KATA ALU-ALUAN KETUA SETIAUSAHA KEMENTERIAN KEMAJUAN DESA DAN WILAYAH
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera. Alhamdulillah, ucapan syukur saya zahirkan ke hadrat Allah SWT kerana atas limpah kurnia dan izin-Nya, Majlis Perkhidmatan Cemerlang dan Apresiasi Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) Tahun 2022 dapat dilaksanakan. Majlis pada hari ini adalah satu bentuk pengiktirafan Kerajaan kepada warga KKDW yang telah menunjukkan perkhidmatan yang cemerlang dalam memikul tanggungjawab yang telah diamanahkan. Pemilihan penerima anugerah ini telah melalui penilaian yang komprehensif mencakupi prestasi kerja yang cemerlang, sumbangan melebihi tanggungjawab sebenar, rekod kehadiran serta tatakelakuan dan sumbangan luar pegawai. Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk merakamkan setinggi-tinggi tahniah dan syabas serta terima kasih kepada seluruh keluarga besar KKDW yang telah sama-sama menggembleng tenaga dalam memastikan kualiti dan keberkesanan penyampaian perkhidmatan di Kementerian ini. Justeru, saya juga berharap agar pengiktirafan dan penghargaan ini akan menjadi pencetus semangat kepada semua penerima untuk meningkatkan mutu kerja yang berkualiti seterusnya menjadi role model dan mentor terbaik kepada warga KKDW yang lain. Tidak lupa juga kepada pesara, saya doakan semoga para pesara sentiasa dirahmati Allah s.w.t dan akan terus berjaya dalan apa jua lapangan yang diceburi selepas ini. Segala jasa bakti yang dicurahkan kepada KKDW akan terus terpahat dan sentiasa dikenang. Akhir kata, sekali lagi saya ingin merakamkan penghargaan dan tahniah kepada semua penerima Pingat Perkhidmatan Cemerlang (PPC) dan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) KKDW Tahun 2022 serta Jawatankuasa Penganjur yang telah bertungkus-lumus dalam menjayakan majlis ini. Harapan saya, semua pencapaian dan kejayaan pada tahun 2022 dijadikan benchmarking atau penanda aras untuk kita mengorak langkah ke hadapan dan terus meningkatkan produktiviti yang berterusan selaras dengan hasrat Kerajaan dalam mewujudkan perkhidmatan awam yang lebih cekap, bersih dan amanah untuk pembangunan negara demi kesejahteraan rakyat. Syabas dan Selamat Maju Jaya. “MALAYSIA MADANI” “LUAR BANDAR SEJAHTERA” YBHG. DATO’ SRI RAMLAN BIN DATO’ HARUN KETUA SETIAUSAHA KEMENTERIAN KEMAJUAN DESA DAN WILAYAH
3
Made with FlippingBook Digital Proposal Creator