WADAH PELANCAR EDISI KHAS MAPA 2022

22

ANGKASA Tawar Laman Web Percuma Kepada Koperasi

Dato' Haji Che Mohd Shukree Che Isa Anggota Lembaga ANGKASA Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Inovasi & Teknologi (JPIT) ANGKASA

Laman web merupakan sebuah platform yang memainkan peranan penting dalam dunia perniagaan hari ini. Perkembangan teknologi maklumat juga telah menukar fungsi laman web di mana kini bukan sahaja dapat menyediakan maklumat mengenai sesebuah organisasi samada bagi tujuan rujukan pengguna dan bahan promosi perniagaan atau perkhidmatan, malah mampu menjadi sebuah platform perniagaan yang amat penting di Malaysia. Pandemik COVID-19 menyaksikan laman web memainkan peranan penting bagi meneruskan pelbagai urusan dan perniagaan. Perkembangan teknologi maklumat telah mempelbagaikan fungsi sesebuah laman web sehingga mampu menjadi platform untuk menjana perolehan, jualan dan keuntungan selain menampilkan imej korporat sesebuah organisasi. Dalam era digitalisasi, laman web tidak hanya menyediakan maklumat korporat bagi sesebuah organisasi malahan ia juga mampu menjadi nadi utama sesebuah perniagaan dalam aspek promosi dan jualan. Perkara ini telah terbukti dengan perkembangan jualan syarikat-syarikat seperti AirAsia dan Malaysia Airlines yang menjual tiket penerbangan atas talian, Lazada dan Shopee yang menjual pelbagai barangan keperluan, serta banyak lagi contoh lain. Perkembangan digitalisasi ini membolehkan kerajaan memasukkan pilar teknologi dan jualan secara e-dagang dalam usaha mencapai sasaran KDNK. Pandemik COVID-19 telah menyaksikan ledakan teknologi dalam semua sektor di dunia samada pentadbiran kerajaan, perdagangan, pendidikan dan ekonomi digital. Kedudukan laman web terus menjadi lebih penting dengan kemunculan pelbagai bentuk aplikasi android dan iOS yag mana nadi utama atau asas pengoperasiannya adalah berpaksi kepada laman web. Sesebuah organisasi dapat memperluaskan operasi perniagaan mereka tanpa batasan geografi dan had waktu apabila menggunakan laman web sebagai medium mempromosikan produk dan perkhidmatan yang ditawarkan oleh mereka. Sebagai contoh, pengguna muslim di London dapat mengakses laman web sebuah syarikat pengeluar makanan yang berpangkalan di Kodiang, Kedah tanpa sebarang had waktu dan seterusnya dapat memesan keperluan makanan yang dinginkan dengan menggunakan fungsi yang disediakan oleh syarikat berkenaan di dalam laman webnya. Keupayaan laman web untuk ‘bekerja’ tidak mengira masa adalah suatu kelebihan yang perlu dipergunakan oleh entiti perniagaan bagi meneruskan kesinambungan operasi walaupun dilanda pandemik virus yang berbahaya. Menyedari akan kepentingan dan manfaat besar laman web kepada sektor koperasi, ANGKASA melalui Sektor Inovasi dan Teknologi telah menyediakan program pembangunan laman web secara percuma kepada koperasi ahli ANGKASA menerusi program-program yang diatur sama ada secara dalam talian atau fizikal. Melalui program yang diaturkan, koperasi bukan sahajat dapat mempunyai laman web sendiri tetapi memberikan peluang kepada warga kerja atau koperator untuk menimba ilmu yang dikongsikan secara hands-on . Apa yang lebih menarik dan perlu direbut ialah kos yang berkaitan

Laman web e-niaga.coop yang dibangunkan oleh ANGKASA.

dengan domain dan hosting laman web serta pembangunan kali pertama laman web koperasi dengan anggaran RM5,000 akan dibiayai dan diberikan secara percuma kepada koperasi anggota ANGKASA di seluruh negara. Melalui Program Pendigitalan Koperasi melibatkan Bengkel Teknikal Pembangunan Laman Web sepanjang tahun 2021, sebanyak lapan siri bengkel melalui webinar dan dua bengkel fizikal telah berjaya diadakan dengan mencatatkan penyertaan sebanyak 215 peserta mewakil koperasi dari seluruh negara dan 210 buah laman web koperasi telah berjaya dibangunkan hasil dari usaha para peserta dengan bantuan fasilitator dari Sektor Inovasi dan Teknologi ANGKASA. Koperasi wajar merebut peluang untuk memiliki laman web secara PERCUMA dan seterusnya memanfaatkan ciri-ciri moden teknologi untuk mencapai sasaran pelanggan, menguruskan operasi harian dengan lebih efisien, menjimatkan masa dan kos operasi serta yang paling penting, sebuah laman web boleh bekerja untuk koperasi 24 jam sehari, 7 hari seminggu, 365 hari setahun tanpa henti. Koperator dan koperasi mesti merebut peluang membangunkan laman web koperasi secara percuma ini dengan menghubungi Sektor Inovasi dan Teknologi menerusi pegawai-pegawai yang berkenaan :

Encik Hanafiah bin Othman Penolong Pengurus, 03-7800 8151 (hanafiah.angkasa@gmail.com) Puan Rozaimah Ismail Pegawai IT 03-780 8152 (rozaimah.angkasa@gmail.com)

Laman web akan membantu entiti perniagaan sektor koperasi untuk terus beroperasi dan berkembang maju di dalam persekitaran endemik ini. Ditambah dengan nilai pembangunan laman web yang di biayai sepenuhnya oleh ANGKASA, peluang sebegini tidak seharusnya dilepaskan bagi membantu koperasi bersedia di dalam suasana perniagaan yang lebih digital di masa akan datang. Laman web akan membantu perniagaan koperasi untuk beroperasi dengan lebih efisien dan berkembang maju di dalam dunia digital hari ini dan seterusnya mempercepatkan proses digitalisasi sektor koperasi.

Made with FlippingBook. PDF to flipbook with ease