PENGANTARABANGSAAN KOPERASI 15
OGOS 2024 ANGKASA-UCA Meterai MoU Teroka Peluang dalam Industri Koko
Oleh NADIAH KAMARUDIN
ANGKASA mengorak langkah dalam industri koko dengan memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Uganda Co-operative Alliance (UCA) untuk meneroka peluang dalam bidang eksport dan import biji koko serta produk hiliran berasaskannya. MoU itu telah ditandatangani oleh Anggota Lembaga ANGKASA merangkap Ahli Eksekutif International Co-operative Agricultural Organisation (ICAO), Dato’ Haji Kamarudin Ismail manakala UCA diwakili oleh Setiausaha Agungnya merangkap Naib Presiden ICAO, Mr. Ivan Asiimwe. Pemeteraian yang berlangsung dalam Mesyuarat Agung Tahunan ICAO 2024 di Rome, Itali pada 10 Julai 2024 tersebut turut disaksikan oleh Presiden ICAO yang baharu dilantik, Mr. Kang Ho-dong. Hadir sama ialah Pengurus Besar Kanan Kumpulan Pembangunan Koperasi ANGKASA, Haji Nor Azmi Abd. Jalil. Menurut Dato’ Haji Kamarudin, kerjasama dengan UCA bertujuan untuk menjayakan Projek Inkubator Koko: Pusat Pemprosesan Coklat ‘Single Origin’ berkonsepkan Bean to Bar yang diwujudkan oleh ANGKASA di bawah Projek Pemerkasaan Koperasi 1 (CEP 1) bagi mendapatkan bekalan biji koko kering sekali gus meningkatkan pengeluaran hasil hiliran. Observatory of Economic Complexity juga telah melaporkan Malaysia merupakan antara destinasi utama eksport biji koko bernilai USD11.4 juta oleh Uganda pada tahun 2022. Tambah beliau, objektif projek itu juga adalah untuk memperkasakan penglibatan koperasi dalam sektor huluan dan hiliran dalam industri koko sebagai platform penjanaan pendapatan selain turut boleh menambah nilai melalui penghasilan produk akhir yang menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara. Beliau juga berkata, MoU tersebut turut menunjukkan keberkesanan penglibatan ANGKASA di peringkat antarabangsa, khususnya dalam aktiviti pertanian berskala besar di mana kerjasama pada peringkat tempatan mahupun antarabangsa adalah penting.
Anggota Lembaga ANGKASA merangkap Ahli Eksekutif International Co-operative Agricultural Organisation (ICAO), Dato’ Haji Kamarudin Ismail (kiri) dan Setiausaha Agung Uganda Co-operative Alliance (UCA) merangkap Naib Presiden ICAO, Mr. Ivan Asiimwe (kanan) menunjukkan dokumen Memorandum Persefahaman (MoU). Turut sama ialah Presiden ICAO yang baharu dilantik, Mr. Kang Ho-dong.
Sebagai rekod, keluasan tanaman koko di Malaysia pada tahun 2023 adalah 6,123 hektar berbanding 5,985 hektar pada 2022 dengan pengeluaran berjumlah 269 tan sementara nilai eksport biji koko dan produk koko pada tahun yang sama pula adalah sebanyak RM8.21 bilion. Mesyuarat Agung ICAO telah dipengerusikan oleh Mr. Kang Ho-dong yang membincangkan sembilan perkara antaranya minit Mesyuarat Agung Tahunan ICAO 2023, Rancangan Kerja dan Belanjawan 2024 serta pembentangan Projek Serantau oleh koperasi yang mewakili rantau Afrika, Amerika, Asia dan Eropah. Sebagai salah satu daripada lapan organisasi sektor di bawah Ikatan Koperasi Antarabangsa (ICA). ICAO telah mewakili kepentingan koperasi pertanian di seluruh dunia sejak penubuhannya pada tahun 1951. Organisasi itu mempunyai keanggotaan sebanyak 41 organisasi dari 34 negara merentasi empat rantau tersebut.
Mesyuarat Agung Tahunan ICAO 2024 telah diadakan di Rome, Itali pada 10 Julai 2024.
Made with FlippingBook. PDF to flipbook with ease