PENGANTARABANGSAAN KOPERASI 18
JULAI 2023
Usaha Perluas Model Koperasi Sekolah dan Koperasi Kariah Masjid di Peringkat Antarabangsa
Oleh RAHMAT MOHD DID
Datuk Seri Dr. Abdul Fattah berbincang dengan Ketua Pegawai Eksekutif Sokoto State Zakat and Waqf (Endowment) Commission (SOZECOM), Mr. Muhammad Lawal Maidoki.
ANGKASA meneruskan usaha memperluaskan pelaksanaan model koperasi sekolah dan koperasi kariah masjid (KKM) di peringkat antarabangsa menerusi kerjasama dengan negara anggota Ikatan Koperasi Antarabangsa Asia dan Pasifik (ICA-AP) dan ASEAN Co-operative Organization (ACO). Menurut Presiden ANGKASA merangkap Presiden ACO, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah, usaha tersebut selaras dengan Pelan Strategik ANGKASA 2017-2050 (PESAN50) yang memberi fokus terhadap memperhebat hubungan gerakan koperasi negara melalui ICA-AP dan Organisation of Islamic Cooperation (OIC). “Model koperasi sekolah dan KKM adalah antara produk utama koperasi yang diberi keutamaan untuk diketengahkan bukan sahaja di peringkat domestik malah juga di pentas antarabangsa. ANGKASA akan memberi tumpuan terhadap negara rantau Asia Pasifik dan OIC di mana setiap negara disaran mewujudkan sekurang-kurangnya sebuah koperasi sekolah dan sebuah KKM,” ujarnya. Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penutupan program ICA-AP MBO/ACO/ ANGKASA Cooperative Training di Ibu Pejabat ANGKASA, Kelana Jaya pada 25 Mei 2023. Program anjuran Malaysia Business Office (MBO) dengan kerjasama ACO dan Bahagian Hal Ehwal Antarabangsa ANGKASA itu berlangsung selama tiga hari dua malam bermula 22 Mei 2023 dan disertai seramai 31 orang peserta dari Filipina, Kemboja dan Nigeria. Sepanjang program tersebut, peserta yang terlibat diberikan taklimat berkaitan pemantapan jati diri koperasi selain pendedahan mengenai pembangunan KKM dan koperasi sekolah termasuk Sistem Pengurusan Berkomputer ANGKASA (SPBA), Sistem Potongan Gaji ANGKASA (SPGA) serta Yayasan Infaq ANGKASA (YIA). Peserta juga turut dibawa melawat ke koperasi yang telah berjaya iaitu Koperasi Masjid Al-Hasanah Bangi Berhad, Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kuala Kubu Bharu Berhad dan Bank Rakyat. Tambah Datuk Seri Dr. Abdul Fattah lagi, program tersebut bukan sahaja membolehkan ANGKASA menjalin kerjasama diplomatik dan ekonomi dengan negara luar menerusi koperasi, malah juga membuka peluang kepada penerokaan bidang perniagaan baharu di samping berkongsi manfaat berkoperasi. “Dengan kekuatan umat Islam seramai lebih dua bilion orang di peringkat global, koperasi adalah wadah terbaik dalam memakmurkan sosioekonomi negara dan masyarakat," katanya. Hadir sama dalam majlis tersebut ialah Timbalan Presiden ANGKASA, Dato’ Dr. Haji Abdul Rahman Abdul Razak Shaik.
Presiden ANGKASA merangkap Presiden ASEAN Co-operative Organization (ACO), Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah ketika memberikan ucapan dalam program ICA-AP MBO/ACO/ANGKASA Cooperative Training di Ibu Pejabat ANGKASA, Kelana Jaya pada 25 Mei 2023.
Timbalan Presiden ANGKASA, Dato’ Dr. Haji Abdul Rahman Abdul Razak Shaik (berdiri, tengah) bergambar dengan peserta program.
Made with FlippingBook. PDF to flipbook with ease