WADAH PELANCAR EDISI MEI 2022

13 ANGKASA

MEI 2022

Sokongan Berterusan KPM Dihargai Penerapan Nilai-Nilai Keusahawanan Melalui Koperasi Sekolah

Oleh MOHD ZAKUAN AZMI

Sokongan dan sumbangan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) selama lebih 50 tahun dalam gerakan koperasi sekolah telah banyak membantu meningkatkan imej serta kemajuan gerakan koperasi di negara ini. Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah berkata, perkembangan koperasi sekolah sejak era 60-an terus menunjukkan peningkatan yang ketara sehingga mampu mencapai perolehan lebih RM1 juta. Katanya, kejayaan tersebut jelas melambangkan kesungguhan dan keyakinan berterusan KPM terhadap fungsi dan peranan koperasi dalam memartabatkan nilai-nilai dan budaya keusahawanan yang berkualiti terhadap golongan pelajar. “Oleh itu, kita perlu sentiasa komited dan menilai setiap pencapaian koperasi sekolah dari semasa ke semasa supaya terus bertahan dan meningkat di samping mengenal pasti hala tuju baharu untuk 50 tahun akan datang. Kita juga akan lihat sejauh mana pendekatan sedia ada dapat menyumbang ke arah pencapaian berasaskan pendekatan dan sasaran yang ditetapkan. Ini penting bagi memastikan kepercayaan dan harapan yang disandarkan oleh pihak KPM termasuk Majlis Amanah Rakyat (MARA) terhadap koperasi sekolah terus terjaga dan berpanjangan,” ujar beliau. Datuk Seri Dr. Abdul Fattah juga turut mencadangkan penganjuran konvensyen koperasi sekolah peringkat kebangsaan bagi meningkatkan lagi momentum pencapaian menerusi pelbagai cabang informasi dan ilmu oleh kepimpinan koperasi sekolah dan agensi-agensi yang berkaitan dengan koperasi sekolah. Beliau berkata demikian sewaktu berucap dalam Sesi Bual Bicara Bersama Presiden ANGKASA semasa Bengkel Khas Pembangunan Perniagaan Bersama Jawatankuasa Teknikal Koperasi Sekolah 2022 pada 22 Mei 2022 di Subang Jaya, Selangor.

Datuk Seri Dr. Abdul Fattah menyampaikan sijil penyertaan kepada salah seorang anggota Jawatankuasa Teknikal Koperasi Sekolah.

Program anjuran bersama Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dan ANGKASA ini turut disertai oleh Timbalan Presiden ANGKASA, Prof Madya Dato’ Dr. Abdul Rahman Abdul Razak Shaik; Anggota Lembaga ANGKASA iaitu Dato' Haji Kamarudin Ismail dan Dato' Haji Che Mohd Shukree Che Isa serta Anggota Jawatankuasa Teknikal Bahagian Koperasi Sekolah ANGKASA iaitu Datuk Haji Md. Yusof Haji Samsudin, Dato’ Haji Mohd Alias Hamzah, Haji Mohd Jamil Othman, Encik Wan Mohamad Zain Wan Abdullah, Haji Hafiz Ridzuan Md. Daud dan Encik Ainor Faiz Shuib. Bengkel yang berlangsung selama tiga hari bermula 20 Mei 2022 telah dirasmikan oleh Anggota Lembaga ANGKASA merangkap Pengerusi Bahagian Koperasi Sekolah ANGKASA, Dato' Haji Kamarudin Ismail. Selain pembentangan Laporan Perkembangan Gerakan Koperasi Sekolah 2021, bengkel tersebut juga turut diisi dengan beberapa sesi perbincangan, taklimat mengenai Perkembangan Pembangunan Perniagaan Koperasi MRSM dan enam pembentangan kertas kerja oleh wakil daripada Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Institut Koperasi Malaysia (IKMa) dan ANGKASA.

Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah.

Sesi bergambar Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah bersama barisan anggota Jawatankuasa Teknikal Koperasi Sekolah.

Made with FlippingBook. PDF to flipbook with ease