3 ANGKASA
JUN 2022
Jalin Kerjasama Strategik Tingkat Pengeluaran Ayam Segar ANGKASA - Mars Global Sdn. Bhd.
Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah (baju batik) bertukar dokumen MoU bersama Ketua Pegawai Eksekutif Mars Global Sdn. Bhd., Encik Mohd Norulhizam Mohd Ramli.
Sesi lawatan ke kilang pemprosesan ayam Mars Global Sdn. Bhd. di Kulai, Johor pada 13 Jun 2022.
Oleh RAHMAT MOHD DID
Hasil lawatan ANGKASA ke kilang memproses ayam segar Mars Global Sdn. Bhd. di Kulai, Johor pada 13 Jun 2022, satu Memorandum Persefahaman telah dimeterai antara keduanya di ibu pejabat ANGKASA pada 29 Jun 2022 dalam usaha mempertingkatkan bekalan ayam segar dalam pasaran melalui platform koperasi. Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah berkata, ANGKASA menyasarkan penglibatan sekurang-kurangnya 100 buah koperasi dalam industri ternakan ayam halal dengan jangkaan pengeluaran sehingga 30 juta ekor setahun. “Kami amat menghargai penglibatan daripada pelbagai pihak termasuk swasta seperti Mars Global yang sudi bekerjasama untuk memastikan visi ini dapat dicapai seterusnya memberi manfaat bukan sahaja kepada anggota koperasi, malahan seluruh rakyat Malaysia,” katanya. Tiga koperasi yang turut terlibat dalam kerjasama bersama Mars Global Sdn. Bhd. ialah Koperasi Perniagaan Guru-Guru Muar Berhad, Koperasi Pelabuhan Johor Berhad dan Koperasi Kolej Vokasional Tanjung Puteri Berhad. Pengerusi Mars Global Sdn. Bhd., Haji Hadi Abdullah berkata, pihaknya sedang bekerjasama rapat dengan Jawatankuasa Perhubungan ANGKASA Negeri (JPAN) Johor untuk memberi penjelasan kepada 25 koperasi yang berminat di Johor terlebih dahulu sebelum meluaskan projek ke seluruh negara. “Terdapat beberapa model kerjasama yang telah diatur dan boleh diusahakan bersama dengan koperasi. Antaranya adalah pengurusan reban baharu atau sedia ada milik koperasi untuk tujuan ternakan ayam berskala tinggi dan penghasilan produk ayam segar secara Original Equipment Manufacture (OEM) menggunakan jenama koperasi,” ujar beliau.
Datuk Seri Dr. Abdul Fattah (tiga dari kanan) bergambar bersama tiga wakil koperasi yang menceburi industri ternakan ayam selepas majlis menandatangani MoU di Kulai, Johor.
Pengerusi JPAN Johor, Haji Sazali Abd. Hamid pula dalam ucapannya berkata, fokus JPAN Johor adalah untuk mengenal pasti tanah koperasi yang bersesuaian untuk dijadikan ladang ternakan serta usaha untuk mendapatkan geran atau pinjaman mudah daripada kerajaan. Hadir sama adalah Timbalan Presiden ANGKASA, Dato’ Dr. Haji Abdul Rahman Abdul Razak Shaik, Anggota Lembaga ANGKASA, Datuk Haji Mohamad Ali Hasan dan Dato’ Haji Che Mohd Shukree Che Isa; Pengerusi ANGKASA Negeri Johor, Haji Sazali Abd. Hamid; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan ANGKASA, Dato’ Haji Abdullah Haji Jusoh; Penasihat Korporat (Sektor Kerajaan) ANGKASA, Datuk Ahmad Jamil Hashim; Ketua Pegawai Eksekutif Mars Global Sdn. Bhd., Encik Mohd Norulhizam Mohd Ramli; Penasihat Undang-Undang ANGKASA, Dato’ Haji Mohamad Shariff Haji Abu Samah dan Pengurus Besar Bahagian Pengurusan Strategik, Encik Mohd Ismail Ibrahim.
Dari Meja Presiden
Isu peningkatan harga dan bekalan ayam semasa yang melanda negara benar-benar membimbangkan sehingga menyebabkan kerajaan dan pelbagai pihak mengambil peranan proaktif menangani isu ini dengan kadar segera. Sebagai badan apeks kepada gerakan koperasi negara, ANGKASA tidak terkecuali memainkan peranan membantu kerajaan dalam menangani masalah kenaikan harga ayam yang pada dasarnya sektor koperasi juga terlibat secara signifikan dalam industri ternakan ayam. Usaha proaktif ini adalah selaras dengan saranan Majlis Tindakan Ekonomi (EAC) ke arah memperkukuh kerjasama awam dan swasta khususnya dalam meningkatkan hasil pertanian terutamanya industri ternakan ayam. Langkah awal ANGKASA dan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) bakal menjadi penanda aras kepada usaha untuk terlibat dalam keseluruhan ekosistem industri ayam bagi menjamin sekuriti makanan negara. ANGKASA menaruh keyakinan dengan sokongan padu keanggotaan tujuh juta ahli melalui 14,835 koperasi akan berupaya
membantu kerajaan menangani masalah kenaikan harga ayam dan bekalan makanan negara. Dalam hal ini, ANGKASA akan memainkan peranan dalam ekosistem industri ayam melalui penyertaan koperasi secara langsung dalam sektor penternakan. Strategi mewujudkan platform model ‘Reban Komuniti’ atau ‘Community Farm’ dalam sektor koperasi diharap dapat merealisasikan usaha menangani masalah kekurangan bekalan ayam negara sekali gus menstabilkan kembali harga ayam dalam pasaran. Sebagai penyedia platform dalam bidang penternakan, ANGKASA menggalakkan syarikat pengusaha industri ayam untuk bersama mewujudkan konsep model sebegini yang dapat menjadi pelengkap kepada industri sedia ada selain memastikan keselamatan makanan negara terjamin.
Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Haji Abdullah Presiden ANGKASA
Made with FlippingBook. PDF to flipbook with ease