WADAH PELANCAR EDISI JANUARI 2024

PENGANTARABANGSAAN KOPERASI 12

JANUARI 2024

ANGKASA Kembangkan Pasaran Produk Koperasi ke Sumatera

Oleh NURMURNI WAHAB

ANGKASA telah memeterai satu Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Kamar Dagang dan Industri Indonesia (Kadin Riau) dengan matlamat untuk menggalakkan promosi dan pemasaran produk hasil keluaran koperasi di Malaysia dan Indonesia, serta meningkatkan kerjasama perdagangan antara kedua- dua negara serumpun tersebut. MoU tersebut telah ditandatangani antara Anggota Lembaga ANGKASA, Dato’ Haji Kamarudin Ismail dengan Ketua KADIN Riau, H Masuri SH di Pekanbaru pada 28 Disember 2023. Dato’ Haji Kamarudin berkata, MoU itu merupakan susulan kunjungan hormat delegasi KADIN bertemu barisan kepimpinan ANGKASA pada 8 Ogos 2023. Dalam kunjungan tersebut, kedua-dua pihak telah mengadakan perbincangan untuk mewujudkan kerjasama dalam pelbagai bidang khususnya keusahawanan koperasi. MoU berkenaan turut merangkumi promosi produk 100 Product Champion , mewujudkan kerjasama strategik antara ANGKASA dengan badan pengusaha produk di Riau dan mengenal pasti produk yang berpotensi untuk dipasarkan di Malaysia menerusi Projek Barangan Asas 100 (BA100). Pada 27 Disember 2023, delegasi ANGKASA yang diketuai oleh Dato’ Haji Kamarudin juga telah melakukan kunjungan hormat kepada Konsul Konsulat Malaysia Pekanbaru, Encik Mohammed Hosnie Shahiran Ismail. Pertemuan itu bertujuan untuk berkongsi peranan masing-masing dan membincangkan inisiatif yang dapat memperkuat hubungan kedua pihak, sekaligus merancang langkah strategik yang akan memberi manfaat kepada pertumbuhan ekonomi koperasi di kedua-dua negara. Antara produk koperasi di Malaysia yang terlibat dalam industri tersebut adalah Koperasi Kakitangan Perkhidmatan Pendidikan Johor Berhad, Koperasi Pembangunan Daerah Petaling Berhad, Koperasi Pekebun Kecil Daerah Batu Pahat Berhad dan Koperasi Usaha Anak FELDA Berhad. Hadir sama dalam lawatan ANGKASA ke Pekanbaru ialah Pengerusi ANGKASA Negeri Johor, Haji Sazali Abd. Hamid, Pengerusi ANGKASA Negeri Pulau Pinang, Haji Mohd Jamil Othman dan Pengurus Besar Bahagian Kepimpinan Modal Insan dan Pembangunan Keusahawanan ANGKASA, Haji Ahmad Marzuki Ismail. Penolong Pengurus Seksyen Pemborongan dan Peruncitan Bahagian Peneraju ANGKASA

Anggota Lembaga ANGKASA, Dato' Haji Kamarudin Ismail mengunjungi gerai yang mempamerkan produk keluaran koperasi di Malaysia dan Indonesia.

Dato' Haji Kamarudin Ismail menyampaikan cenderamata kepada Konsul Konsulat Malaysia Pekanbaru, Encik Mohammed Hosnie Shahiran Ismail semasa kunjungan hormat di pejabat beliau pada 27 Disember 2023. Turut kelihatan ialah Pengerusi ANGKASA Negeri Johor, Haji Sazali Abd. Hamid (kanan sekali) , Pengerusi ANGKASA Negeri Pulau Pinang, Haji Mohd Jamil Othman (dua dari kiri) dan Pengurus Besar Bahagian Kepimpinan Modal Insan dan Pembangunan Keusahawanan ANGKASA, Haji Ahmad Marzuki Ismail (kiri sekali)

Dato' Haji Kamarudin Ismail (tiga dari kanan) bersama delegasi koperasi daripada Malaysia yang mengikuti lawatan ke Pekanbaru, Indonesia pada 28 Disember 2023.

Made with FlippingBook. PDF to flipbook with ease