WADAH PELANCAR EDISI JANUARI 2022

15 ANTARABANGSA

JANUARI 2022

Tubuh kesatuan dalam kalangan koperasi negara Islam

Oleh NADIAH KAMARUDIN

ANGKASA mengalu-alukan pandangan serta idea daripada Economic & Social Development Centre of Palestine (ESDC) dan Jordanian Cooperative Corporation (JCC) dalam usahanya untuk menubuhkan sebuah kesatuan dalam kalangan koperasi negara-negara Islam. Perkara tersebut telah dinyatakan oleh Presiden ANGKASA merangkap Naib Presiden Ikatan Koperasi Antarabangsa – Asia dan Pasifik (ICA-AP), Dato’ Abdul Fattah Haji Abdullah dalam satu sesi perbincangan secara dalam talian antara ANGKASA dengan ESDC dan JCC pada 4 Januari 2022. Perbincangan tersebut telah dihadiri oleh Anggota Lembaga ANGKASA merangkap Ahli Lembaga ICA, Dato’ Haji Kamarudin Ismail; Ketua Pengarah ESDC, Mr. Akram Al-Taher; Ketua Pengarah JCC, Dr. Abdelfattah Al-shalabi; Mr. Fakhri Yassin daripada Educational Cooperative Union , Jordan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan ANGKASA, Haji Nasir Khan Yahaya. “Kami (ANGKASA) sedang dalam fasa terakhir penambahbaikan rangka tindakan untuk penubuhan kesatuan tersebut sebelum dibentangkan untuk kelulusan ICA,” ujar Dato’ Dr. Abdul Fattah. Antara perkara lain yang turut dibincangkan adalah peluang untuk membina kerjasama dalam kalangan ahli ICA di Timur Tengah & Afrika Utara (MENA) dan Asia Pasifik serta strategi untuk meningkatkan keahlian ICA dari negara-negara Arab. “Saya ingin mengambil peluang untuk memanfaatkan kedudukan saya sebagai Naib Presiden ICA-AP untuk memahami keadaan sebenar koperasi ahli ICA di Timur Tengah. Selain halangan dari segi bahasa, saya juga mahu mengetahui jika terdapat sebarang faktor lain yang menyebabkan penglibatan tidak aktif oleh ahli ICA di wilayah tersebut,” katanya. Sementara itu, Dr. Abdelfattah Al-shalabi menyatakan harapannya agar ICA, ICA-AP dan ANGKASA dapat memberikan sokongan teknikal kepada pihaknya untuk pembangunan pendidikan anak-anak pelarian Syria di Jordan. Beliau juga menzahirkan penghargaannya terhadap kesediaan ANGKASA untuk berkongsi ilmu dan pengalaman dalam membangunkan koperasi sekolah dan koperasi kariah masjid.

Presiden ANGKASA, Dato’ Dr. Abdul Fattah Haji Abdullah mengetuai perbincangan antara ANGKASA dengan ESDC dan JCC.

Ketua Pengarah Jordanian Cooperative Corporation (JCC), Dr. Abdelfattah Al- shalabi.

Ketua Pengarah Pengarah Economic & Social Development Centre of Palestine (ESDC) , Mr. Akram Al-Taher.

Made with FlippingBook. PDF to flipbook with ease