WADAH PELANCAR EDISI KHAS MAN 2022

26

Peluang Perniagaan Industri Sarang Burung Walit kepada koperasi JPAN PAHANG BARAT (ZON 3)

Oleh: Rahmat Mohd Did

Faktor geografi di kawasan Pahang Barat yang dikelilingi oleh gunung dan bukit banyak mempengaruhi kehadiran spesis burung walit ke daerah tersebut. Kelebihan itu nyata telah membantu merancakkan lagi aktiviti perniagaan berkaitan sarang burung walit. Pengerusi Jawatankuasa Perhubungan ANGKASA Negeri (JPAN) Pahang Barat, Dato’ Syed Ali Syed Mohammad berkata, gerakan koperasi di negeri ini beruntung kerana industri sarang burung walit masih belum diteroka secara serius. Kelebihan tersebut memberi peluang kepada koperasi untuk mempelbagaikan aktiviti perniagaan serta menceburi perniagaan berimpak tinggi sekali gus meningkatkan pendapatan koperasi. “Setakat ini, hanya sebuah koperasi di sini yang telah membina rumah burung walit iaitu Koperasi Agropolitan Gahai di Kuala Lipis. Walaupun masih baharu di peringkat koperasi, namun aktiviti perniagaan ini sebenarnya telah lama bertapak di Malaysia dan permintaannya juga sangat tinggi, bukan sahaja di pasaran tempatan, malahan hingga ke China,” ujarnya. Tambahnya, kini kedai-kedai serbaneka dan stesen minyak juga turut menjual air sarang burung walit. Ini menunjukkan bahawa pasaran komoditi tersebut sedang berkembang dan turut berpotensi untuk dijadikan sebagai industri hiliran kepada koperasi. “Kami sudah mendapatkan pendapat daripada pakar-pakar dalam industri dan menurut mereka, Pahang Barat adalah kawasan terbaik di Malaysia

untuk perusahaan burung walit kerana faktor geografinya, tambahan lagi koperasi di sini juga banyak yang mempunyai lot tanah kosong yang tidak diusahakan. Jika kawasan tersebut berada dalam laluan burung walit, koperasi hanya perlu membina rumah untuk mereka bersarang sahaja. Kos operasi perusahaan ini juga kecil dan tidak memerlukan ramai pekerja. Jadi secara keseluruhan, ia amat berbaloi untuk diceburi oleh koperasi,” jelasnya. Beliau juga bercadang menjadikan Koperasi Agropolitan Gahai sebagai mentor dan mendapatkan pakar-pakar industri untuk mengadakan bengkel bagi menarik minat koperasi lain untuk turut serta dalam perniagaan ini. “Menurut statistik Kementerian Pertanian dan Industri Makanan, dianggarkan kini sudah ada lebih daripada 30,000 rumah burung walit telah dibina di seluruh Malaysia sejak tahun 2008 dan kebanyakannya adalah di kawasan Pahang Barat. Selain sifat perniagaannya yang mesra alam dan kos operasi yang rendah, koperasi di sini juga harus merebut peluang tersebut. Daripada kita biarkan lebih ramai pengusaha dari luar Pahang datang ke sini membina rumah burung walit, mengapa tidak kita sendiri yang memulakannya?,” katanya dengan penuh bersemangat. JPAN Pahang Barat mensasarkan projek ini bakal bermula tahun hadapan dan pada tahun ini, mereka akan giat menganjurkan bengkel dan seminar dahulu untuk menarik minat koperasi.

Dato' Syed Ali Syed Mohammad Pengerusi JPAN Pahang Barat (Zon 3)

Sarang burung walit kaya dengan protein dan mempunyai kandungan karbohidrat dan lemak yang rendah serta berupaya merangsang sistem imun badan.

Rumah burung walit Koperasi Agropolitan Gahai Kuala Lipis Berhad dan hasilnya.

Made with FlippingBook. PDF to flipbook with ease