Assalamualaikum dan Salam Malaysia MADANI
ANGKASA selaku badan Apeks gerakan koperasi negara mempunyai iltizam yang teguh untuk melihat sektor perniagaan koperasi bergerak seiring dengan arus pembangunan teknologi dan sosioekonomi semasa. Sepanjang 52 tahun usia penubuhannya, ANGKASA terus komited melestarikan gerakan koperasi melalui pelbagai program pembangunan perniagaan dan tadbir urus korporat. Selaras dengan Dasar Keusahawanan Nasional (DKN 2030) yang menyasarkan perolehan sektor koperasi sebanyak RM60 bilion menjelang 2025, usaha yang lebih kuat bagi mencapai sasaran tersebut perlu juga diimbangi dengan inisiatif yang lebih menjimatkan bagi memaksimakan perolehan bersih. Justeru, ANGKASA kini memberi tumpuan kepada pendekatan digitalisasi dalam pengurusan perniagaan koperasi dengan matlamat dapat membantu meringankan kos operasi perniagaan dan pengurusan koperasi. Banyak perkara yang bersangkutan dengan tadbir urus perniagaan koperasi memerlukan belanja yang tinggi. Perkara ini jika tidak diatasi, koperasi akan berhadapan dengan masalah kewangan dan lebih dibimbangi, terpaksa menghentikan operasi perniagaan. Oleh itu, ANGKASA berusaha mencari alternatif berkesan bagi membantu memperkasakan lagi pengurusan koperasi selain menjimatkan kos operasi. Pelan digitalisasi menjadi salah satu pendekatan yang kini sedang diperkasakan. Pelaksanaan Mesyuarat Agung Perwakilan ANGKASA (MAPA) 2023 yang dijalankan secara hibrid menerusi aplikasi e-MAPA juga menjadi antara contoh pendekatan pengurusan berorientasikan digitalisasi dan berjaya dipraktikkan dengan berkesan dan efisien. Selain itu, ANGKASA juga turut menterjemahkan sumbangan warga kerjanya secara lebih profesional dalam menjana pembangunan koperasi melalui program latihan dan bimbingan berkesan serta bersepadu. Kepada seluruh kepimpinan koperasi, anda adalah nadi utama dalam menentukan tahap prestasi koperasi. Semoga terus bersemangat dan berusaha dengan lebih kuat. ANGKASA sentiasa bersama anda dalam memberikan bantuan dan khidmat sokongan dari semasa ke semasa. Terima kasih dan selamat bersidang kepada semua perwakilan MAPA 2023.
Presiden ANGKASA merangkap Presiden ASEAN Co-operative Organization (ACO) Naib Presiden International Co-operative Alliance-Asia and Pacific (ICA-AP) Datuk Seri Dr. Abdul Faah Haji Abdullah
Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Haji Abdullah
Made with FlippingBook. PDF to flipbook with ease