4 ANGKASA
MEI 2022
Perpustakaan IKMa Kini Dikenali sebagai Perpustakaan Tan Sri Noh Omar
Oleh NADIAH KAMARUDIN
Perpustakaan Institut Koperasi Malaysia (IKMa) secara rasminya telah diberi nama baharu iaitu Perpustakaan Tan Sri Noh Omar sebagai menghargai jasa dan bakti beliau yang telah banyak menabur jasa dan bakti kepada pembangunan gerakan koperasi negara. Perasmian nama baharu tersebut telah disempurnakan oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Tan Sri Noh Haji Omar pada 26 Mei 2022 di ibu pejabat IKMa, Petaling Jaya. Majlis perasmian yang turut bersekali dengan Sambutan Hari Raya Aidilfitri IKMa turut diserikan dengan kehadiran isteri beliau, Puan Sri Prof. Datuk Dr. Aishah Salleh; Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Pemantauan) KUSKOP, Dato' Mohammad Radhi Abdul Razak; Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Koperasi Malaysia, Haji Zazali Haron; Pengerusi Lembaga Pengarah IKMa, Datuk Wira (Dr.) Rosli Mat Hassan; Ketua Pengarah IKMa, Datuk Mohd Ali Mansor; Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Haji Abdullah; Timbalan Presiden ANGKASA yang juga mantan Ketua Pengarah IKMa, Prof. Madya Dato’ Dr. Haji Abdul Rahman Abdul Razak Shaik dan Setiausaha Bahagian, Pembangunan Koperasi, Penjaja dan Peniaga Kecil KUSKOP, Dr. Hajah Salmah Ishak. Perpustakaan Tan Sri Noh Omar yang sudah beroperasi lebih 30 tahun mempunyai lebih 30 ribu koleksi antaranya adalah buku, monograf, bahan terbitan bersiri seperti majalah, jurnal dan surat khabar serta laporan tahunan dan kertas kerja seminar. Perpustakaan tersebut juga menampilkan 'Technology Lab IR4.0' iaitu sebuah makmal digitalisasi yang berfungsi untuk membantu meningkatkan tahap kemahiran dan literasi warga koperasi terhadap teknologi maklumat dan komunikasi. Dalam majlis yang sama, Tan Sri Noh turut menyerahkan surat kelulusan penubuhan Universiti Keusahawanan Koperasi Malaysia (UKKM) kepada Pengerusi Lembaga Pengarah IKMa, Datuk Wira (Dr.) Rosli Mat Hassan. Menurut beliau, Penubuhan UKKM sangat bertepatan dengan pencapaian gerakan koperasi negara yang akan mencapai usia genap 100 tahun penubuhannya pada 22 Julai nanti. UKKM yang dijangka mula beroperasi pada bulan September ini akan menerima kemasukan hingga 1,000 pelajar dan ibu pejabat IKMa yang lengkap dengan kemudahan seperti bilik kuliah, asrama dan dewan besar akan menjadi kampus pertama institut tersebut.
Tan Sri Noh menandatangani plak perasmian Perpustakaan Tan Sri Noh Omar.
Tan Sri Noh menyerahkan dokumen surat kelulusan penubuhan Universiti Keusahawanan Koperasi Malaysia (UKKM) kepada Datuk Wira (Dr.) Rosli.
Tan Sri Noh beramah mesra bersama tetamu yang hadir.
Perpustakaan Tan Sri Noh Omar menyediakan tempat duduk yang selesa dan santai untuk pengunjung.
Pintu masuk Perpustakaan Tan Sri Noh Omar. masuk Perpustakaan Tan Sri Noh Omar.
Pentas mini turut disediakan di dalam Perpustakaan Tan Sri Noh Omar untuk anjuran pelbagai program berbentuk santai.
Technology Lab IR4.0.
Made with FlippingBook. PDF to flipbook with ease