WADAH PELANCAR EDISI JULAI 2022

4

BKK: Platform Iktiraf Sumbangan Koperasi

Oleh WAN ADLINA WAN AB. AZIZ

Menyingkap sejarah sambutan di peringkat antarabangsa, sambutan perayaan Hari Koperasi Antarabangsa adalah antara inisiatif bersama oleh International Co-operative Alliance (ICA) dan wakil- wakil Jawatankuasa Promosi dan Pembangunan Koperasi dalam gerakan koperasi. Sambutan Hari Koperasi Antarabangsa telah bermula sejak tahun 1923 lagi oleh ICA dengan memilih hari Sabtu minggu pertama bulan Julai sebagai tarikh sambutannya. Pada 16 Disember 1992, Perhimpunan Agung PBB mula mengiktiraf hari tersebut melalui ketetapan Resolusi 47/90 dan menetapkan hari Sabtu minggu pertama pada bulan Julai 1995 sebagai Hari Koperasi Antarabangsa yang juga menandakan usia seratus tahun penubuhan ICA’. Pelbagai aktiviti dan program koperasi telah diadakan bagi memeriahkan bulan tersebut dan di Malaysia, ANGKASA telah memperkenalkan pertandingan Koperasi Jogging (KOPJOG) pada tahun 1980 sebagai salah satu acara bagi memeriahkan sambutan Perayaan Hari Koperasi Antarabangsa Ke-58 dengan hasrat menjadikannya sebagai sukan tahunan koperasi. Seterusnya pada 1993, Lumba Jalan Kaki ANGKASA (KOPWOK) telah dianjurkan bagi menggantikan KOPJOG. KOPWOK menjadi acara sukan tahunan koperasi yang menyaksikan Yang Dipertua ANGKASA, YM Prof. Diraja Ungku Abdul Aziz turut mengambil bahagian dalam kategori lelaki senior veteran. Pada 21 Julai 2002 menyaksikan YM Prof. Diraja Ungku Abdul Aziz menerima anugerah Tokoh Koperasi Negara, iaitu satu-satunya penerima anugerah tertinggi bagi koperator Malaysia sempena Hari Koperasi Negara (HKN) yang diadakan buat julung kali di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. Majlis tersebut telah dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Haji Abdullah Haji Ahmad Badawi. Selaras dengan peranan ANGKASA memajukan gerakan koperasi di Malaysia melalui pengembangan nilai dan prinsip koperasi selain menjayakan banyak aktiviti berkaitan pembangunan ekonomi bersama koperasi, ANGKASA turut meraih satu anugerah khas semasa HKN tersebut. Perjalanan 100 tahun bukanlah merupakan tempoh yang singkat dan gerakan koperasi harus melalui pelbagai evolusi dan transformasi untuk menempa kejayaan pada hari ini. Diharapkan gerakan koperasi terus bergerak secara bersepadu dan lebih berdaya saing menjadi pemacu kepada pertumbuhan ekonomi negara. Sumber: PELANCAR September 1980: 5; PELANCAR Oktober 1991: 21-22; PELANCAR September 2002: 5-6

Perayaan Hari Koperasi Antarabangsa Ke-57 Peringkat Nasional dan Persidangan Kebangsaan ANGKASA Ke-3 pada 14 Julai 1979.

Hari Koperasi Antarabangsa Ke-62 Peringkat Kebangsaan 1984 dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato’ Musa Hitam.

Sambutan Hari Koperasi Antarabangsa Ke-63 Peringkat Kebangsaan dan Persidangan Kebangsaan Ke-6 ANGKASA pada 3 Ogos 1985.

YM Prof. Diraja Ungku Abdul Aziz menerima Anugerah Tokoh Koperasi Negara (HKN) pada 21 Julai 2002 yang disampaikan oleh Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Haji Abdullah Haji Ahmad Badawi.

Acara KOPWOK pada sambutan Hari Koperasi Negara di Kelana Jaya.

Made with FlippingBook. PDF to flipbook with ease