Perutusan Timbalan Perdana Menteri & Menteri Kemajuan Desa Dan Wilayah
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera. Segala puji ke hadrat Allah S.W.T, dengan izin-Nya dapat kita berkumpul di Majlis Perkhidmatan Cemerlang (MPC) dan Apresiasi Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) bagi tahun 2022 yang diadakan untuk menghargai warga KKDW yang telah menunjukkan prestasi kerja cemerlang sepanjang tahun 2022. Umum tahu, MPC merupakan satu platform bagi mengiktiraf pencapaian dan sumbangan penjawat awam khususnya warga KKDW yang telah berusaha dalam melaksanakan kerja dengan cekap, produktif dan beriltizam. Kementerian sangat menghargai komitmen warga KKDW yang telah melaksanakan tugas dengan amanah, ikhlas dan bertanggungjawab bagi memastikan matlamat yang ditetapkan dapat dicapai dengan cemerlang. Teruskan budaya dan momentum kecemerlangan ini, kerana kejayaan yang dikecapi hari ini adalah pemangkin serta pemacu perubahan dalam kita bersama memajukan masyarakat desa. Sesungguhnya, tahun 2023 telah membuka lembaran baharu buat kita semua. Kita telah membentuk hala tuju bersama dan saya berharap apa yang telah dirancang dapat direalisasikan ke dalam bentuk program atau projek Kementerian ke arah meningkatkan kesejahteraan masyarakat desa secara menyeluruh dan berkesan selaras dengan agenda Desa Madani. Saya mewakili keluarga besar KKDW ingin mengucapkan ‘Selamat Bersara’ dan setinggi-tinggi penghargaan kepada hadirin atas jasa dan khidmat bakti anda selama ini serta mendoakan agar sihat wal’afiat dan berjaya dalam apa jua bidang yang diceburi. Akhir kata, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang telah menjayakan Majlis Perkhidmatan Cemerlang dan Apresiasi pada hari ini dan kepada penerima PPC dan APC, tahniah dan syabas diucapkan. Semoga tuan-tuan dan puan-puan dapat mengekalkan kecemerlangan untuk mencipta lebih banyak kejayaan pada masa hadapan serta menjadi inspirasi kepada warga KKDW keseluruhannya. Syabas dan Selamat Maju Jaya. “MALAYSIA MADANI” “DESA MADANI”
”
YAB DATO’ SERI DR. AHMAD ZAHID BIN HAMIDI TIMBALAN PERDANA MENTERI & MENTERI KEMAJUAN DESA DAN WILAYAH
2
Made with FlippingBook Digital Proposal Creator