INFO SEMASA 9
Wadah
JANUARI 2025
Majlis Apresiasi Gerakan Koperasi Negeri Sembilan 2024: Iktiraf Sumbangan Koperasi dalam Perniagaan
Caption
Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Utama Haji Aminuddin Harun (duduk, tengah) bergambar bersama barisan tetamu kehormat dan Jawatankuasa Perhubungan ANGKASA Negeri Sembilan selepas merasmikan Majlis Apresiasi Gerakan Koperasi Negeri Sembilan 2024 di Seremban, Negeri Sembilan pada 18 Disember 2024.
Oleh: MOHD ZAKUAN AZMI
Majlis Apresiasi Gerakan Koperasi Negeri Sembilan 2024 menempa sejarah tersendiri apabila dihadiri dan dirasmikan oleh Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato' Seri Utama Haji Aminuddin Harun dalam satu acara yang berlangsung meriah di Klana Resort Seremban pada 18 Disember 2024. Majlis tersebut yang dihadiri oleh lebih 530 tetamu mewakili lebih 60 buah koperasi di seluruh Negeri Sembilan itu turut diserikan dengan sesi penyampaian beberapa anugerah kecemerlangan kepada koperator dan koperasi.
Sebahagian daripada 530 tetamu yang hadir memeriahkan majlis.
Dato' Seri Utama Haji Aminuddin dalam ucapannya berkata, gerakan koperasi di Negeri Sembilan mampu mencipta kejayaan yang lebih besar berdasarkan kepada perkembangan sosioekonomi semasa dan aktiviti perniagaan yang semakin berdaya maju. Katanya, prestasi gerakan koperasi Negeri Sembilan yang begitu memberangsangkan itu dibuktikan dengan data oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) sehingga Disember 2023 menunjukkan bilangan koperasi berdaftar sudah mencecah angka 780 buah dengan 192,503 anggota. Jumlah syer atau yuran pula sebanyak RM123.24 juta dan aset sebanyak RM400.72 juta manakala perolehan pula telah mencapai RM190.05 juta. Beliau juga mahu semua koperasi di Negeri Sembilan meneruskan usaha dengan lebih giat selain mendoakan agar gerakan koperasi terus maju dan memberi sumbangan bermakna kepada anggota dan masyarakat. Sementara itu, Pengerusi ANGKASA Negeri Sembilan, Dato' Haji Ibrahim Haji Abdullah yang mewakili Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah dalam ucapannya berkata, majlis tersebut dianjurkan dengan objektif untuk menjalinkan ikatan ukhuwah, meraikan kecemerlangan serta membina rangkaian pemasaran dan perniagaan dalam kalangan koperasi seluruh Negeri Sembilan.
Selain itu katanya, penganjuran kali kedua itu juga adalah bagi memberi pengiktirafan terhadap pencapaian koperasi dan koperator dalam pembangunan koperasi. Secara tidak langsung, usaha tersebut dapat menyemarakkan semangat koperasi dalam meningkatkan kecemerlangan dan memberi manfaat yang berterusan serta semangat untuk mengukuhkan kecemerlangan gerakan koperasi dengan daya saing tinggi ke arah globalisasi. Beliau juga turut berterima kasih kepada semua yang terlibat dalam menjayakan majlis tersebut. Hadir sama dalam majlis tersebut ialah barisan Anggota Lembaga ANGKASA iaitu Datuk Haji Mohamad Ali Hasan, Dato' Haji Kamarudin Ismail, Dato' Haji Che Mohd Shukree Che Isa, Prof. Madya Dato' Dr. Haji Abdul Rahman Abdul Razak Shaik dan Encik Azizul Alias, Pengerusi ANGKASA Negeri Melaka, Haji Zaidan Haji Abd. Hadi, Pengerusi Jawatankuasa Audit Dalaman ANGKASA, Dato' Shaharudin Mohd Sa'ad, Pengarah SKM Cawangan Negeri Sembilan, Tuan Radiatul Fitri Dollah dan barisan Jawatankuasa Perhubungan ANGKASA Negeri Sembilan.
Made with FlippingBook. PDF to flipbook with ease