WADAH PELANCAR EDISI KHAS MAN 2022

25

Pusat Keusahawanan Komuniti Pendang Bantu perkasa keusahawanan koperasi JPAN KEDAH

Oleh: Mohd Zakuan Azmi

Inisiatif yang dilaksanakan oleh ANGKASA negeri Kedah menerusi Penyewaan Kompleks Bazar Rakyat daripada Majlis Daerah Pendang bagi dijadikan sebagai Pusat Keusahawanan Komuniti adalah bertujuan menjadikannya sebagai pusat setempat bagi membantu memperkasa keusahawanan koperasi. Sejajar dengan peranannya sebagai transit pemasaran produk koperasi khususnya untuk kawasan utara semenanjung, objektif pembentukan Pusat Keusahawanan Komuniti itu juga diharap dapat memberikan pendedahan berguna kepada mana-mana koperasi yang berminat untuk menceburi aktiviti perniagaan dengan kos sewaan yang minimum. Demikian dijelaskan oleh Pengerusi Jawatankuasa Perhubungan ANGKASA Negeri (JPAN) Kedah, Haji Wan Ibrahim Wan Jusoh dalam satu temubual bersama PELANCAR . Menurut beliau, pelbagai perancangan telah pun disusun oleh JPAN Kedah bagi memastikan perjalanan pusat tersebut lancar selain berharap agar koperasi dapat memberikan sokongan dan menjadikan pusat tersebut sebagai landasan kepada peluang ekonomi baharu sekali gus membentuk rangkaian pembekalan sumber ekonomi yang lebih luas.

Selain penyertaan daripada koperasi, ANGKASA sendiri turut membuka 'ANGKASA Mart ' yang menjual barangan keperluan seharian di bawah projek Barangan Asas 100 (BA100) dan 'COOP Wellness' yang menjual pelbagai kelengkapan penjagaan diri serta kesihatan. Produk barangan asas di pusat tersebut dijual dengan harga yang berpatutan seiring dengan matlamat ANGKASA untuk bersama-sama dengan kerajaan menangani kenaikan kos sara hidup rakyat. Katanya, selain lot perniagaan, pusat tersebut juga turut dilengkapi dengan beberapa fasiliti tambahan seperti dewan serbaguna berhawa dingin yang lengkap dengan sistem audio visual dan kemudahan surau. Koperasi yang ingin mengadakan mesyuarat boleh menggunakan kemudahan tersebut dengan menghubungi ANGKASA negeri Kedah untuk mendapatkan maklumat lanjut serta membuat tempahan. ANGKASA negeri Kedah berharap, Pusat Keusahawanan Pendang bukan sahaja dapat memberi manfaat sosioekonomi kepada lebih 600 ribu anggota koperasi ahli ANGKASA di Kedah, malah boleh membantu meningkatkan peluang serta rangkaian perniagaan kepada lebih ramai usahawan koperasi.

Haji Wan Ibrahim Wan Jusoh Pengerusi JPAN Kedah

Menteri Besar Kedah, YAB Dato' Seri Haji Muhammad Sanusi Mohd Nor sewaktu merasmikan Pusat Keusahawanan Komuniti Pendang Sempena Sambutan 50 Tahun ANGKASA pada 25 Januari 2022.

ANGKASA Mart

COOP Wellness

Bazar Rakyat Pendang.

Made with FlippingBook. PDF to flipbook with ease