WADAH PELANCAR EDISI MEI 2022

17 KOPERASI

MEI 2022

KKPTB Pemangkin Semangat Tingkat Sosioekonomi Anggota Koperasi OKU

Oleh WAN ADLINA WAN AB. AZIZ

Penubuhan gabungan koperasi Orang Kurang Upaya (OKU) menerusi Konsortium Koperasi Penyayang Terengganu Berhad (KKPTB) di negara ini diharap menjadi pembakar semangat kepada koperasi OKU negeri lain untuk membangunkan sosioekonomi anggotanya. Presiden ANGKASA merangkap Presiden ASEAN Co-operative Organization (ACO), Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah berkata, kemampuan KKPTB yang terus bertahan sehingga kini membuktikan bahawa anggotanya mampu berdikari dalam merencanakan pembangunan sosioekonomi golongan itu. Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Konsortium Koperasi Penyayang Terengganu Berhad di Kuala Terengganu pada 24 April 2022. Dalam majlis berkenaan, seramai 60 anggota konsortium terdiri daripada Koperasi PEKA Malaysia (OKU Pekak), Koperasi Gerak Wawasan Terengganu Berhad (cacat anggota) dan Koperasi PERTIS Terengganu Berhad (cacat penglihatan) telah diraikan. Selain itu, sebanyak 200 pek barangan keperluan asas diagihkan menerusi Program COOPCARE Prihatin ANGKASA. Menurut beliau, ANGKASA sentiasa menyokong usaha KKPTB dalam program pembangunan perniagaan dan yakin konsortium tersebut mampu membawa anggotanya ke tahap yang lebih tinggi setanding koperasi lain. "Golongan OKU mempunyai potensi tersendiri dalam menyumbang idea dan tenaga bagi menjana pendapatan koperasi sekali gus membantu menyumbang kepada peningkatan sosioekonomi masyarakat. "Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) merekodkan sehingga Jun 2021, terdapat 22 buah koperasi OKU dengan keanggotaan 105,000 orang dan ini membuktikan golongan OKU tidak ketinggalan dalam memberi sumbangan kepada sektor koperasi," ujarnya. Pada majlis tersebut, Datuk Seri Abdul Fattah berpeluang mendengar pembentangan mengenai perkembangan dan kejayaan ketiga- tiga koperasi yang disampaikan oleh Pengerusi KKPTB merangkap Pengerusi Koperasi PEKA Malaysia Berhad, Haji Ismail Muda; Pengerusi Koperasi PERTIS Terengganu Berhad, Encik Fauzi Mansor dan Pengerusi Koperasi Gerak Wawasan Terengganu Berhad, Encik Fakhruddin Zakaria yang dipandu jurubahasa isyarat, Encik Saifullah Yuslizam dari Koperasi PEKA Malaysia Berhad. Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Pengerusi JPAN Terengganu, Haji Mohamed Yusoff, barisan ahli jawatankuasa JPAN Terengganu dan Pengurus Besar Bahagian Komunikasi Korporat ANGKASA, Encik Halim Haji Ibrahim.

Datuk Seri Dr. Abdul Fattah menyampaikan sumbangan pek barangan keperluan asas kepada anggota Konsortium Koperasi Penyayang Terengganu Berhad .

Sebahagian daripada anggota konsortium koperasi yang diraikan dalam majlis berbuka puasa. daripada anggota konsortium koperasi yang diraikan dalam majlis berbuka puasa.

Datuk Seri Dr. Abdul Fattah beramah mesra dengan seorang anggota Konsortium Koperasi Penyayang Terengganu Berhad.

Made with FlippingBook. PDF to flipbook with ease