WADAH PELANCAR EDISI JUN 2022

7

AURA Fokus Tingkatkan Kapasiti Keusahawanan

Oleh: Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah Presiden ANGKASA

Pengerusi Bersama Jawatankuasa Pemandu AURA

AURA mampu berperanan sebagai pusat kecemerlangan koperasi yang memberi fokus kepada pembangunan kapasiti keusahawanan, kepimpinan dan perniagaan untuk koperasi yang masih kurang berkemahiran dalam lapangan atau aktiviti yang diceburi. Perkara tersebut juga sesuai dengan kepakaran UMK sebagai universiti yang ditubuhkan khusus untuk menerajui pendidikan keusahawanan negara dan ANGKASA sebagai badan puncak yang menerajui pembangunan perniagaan koperasi khususnya dalam meningkatkan kemahiran keusahawanan selaras dengan pendigitalan dunia perniagaan hari ini. AURA telah mengambil langkah proaktif melaksanakan Kursus Pemerkasaan Kepimpinan Keusahawanan untuk kepimpinan dan pengurusan tertinggi ANGKASA di Langkawi sebagai projek rintis yang mana pada pandangan saya, kursus tersebut wajar diperluas kepada koperasi. Saya difahamkan kursus Pemerkasaan Kepimpinan Koperasi itu telah diinovasikan melibatkan kepakaran UMK, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dan ANGKASA yang bakal dilaksanakan pada tahun ini melalui Bahagian Pembangunan Sumber Manusia ANGKASA dengan kerjasama AURA. Apa yang menariknya, kursus tersebut bukan sahaja terbuka kepada pengurusan koperasi (JAD, ALK dan Pengurusan) tetapi juga pengurusan di peringkat kementerian dan agensi berkaitan (KUSKOP, SKM, IKMa, ANGKASA), GLC dan rakan strategik ANGKASA. Ini bagi membentuk integrasi; kesatuan; kesepaduan dan kerjasama serta muafakat yang tinggi dalam menggerakkan pencapaian dan kemajuan gerakan koperasi selaras dengan Aspirasi Koperasi Malaysia dan Pelan Transformasi Koperasi Malaysia (TransKoM) 2021-2025. Keduanya, menggerakkan secepat mungkin dan memperkasakan penyelidikan dalam bidang koperasi yang masih kurang dan belum diteroka sepenuhnya. Gerakan koperasi dan ANGKASA memerlukan kepakaran UMK dalam menjalankan dan menghasilkan penyelidikan bersama yang berkredibiliti dalam bidang koperasi. Pencapaian penyelidikan bertaraf nasional dan antarabangsa juga diharap dapat memberikan sumbangan kepada kemajuan koperasi sekali gus meletakkan AURA sebagai pusat rujukan dan kecemerlangan koperasi di Malaysia, sejajar dengan matlamat utama penubuhannya. Saya percaya, AURA telah menggariskan penyelidikan koperasi sebagai keutamaan dalam perancangan tahun 2022. Saya juga amat berharap agar AURA dapat berkolaborasi dengan

IKMa bagi menjalankan penyelidikan kajian kes berkaitan Koperasi Kariah Masjid (KKM) dalam masa terdekat selaras dengan resolusi yang dipersetujui semasa Persidangan Koperasi Kariah Masjid Peringkat Kebangsaan 2022. Saya juga berharap penyelidikan mengenai koperasi dapat diperhebatkan dalam sektor- sektor utama koperasi. Data dan penemuan ini bukan sahaja berguna dan menjadi asas penting dalam membuat keputusan dalam merancang pembangunan dan memajukan koperasi tetapi berguna dalam memperkayakan sumber rujukan dalam bidang koperasi untuk tatapan masyarakat umum dan generasi akan datang. Ketiga, AURA menjadi ‘pintu’ atau jaringan penghubung dalam mempromosikan dan menarik golongan belia siswazah menceburkan diri dalam penubuhan dan perniagaan koperasi. Pada peringkat pertama mungkin boleh dianjurkan ‘Talk Series’ bertemakan ‘Koperasi Untuk Semua’ selama setengah hari kepada pelajar keusahawanan dan perniagaan tahun akhir. Bagi projek rintis, saya sarankan supaya memberi fokus pada pelajar UMK dahulu. Fokus pengisian pada topik kelebihan berkoperasi, koperasi sebagai pilihan perniagaan, cara-cara menubuhkan koperasi dan perkongsian koperator yang berjaya dalam perniagaan koperasi. Pelajar- pelajar yang berminat akan dibimbing dalam menubuh dan menjalankan perniagaan koperasi melalui program inkubator. Keempat, memperbanyakkan penerbitan dalam bidang koperasi dalam pelbagai bentuk seperti melalui penerbitan ilmiah; buku; jurnal dan didaftarkan dalam data katalog negara untuk rujukan dan pengembangan ilmu koperasi. Saya difahamkan usaha ini sedang dilakukan oleh AURA melalui penerbitan buku kompilasi 10 webinar AURA yang telah dilaksanakan sepanjang tahun 2021. AURA sedang merancang untuk memperbanyakkan lagi penerbitan berkenaan koperasi khususnya dalam bentuk penyelidikan. AURA juga boleh melaksanakan projek pembangunan standard koperasi; program kepimpinan korporat koperasi; program berkonsepkan ‘business coaching’ dan program ekonomi berimpak tinggi yang menyokong koperasi dalam sektor pertanian; kewangan; kesihatan, tenaga dan teknologi maklumat. Pengukuhan perniagaan koperasi boleh dilakukan dalam beberapa cara seperti tadbir urus, pengurusan kewangan, prestasi pasaran dan penglibatan belia. Selain itu, bagi menjayakan usaha tersebut, AURA perlu memupuk dan memperkasakan kerjasama dengan rakan strategik lain seperti KUSKOP, SKM dan IKMa dalam menjayakan

program melalui kumpulan kerja teknikal, penyelidikan bersama koperasi, agenda pembelajaran yang direka bentuk bersama dan penyebaran sumber pembangunan koperasi melalui medium yang mudah diakses oleh koperasi. Bagi menyokong dan mengembangkan perniagaan dan produk koperasi, UMK melalui AURA boleh membuka peluang kepada usahawan kecil dan koperasi untuk mendapat perkhidmatan dan kepakaran universiti dari pelbagai aspek perniagaan. Misalnya diadakan sesi pertemuan dengan usahawan dan koperasi untuk mereka membentangkan produk di universiti yang dihadiri pelajar keusahawanan dan perniagaan; universiti; pelabur dan pakar teknologi; inovasi; produk dan perniagaan universiti bagi membantu menaik taraf produk tersebut supaya dapat memasuki pasaran tempatan dan antarabangsa. Bagi produk yang memerlukan nilai tambah, univerisiti boleh menyerahkan projek tersebut kepada pelajar untuk dinaiktaraf sehingga berjaya dipasarkan. Kaedah tersebut bukan sahaja dapat mendekatkan usahawan dengan universiti, malah dalam masa yang sama memberi peluang kepada pelajar membangunkan daya kreativiti dan inovasi yang mereka pelajari melalui projek tersebut. AURA telah menjalankan peranan seperti yang telah ditetapkan tetapi perlu mempertingkatkan lagi usaha bagi meningkatkan kemahiran keusahawanan dan perniagaan koperasi di negara ini. Saya berharap agar AURA dapat merancakkan lagi bidang baharu yang diperlukan koperasi, di samping menjana bidang kerjasama baharu yang dapat memberi impak dan manfaat. Ini bagi melahirkan modal insan koperasi yang berilmu dan berkemahiran tinggi dalam bidang perniagaan dan keusahawanan yang akhirnya dapat membangunkan perniagaan koperasi dan ekonomi negara serta memberi manfaat kepada masyarakat secara keseluruhannya.

Made with FlippingBook. PDF to flipbook with ease