10 ANGKASA
MAC 2022
Program Koperasi Prihatin Sejuta Pokok Semai Semangat Cintakan Alam Sekitar
Oleh RAHMAT MOHD DID
Bersempena Sambutan Hari Hutan Antarabangsa yang diraikan di seluruh dunia pada tanggal 21 Mac setiap tahun, ANGKASA dengan kerjasama rakan strategik Institut Perubahan Iklim, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Yayasan Hijau Malaysia telah menganjurkan Program Koperasi Prihatin Sejuta Pokok.
Program tersebut yang akan dilaksanakan dalam tempoh dua tahun bermula tahun 2022 bertujuan untuk memberi inspirasi kepada masyarakat, khususnya anggota koperasi tentang kepentingan memulihara dan memelihara alam sekitar serta menyemarakkan semangat cintakan alam demi pembangunan yang lebih seimbang. Majlis Pra Pelancaran Penghijauan Malaysia: Koperasi Prihatin Sejuta Pokok yang berlangsung pada 20 Mac 2022 di Tapak Hutan Angkat ANGKASA, Hutan Simpan Sungai Lalang, Hulu Langat, Selangor telah disempurnakan perasmiannya oleh Penasihat PUSPANITA Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) yang juga isteri kepada Menteri KUSKOP, Puan Sri Prof. Datuk Dr. Aishah Salleh. Dalam ucapannya, beliau menggesa masyarakat, ter-utamanya anggota koperasi di Malaysia yang berjumlah 7.1 juta orang untuk mula menanam sekurang-kurangnya sebatang pokok sebagai tanda sokongan kepada usaha ANGKASA untuk mencapai sasaran sejuta pokok. “Jika diandaikan bumi ini seperti manusia, maka hutan dan tumbuhan adalah paru-parunya. Maka adalah menjadi kewajiban untuk kita semua berusaha sedaya upaya memulihara dan memastikan kawasan terosot hutan serta penyusutan sumber semulajadi hutan dapat dipulihkan. Sesungguhnya usaha yang dijalankan oleh ANGKASA bersama-sama dengan koperasi ini harus dipuji kerana menunjukkan kesungguhan dalam usaha pemulihan hutan terosot dan penggalakkan penanaman pokok. Usaha ini juga dapat memberi manfaat tidak terhingga bukan sahaja kepada kehidupan manusia malah menjadi
habitat dan tempat perlindungan flora dan fauna lebih-lebih lagi jika tumbuhan itu hanya terdapat di hutan Malaysia sahaja. Pemuliharaan hutan juga amat penting sebagai sumber makanan dan peluang untuk menjana ekonomi kepada penduduk setempat,” katanya. Beliau juga turut menekankan tentang pokok dan ekosistem hutan yang memainkan peranan penting dalam mengurangkan kesan perubahan iklim. “Jika kita lihat kebelakangan ini, bencana alam seperti banjir melanda negara kita dengan skala
kemusnahan yang ketara kerana lebih kerap berlaku dan membabitkan kawasan yang luas. Perubahan iklim yang semakin memberi kesan buruk mengakibatkan kerugian harta benda dan kehilangan nyawa. Usaha penanaman semula pokok, pengekalan hutan dan penghutanan semula merupakan salah satu langkah untuk menangani kesan perubahan iklim dan secara tidak langsung, dapat mengurangkan risiko bencana alam,” ujar beliau. Sebelum itu, Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah dalam ucapannya
Puan Sri Prof. Datuk Dr. Aishah menanam pokok jenis Merbau yang merupakan pokok ke-100 sebagai simbolik kepada sambutan 100 tahun gerakan koperasi di Malaysia.
Made with FlippingBook. PDF to flipbook with ease