Antara yang diberi penekanan adalah Program Pemerkasaan Rantaian Bekalan Koperasi atau SCOPE. Program tersebut dilihat sebagai pemudah cara bagi membangun dan menaik taraf Pusat Pengedaran dan Pusat Pengumpulan Koperasi. Inisiatif tersebut sekali gus dapat memberi peluang kepada sektor perniagaan koperasi untuk berkembang dengan lebih maju. Saya mengucapkan syabas dan terima kasih kepada ANGKASA kerana telah banyak membantu meningkatkan pembangunan perniagaan koperasi menerusi pelbagai inisiatif bimbingan yang berkesan. Selamat bersidang diucapkan kepada semua perwakilan MAPA 2023. Semoga gerakan koperasi di Malaysia terus subur dan kekal lestari.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) YB Datuk Ewon Benedick

Terima kasih.

YB Datuk Ewon Benedick

Made with FlippingBook. PDF to flipbook with ease