WADAH PELANCAR EDISI KHAS MAPA 2022

10

ASPIRASI KOPERASI MALAYSIA

Wawancara bersama Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Haji Abdullah Presiden ANGKASA

Oleh: Mohd Zakuan Azmi

Sejauh manakah Aspirasi Koperasi Malaysia mampu memberi impak kepada pembangunan perniagaan koperasi? ANGKASA menerusi fungsi utamanya seperti yang terkandung dalam UUK 11 (1) jelas berperanan dalam memastikan matlamatnya untuk memberikan perkhidmatan kepada koperasi diberi keutamaan khususnya dalam aspek memberi nasihat dan bantuan pengurusan perniagaan mereka. Perkara tersebut juga adalah selari dengan misi yang digerakkan oleh ANGKASA untuk menjadi Pemangkin Kecemerlangan Gerakan Koperasi ke Arah Globalisasi dengan mempelopori dan memperkasakan jaringan serta rantaian nilai sektor ekonomi koperasi, membudayakan keusahawanan dalam koperasi, memperkukuh pengalaman tadbir urus berdasarkan jati diri koperasi dan mentransformasikan lansdkap ekonomi koperasi selaras dengan perkembangan inovasi dan teknologi. Justeru, Aspirasi Koperasi Malaysia mampu menjadi pemangkin kepada kerjasama yang lebih kuat dan bersepadu antara pemegang taruh khususnya SKM dan IKMa dalam memartabatkan lagi ekonomi sektor perniagaan koperasi. Kita boleh merancang pelbagai aktiviti atau rancangan ekonomi yang relevan dengan perkembangan sosioekonomi, permintaan pasaran dan kos yang lebih efektif selain sokongan kepakaran daripada pelbagai agensi berkaitan. Sejauh manakah kekuatan sektor perniagaan koperasi daripada sudut pandangan Datuk Seri sendiri? Sejak dari awal pembabitan saya dalam gerakan koperasi, saya melihat sektor perniagaan koperasi mempunyai potensi untuk lebih berkembang maju kerana konsep dan prinsip yang terkandung dalam koperasi itu sendiri mempunyai banyak kelebihan sekiranya dapat diadaptasi dan dikembangkan dengan lebih baik. Namun, perjalanannya agak terbatas kerana kurangnya penglibatan secara langsung daripada kalangan anggota koperasi itu sendiri dalam aktiviti perniagaan yang dijalankan. Hal tersebut mungkin disebabkan oleh permasalahan dari sudut kesedaran terhadap pentingnya nilai-nilai kerjasama dalam membangunkan koperasi. Mereka hanya didedahkan dengan pemahaman bahawa

anggota koperasi hanya melabur dan menantikan sahaja keuntungan ekonomi atau dividen tahunan selain menggunakan koperasi sebagai platform untuk membuat pinjaman peribadi (kewangan). Perkara ini sememangnya menjadi perhatian daripada pihak kerajaan menerusi rancangan Pelan Transformasi Koperasi Malaysia (TransKoM) 2021-2025 yang mahu memberi fokus kepada program memasyarakatkan koperasi dan pastinya, ANGKASA perlu bersama-sama dengan SKM dan IKMa untuk ‘turun padang’ bagi memupuk kefahaman dan imej koperasi serta mengenalpasti sebarang permasalahan yang menyekat kemajuan sektor perniagaan koperasi itu sendiri. Apakah pendekatan baharu yang hendak dilaksanakan bagi membantu memartabatkan sektor perniagaan koperasi pada masa akan datang? ANGKASA kini sedang dalam fasa untuk membangunkan beberapa jenis perniagaan baharu selain mengembangkan lagi perniagaan sedia ada melalui Projek Pemerkasaan Koperasi atau CEP. Menerusinya, CEP akan memberi fokus kepada menangani jurang yang dikenal pasti untuk membolehkan gerakan koperasi berkembang pada kadar yang lebih cepat atau memastikan daya luaran yang boleh mempengaruhi pergerakan ini dapat diatasi. Oleh itu, pendekatan ini diharap mampu memperkasakan lagi perniagaan koperasi melalui transformasi yang digerakkan daripada peringkat CEP 1 iaitu projek yang dibangunkan oleh ANGKASA sebelum beralih kepada CEP 2 yang melibatkan penyertaan atau penglibatan bersama oleh koperasi atau konsortium dan CEP 3 untuk projek berimpak tinggi yang diketuai oleh sebuah koperasi.

Sebagai badan apeks, ANGKASA juga turut memainkan peranannya secara signifikan untuk menghubungkan koperasi dengan pihak berkepentingan dari dalam dan luar negara yang mampu memberi nilai tambah selain membantu mengembangkan lagi ekonomi perniagaan yang dijalankan. Adakah ANGKASA mempunyai perancangan tersendiri bagi membangunkan ilmu keusahawanan koperasi? Sebenarnya ANGKASA telah pun memulakan beberapa pendekatan baharu dalam merencanakan program pembangunan keusahawanan, baik di peringkat warga kerja ANGKASA mahupun pemimpin koperasi. Selain mengadakan program-program keusahawanan seperti bengkel dan kursus mengikut sektor perniagaan masing-masing, ANGKASA juga turut mengadakan kerjasama strategik dengan Fakulti Usahawan dan Perniagaan, Universiti Malaysia Kelantan (UMK) melalui ANGKASA-UMK Research Academy (AURA). Menerusinya, ANGKASA dan UMK akan memberi tumpuan terhadap aktiviti penyelidikan dan inovasi berkaitan dengan koperasi dan keusahawanan sosial. Bagi memantapkan lagi usaha ke arah menjadikan AURA sebagai pusat kecemerlangan penyelidikan, ANGKASA telah bersetuju untuk menaja projek-projek penyelidikan berkaitan pembangunan keusahawanan koperasi termasuklah penganjuran program latihan industri. ANGKASA juga turut mengadakan kerjasama dengan Universiti Utara Malaysia dari segi pembangunan modal insan warga kerja ANGKASA termasuklah rancangan kolaborasi dengan Institut

Made with FlippingBook. PDF to flipbook with ease