WADAH PELANCAR EDISI MAC 2022

5

REAKSI PESERTA

"Idea penubuhan KKM ini sebetulnya sangat baik dan mampu menjadi cabang ekonomi setempat yang membantu memperkukuhkan ekonomi umat Islam. Selain dapat membuka peluang perniagaan baharu kepada anggotanya, KKM juga dapat menjadi platform pemasaran produk keluaran kariah setempat dan ini akan memberi kesan secara tidak langsung kepada pembangunan sosioekonomi masyarakat. Banyak perkara yang dipelajari menerusi persidangan ini dan kami akan mengorak langkah serta berazam untuk terus menjadikan KKM sebagai penyumbang bermanfaat kepada anggota dan masyarakat."

Dato' Wan Kadri Pengerusi Koperasi Kariah Masjid Al Hikmah Rompin Berhad (Mantan Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Ibam, Pahang)

"Saya mengucapkan syabas dan tahniah kepada penganjur kerana persidangan ini dapat menonjolkan peranan sebenar KKM melalui perkongsian ilmu dan pengalaman. Alhamdulillah, KOYAQIN menjadi Naib Johan Anugerah Koperasi Kariah Masjid Kebangsaan 2022. Kejayaan tersebut sebenarnya banyak didorong oleh sokongan dan kerjasama banyak pihak seperti SKM dan ANGKASA selain kerjasama padu oleh barisan anggota KOYAQIN sendiri."

Dato' Lamien Sawiyo Pengerus Koperasi Kariah Masjid Nurul Yaqin Kelana Jaya Berhad (Mantan Pengerusi Eksekutif SKM)

"Hubungan akrab antara pengurusan koperasi dengan jawatankuasa masjid mampu memberi kelebihan demi kebaikan kedua belah pihak. Sokongan yang diberikan kepada koperasi dapat menyemarakkan lagi semangat dan usaha untuk terus mengembangkan aktiviti perniagaan. Banyak idea, produk dan perkhidmatan menarik dapat dikongsi sepanjang persidangan ini dan memberi kelebihan kepada perniagaan baharu yang dijalankan oleh koperasi kami seperti produk Hasanah Delight, Hasanah Cafe', dan kedai gunting rambut. Momentum tersebut diharap dapat memberi impak positif kepada sosioekonomi anggota koperasi."

Haji Yahya Ibrahim Pengerusi Koperasi Kariah Masjid Al Hasanah Bangi Berhad (Mantan Pengarah Bahagian Pembangunan Usahawan MARA)

"Usaha yang digerakkan melalui pemberdayaan umat dan membangkitkan ekonomi umat merupakan salah satu langkah strategik dalam memperkasakan ekonomi umat Islam. Tujuan utama KKM adalah untuk membangunkan ekonomi anggota kariah di samping meluaskan lagi peranan institusi masjid sebagai pusat penyatuan dan pembangunan ekonomi ummah serta menjadi tonggak kepada kekukuhan sosioekonomi masyarakat setempat. "

Puan Kartini Sahari Pengerusi Koperasi Kariah Masjid Darul Hana Lambir Berhad, Miri Sarawak.

"Persidangan yang julung kali diadakan ini sangat bersesuaian dengan temanya iaitu 'Koperasi Kariah Masjid Pemangkin Pembangunan Ekonomi Ummah' kerana fungsi koperasi itu sememangnya berperanan sebagai platform pembangunan sosioekonomi masyarakat. Banyak maklumat yang selama ini tidak sampai kepada pengetahuan pemimpin KKM dapat diperoleh menerusi persidangan ini. Saya harap inisiatif dan sokongan yang berterusan oleh semua agensi yang terlibat akan terus disalurkan demi kelestarian KKM pada masa akan datang."

Haji Kamarulsaman Yaacub Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pengurusan Masjid JAKIM Putrajaya

"Persidangan ini diharap dapat dianjurkan setiap tahun sebagai platform perkongsian lebih banyak ilmu dan maklumat selain peluang-peluang ekonomi baharu kepada kepimpinan KKM. Saya juga ingin mengesyorkan supaya persidangan yang diadakan pada masa hadapan turut menganjurkan beberapa siri lawatan ringkas ke koperasi kariah masjid berdekatan. Menerusinya, peserta boleh mendapat pendedahan secara langsung dan ini juga penting sebagai input tambahan kepada mereka."

Encik Abdullah Sani Mat Jam Pengerusi Koperasi Kariah Masjid Taman Padu Permai Sungai Besar Berhad

"Saya amat berharap agar resolusi persidangan ini dapat direalisasi dan dicapai sepenuhnya. Cabaran untuk membangunkan sesebuah perniagaan amat tinggi dan pastinya melibatkan banyak aspek terutamanya kewangan. Oleh itu, saya lebih suka jika pihak SKM dan ANGKASA dapat menyediakan solusi seperti manual pengurusan aktiviti perniagaan secara lengkap dan bersepadu supaya dapat diikuti atau diuruskan oleh koperasi yang berminat. Konsep seperti ini mampu mengurangkan kos dan risiko kegagalan. Pada masa yang sama, perjalanan aktiviti perniagaan tersebut dapat dipantau dengan lebih berkesan. "

Encik Ahmad Rose Bendahari

Koperasi Kariah Masjid Ambangan Heights Sungai Petani Kedah Berhad

"Banyak cadangan, idea dan fungsi KKM dapat dikongsi secara bersama menerusi persidangan ini. Kami juga mendapat banyak input berguna terutamanya daripada KKM lain yang turut menjalankan perniagaan yang sama. Aktiviti KKM juga sebenarnya amat memerlukan sokongan anggota dan kariah setempat terutamanya golongan muda. Perkara ini penting supaya dapat bersama-sama membantu memperkasakan program perniagaan koperasi menerusi pelan promosi yang bersesuaian dengan persekitaran sosioekonomi masyarakat."

Hajah Siti Noliah Osman Bendahari Koperasi Kariah Masjid Aman Alor Setar Kedah Berhad

Made with FlippingBook. PDF to flipbook with ease