KOPERASI 10
SEPTEMBER 2024
Kemudahan Dobi oleh Koperasi Masjid Permudahkan Urusan Harian Ahli Kariah
Pegawai Khas kepada Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Encik Kyrie Azry (tengah) ketika merasmikan dobi layan diri yang diusahakan oleh Koperasi Kariah Masjid Saujana Utama Sungai Buloh Berhad (COOPMSU) pada 7 September 2024.
Oleh MOHAMAD ZAIRUL HAFIZ SARDIN
Perkhidmatan dobi layan diri yang disediakan oleh Koperasi Kariah Masjid Saujana Utama Sungai Buloh Berhad (COOPMSU) membantu koperasi itu meningkatkan pendapatan di samping memberi pilihan kepada ahli kariah untuk mendapatkan perkhidmatan dobi yang suci dan bersih. Perniagaan tersebut telah dibangunkan oleh COOPMSU dengan kerjasama serta sokongan ANGKASA dan Konsortium Koperasi Kariah Masjid Malaysia Berhad (KONSORMAS). Kemudahan dobi yang sudah bermula operasinya sejak Jun 2024 itu telah dirasmikan oleh Pegawai Khas kepada Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi serta Ahli Parlimen Sungai Buloh, Encik Kyrie Azry dalam satu majlis di perkarangan Masjid Saujana Utama Sungai Buloh, Selangor pada 7 September 2024. Turut berlangsung adalah Sambutan Kemerdekaan peringkat masjid tersebut. Beliau dalam ucapannya berkata, aktiviti ekonomi koperasi memainkan peranan besar dalam mensejahtera dan memberikan nilai tambah kepada sesebuah komuniti. Katanya, koperasi menyumbang kepada pembangunan sosioekonomi komuniti melalui penyediaan keperluan asas, peningkatan peluang pekerjaan, penajaan aktiviti komuniti dan peningkatan kualiti hidup. Tambahnya lagi, koperasi kariah masjid adalah contoh koperasi komuniti yang mana anggotanya dapat terlibat aktif dalam aktiviti ekonomi dan memberikan manfaat kepada komuniti. Terdahulu, Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah berkata, Islam sememangnya menganjurkan kita saling bantu-membantu dan koperasi adalah platform terbaik bagi berkongsi sumber, membina perniagaan dan pada masa yang sama, menjaga kebajikan antara satu sama lain. ANGKASA turut menyumbangkan duit zakat bernilai RM280,000 untuk projek dobi dan pembangunan asnaf di koperasi kariah masjid terpilih seluruh negara.
Encik Kyrie Azry menyerahkan sumbangan barangan keperluan asas kepada salah seorang penerima. Beliau turut menyeru semua pihak untuk terus memberikan sokongan padu agar koperasi kariah masjid dapat memainkan peranan yang lebih besar dan signifikan dalam pembangunan ekonomi negara. Hadir sama dalam majlis tersebut ialah barisan Anggota Lembaga ANGKASA, iaitu Dato’ Haji Che Mohd Shukree Che Isa dan Prof. Madya Dato’ Dr. Haji Abdul Rahman Abdul Razak Shaik, Pengerusi ANGKASA Negeri Selangor, Dato’ Haji Mohd Alias Hamzah, Penasihat Korporat (Sektor Koperasi) ANGKASA, Datuk Haji Md. Yusof Haji Samsudin, Pengarah Perpaduan Negeri di Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Kementerian Perpaduan Negara Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Negeri Selangor, Encik Burhanuddin Haji Daud, Pengerusi Koperasi Kariah Masjid Saujana Utama Berhad, Haji Hasnan Mustapha dan Nazir Masjid Saujana Utama Sungai Buloh, Dr Haji Saiful Farik Mat Yatin.
‘Dobi Masjid’ yang dibuka 24 jam membolehkan penduduk setempat menggunakan perkhidmatan mencuci pakaian pada bila-bila masa.
Made with FlippingBook. PDF to flipbook with ease