WADAH PELANCAR EDISI MEI 2022

19 KOPERASI

MEI 2022

Pelbagaikan Aktiviti Ekonomi Sampingan

Datuk Seri Dr. Abdul Fattah (lima dari kanan) ketika melakukan lawatan ringkas ke LS Village Hotel. Turut sama ialah barisan anggota JPAN Perlis diketuai Pengerusinya, Haji Sahimi Shari (empat dari kanan) dan Penasihat Korporat (Sektor Kewangan), Datuk Ahmad Jamil (tiga dari kanan).

Oleh MOHD ZAKUAN AZMI

Kepimpinan koperasi khususnya Anggota Lembaga Koperasi (ALK) disaran supaya dapat mengatur strategi perniagaan dengan mempelbagaikan aktiviti ekonomi sampingan berasaskan perniagaan sedia ada. Presiden ANGKASA merangkap Presiden ASEAN Co-operative Organization (ACO), Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah berkata, suasana ekonomi yang agak mencabar telah menyebabkan banyak masalah sosioekonomi berlaku kepada masyarakat pengguna dan memberi kesan kepada perniagaan koperasi. Katanya, koperasi harus bertindak dengan merencanakan bidang perniagaan baharu tanpa bergantung kepada perniagaan teras semata-mata. "Sebagai contoh, banyak perniagaan sampingan berkaitan pelancongan, penjagaan diri dan kesihatan boleh diterokai melalui hotel koperasi seperti spa, agen pelancongan, sewaan kenderaan dan jualan produk cenderamata bagi meningkatkan pendapatan sekali gus dapat menampung kerugian sekiranya berlaku," ujar beliau. Katanya lagi, ANGKASA sedia membantu dalam memberi khidmat nasihat dan sesuaikan keadaan perniagaan koperasi mengikut segmen dan sektor perniagaan yang digerakkan. Datuk Seri Dr. Abdul Fattah berkata demikian sewaktu mengadakan lawatan ringkas ke LS Village Hotel pada 20 Mei 2022 di Padang Besar, Perlis. Kehadiiran beliau bersama anggota Jawatankuasa Perhubungan ANGKASA Negeri (JPAN) Perlis yang diketuai Pengerusinya, Haji Sahimi Shari telah disambut oleh Pengerusi Koperasi Peserta-Peserta Rancangan FELCRA Lubuk Sireh Perlis Berhad, Encik Wan Abd. Rahman Wan Ahmad. Hadir sama ialah Penasihat Korporat (Sektor Kerajaan) ANGKASA, Datuk Ahmad Jamil Hashim; Pengurus Besar Bahagian Komunikasi Korporat ANGKASA, Encik Halim Haji Ibrahim dan Pengurus Kawasan FELCRA Lubuk Sireh, Encik Firdaus Ab. Manaf. LS Village Hotel yang dimiliki Koperasi Peserta-Peserta Rancangan FELCRA Lubuk Sireh Perlis Berhad terletak di Sungai Chucoh Titi Tinggi, Padang Besar, Perlis berdekatan dengan Kolej Kediaman Pelajar UNIMAP Perlis. Hotel tersebut yang mula beroperasi pada tahun 2018 menawarkan 23 buah bilik merangkumi empat jenis bilik iaitu Family Suite Rooms, Family Rooms, Superior Room dan Standard Queen Rooms. Hotel ini juga turut menyediakan pakej tambahan seperti perkhidmatan shuttle ambil dan hantar ke stesen KTMB Padang Besar, khidmat pemandu pelancong dan pakej pelancongan ke tempat-tempat menarik di sekitar negeri Perlis. Sebarang maklumat lanjut boleh layari laman sesawang hotel berkenaan di www.lsvillagehotel.com.

Petugas LS Village Hotel sentiasa bersedia menerima kedatangan pengunjung.

LS Village Hotel milik Koperasi Peserta-Peserta Rancangan FELCRA Lubuk Sireh Perlis Berhad terletak di Sungai Chucoh Titi Tinggi, Padang Besar, Perlis.

Made with FlippingBook. PDF to flipbook with ease