27
Rancang aktiviti ekonomi kerjasama antara koperasi JPAN PULAU PINANG
Oleh: Nor Azah Abd. Aziz
Selaras dengan prinsip keenam koperasi iaitu 'Bekerjasama di antara Koperasi', Jawatankuasa Perhubungan ANGKASA Negeri (JPAN) Pulau Pinang mahu memberi tumpuan terhadap pelaksanaan program secara lebih bersepadu dengan kerjasama ANGKASA pusat dan sektor koperasi. Pendekatan tersebut penting bagi membantu meningkatkan potensi dan keupayaan dalam usaha JPAN menggerakkan agenda ekonomi secara fokus mengikut kesesuaian dan keperluan koperasi di negeri tersebut. Usaha tersebut seiring dengan hala tuju ANGKASA Pulau Pinang pada tahun 2022, iaitu berteraskan kesantunan kepada koperasi yang berdaftar di bawah negeri Pulau Pinang. Perubahan secara dinamik juga mula dilaksanakan sejak tahun 2021 dan pelbagai program dilaksanakan bersama agensi-agensi yang berkaitan. Pada tahun ini, ANGKASA Pulau Pinang telah mengadakan kerjasama dalam projek harbour cruise Tanjung Waterfront Pulau Pinang di bawah projek Pelancongan Koperasi Sekolah ANGKASA. Sebanyak 20 buah koperasi sekolah akan melibatkan diri dalam projek tersebut. Perkhidmatan yang dijalankan adalah dengan membawa pelancong bersiar-siar di sepanjang pinggir pantai Pulau Pinang dan Seberang Perai. Kawasan-kawasan pelancongan tersebut sebahagiannya adalah milik koperasi dan ia merupakan cara dalam melibatkan negeri dan koperasi bergiat dalam aspek pelancongan. Perkara tersebut juga dalam perbincangan ANGKASA Negeri dengan Jabatan Laut mahupun pihak Jabatan Pelancongan Pulau Pinang dan mendapat sokongan yang menggalakkan. Projek kedua pula melibatkan tanaman secara fertigasi yang terdiri daripada 10 buah koperasi. Projek yang dijalankan di tanah seluas sembilan ekar itu dianugerahkan oleh Jabatan Pertanian Pulau Pinang dan kini dalam proses pembersihan. Projek fertigasi di Taman Kekal Pengeluaran Makanan Ara Kuda itu membolehkan ANGKASA Pulau Pinang mensasarkan sebanyak mungkin
koperasi menyertai projek itu bagi menambah pendapatan mereka. Sebanyak 21 buah koperasi pula dijangka akan terlibat dalam ternakan udang putih (Vannamei Shrimp) dalam kanvas atau kolam ternakan HDPE. Projek berasaskan teknologi Adoption Bio Floc itu bakal dibangunkan di sebuah kawasan milik Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA) di Daerah Barat Daya, Pulau Pinang. Projek seterusnya, adalah pembuatan baja organik yang dipercayai dapat membantu memelihara alam sekitar. Usaha Koperasi Pembangunan Kampung Tradisional Tasek Pulau Pinang Berhad dan juga sektor pertanian dalam membangunkan penyelidikan serta pembuatan produk baja tersebut telah disambut baik oleh pihak ANGKASA. Kaji selidik kini sedang giat dijalankan untuk melihat sama ada projek tersebut berpotensi untuk maju atau sebaliknya. Baja organik mampu meningkatkan keupayaan tanah untuk menampung air dan nutrien dalam tanah dengan lebih cekap. Sementara itu, pusat pengedaran untuk perniagaan peruncitan ANGKASAMart juga dijangka akan dilaksanakan pada Mac 2022. ANGKASA Pulau Pinang turut mengadakan Karnival Jualan Harga Patut pada Disember lalu sempena Sambutan Jubli Emas ANGKASA dan Malaysian Coop Plate. ANGKASA Pulau Pinang turut dijemput menyertai Karnival Jualan Keluarga Malaysia dengan menjual barangan asas dengan harga berpatutan bagi menangani kos sara hidup komuniti. ANGKASA Pulau Pinang turut melaksanakan CSR di Bentong dan Temerloh kepada 30 orang anggota koperasi. Haji Mohd Jamil Othman yang memegang jawatan sebagai Pengerusi JPAN Pulau Pinang sejak tahun 2018, berazam untuk memastikan gerakan koperasi di negeri itu terus berdaya maju, termasuklah membantu koperasi yang dorman. Setinggi-tinggi penghargaan ditujukan kepada ANGKASA Pusat atas bantuan dan tunjuk ajar yang diberikan kepada ANGKASA Pulau Pinang selama ini.
Haji Mohd Jamil Othman Pengerusi JPAN Pulau Pinang
Kepimpinan ANGKASA yang diketuai Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah (duduk) turut berkesempatan meninjau laluan projek Tanjung Waterfront Harbour Cruise Pulau Pinang pada 12 Februari 2020.
Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Dato’ Ir. Haji Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman melawat gerai ‘Malaysian Coop Palte (MCP)’ dan melihat produk-produk yang ditawarkan koperasi pada Disember 2021.
ANGKASA Pulau Pinang turut melaksanakan CSR Bantuan Banjir Sukarelawan Misi Kemanusiaan pada Januari 2022.
Made with FlippingBook. PDF to flipbook with ease