24
100 Tahun Gerakan Koperasi, Membangun Keluarga Malaysia
Dr. Hajah Salmah Ishak Anggota Lembaga ANGKASA Setiausaha Bahagian
Pembangunan Koperasi, Penjaja dan Peniaga Kecil Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi
Pada tahun 2022, sektor koperasi akan menyambut 100tahunpenubuhannyadinegaraini.Sektorkoperasi di negara ini telah berkembang dengan pesatnya dan telah diiktiraf oleh kerajaan sebagai entiti Social Solidarity Enterprise (SSE) yang bertindak sebagai ejen penyatuan sosial dan masyarakat khususnya dalam membangunkan keluarga Malaysia. Sektor koperasi juga telah memainkan peranan yang sangat besar dalam pembangunan ekonomi negara dan menyumbang kepada kemakmuran Keluarga Malaysia. Sektor koperasi mula diperkenalkan secara rasmi di Malaysia pada tahun 1922 melalui pelaksanaan Enakmen Koperasi. Tujuan penubuhan koperasi pada ketika itu adalah sebagai salah satu inisiatif bagi membantu menyelesaikan masalah petani di luar bandar yang sering ditindas oleh orang tengah dan masalah keberhutangan dalam kalangan penjawat awam kawasan bandar. Koperasi pertama yang telah ditubuhkan pada ketika itu adalah Syarikat Berkerjasama-sama Jimat Cermat dan Pinjaman Wang Pekerja-Pekerja Jabatan Pos dan Telekom Berhad yang telah didaftarkan pada 21 Julai 1922. Koperasi ini masih lagi aktif setelah menempuh perjalanan selama 100 tahun namun kini
telah berpecah kepada dua koperasi berbeza dengan nama yang dikenali sebagai Koperasi Telekom Malaysia Berhad (KOTAMAS) dan Koperasi Pos Malaysia Berhad (KOPONAS). Kedua-dua koperasi ini juga telah berjaya tersenarai dalam indeks 100 koperasi terbaik sejak tahun 2009. Dalam meniti usia 100 tahun, sektor koperasi berjaya menjadi penyumbang ketiga terbesar kepada ekonomi negara serta memberi impak yang signifikan kepada masyarakat dan alam sekitar. Berdasarkan kepada perangkaan am sehingga 31 Disember 2020 yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), sumbangan gerakan koperasi melalui pengumpulan modal syer dan yuran adalah sebanyak RM15.8 bilion, dengan penjanaan aset berjumlah RM150.53 bilion dan nilai perolehan mencecah RM41.5 bilion. EVOLUSI KEJAYAAN KOPERASI DI MALAYSIA Koperasi merupakan antara entiti sosioekonomi utama yang berjaya meningkatkan kesejahteraan anggotanya melalui penglibatan aktiviti ekonomi dan keusahawanan. Antara kelebihan berkoperasi adalah pemberian dividen, rebat atau potongan langganan dan saham bonus sebagai pemulangan semula keuntungan daripada aktiviti perniagaan yang dijalankan kepada anggota masing-masing. Gerakan koperasi juga telah sedikit sebanyak membantu negara dalam membasmi isu kemiskinan dan berjaya merapatkan jurang ekonomi bagi melahirkan sebuah masyarakat yang makmur dan sejahtera. PENCAPAIAN SEKTOR KOPERASI Sehingga kini, sektor koperasi Malaysia telah mencapai beberapa kejayaan yang membanggakan baik di peringkat dalam negara mahupun di arena antarabangsa. Pada tahun 2020, sebanyak 13 koperasi telah berjaya mencipta pendapatan melebihi RM100 juta dan tiga buah koperasi pula telah diiktiraf sebagai Koperasi Premier iaitu Bank Rakyat, Koperasi Angkatan Tentera Malaysia Berhad dan Co-op Bank Pertama Malaysia Berhad. Pengiktirafan ini diberi berdasarkan prestasi cemerlang menduduki kedudukan lima koperasi terbaik bagi tiga tahun berturut-turut.
Berdasarkan kepada Rajah 1, bilangan koperasi tumbuh ibarat cendawan dengan menunjukkan peningkatan yang positif setiap tahun. Sehingga 30 Jun 2021, terdapat 14,657 koperasi dengan jumlah anggota seramai 7.04 juta anggota. Secara tidak langsung, data ini membuktikan bahawa rakyat Malaysia telah semakin dapat menerima gaya hidup berkoperasi dan mengikis persepsi sebahagian masyarakat yang menganggap koperasi sebagai sunset industry yang hanya dianggotai oleh golongan B40 dan warga emas. Walau bagaimanapun, tahun 2020 sehingga 2021 menyaksikan bagaimana pandemik COVID-19 yang merupakan krisis kesihatan tular di seluruh dunia termasuk Malaysia telah mencetuskan ketidaktentuan sosioekonomi yang serius dan menjejaskan kesejahteraan hidup rakyat seluruh dunia. Penularan pandemik ini dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan di negara ini turut memberi kesan terhadap gerakan koperasi.
Rajah 1: Laporan Perangkaan SKM sehingga 30 Jun 2021 (sumber rujukan SKM)
Made with FlippingBook. PDF to flipbook with ease