10
Koperasi Perumahan: Memastikan Kediaman Berkualiti dan Lestari untuk Semua
Oleh: Nadiah Kamarudin
Datuk Haji Mohamad Ali Hasan Anggota Lembaga ANGKASA Pengerusi Kumpulan Tadbir Urus dan Pentadbiran
Menurut laporan Tinjauan Kestabilan Kewangan Separuh Pertama 2023 yang dikeluarkan oleh Bank Negara Malaysia, ketidakmampuan memiliki rumah kekal sebagai penghalang utama isi rumah untuk mendapatkan pembiayaan rumah. Sebanyak 86.1% pinjaman ditolak disebabkan oleh harga rumah yang tinggi (dan seterusnya nilai pinjaman/pembiayaan) yang jauh di luar kemampuan kewangan mereka meskipun skim jaminan pinjaman disediakan. Untuk memastikan kelestarian pasaran hartanah dan kemampuan masyarakat untuk terus memiliki rumah, pembaharuan yang lebih meluas dalam sektor perumahan tetap menjadi antara keutamaan kerajaan.
Justeru, koperasi berfungsikan dan menjalankan aktiviti berkaitan perumahan perlu meningkatkan peranan dalam memastikan kediaman berkualiti dan lestari tidak hanya terhad kepada golongan berpendapatan tinggi, tetapi juga merangkumi golongan berpendapatan rendah dan sederhana. Koperasi perumahan perlu bekerjasama dengan pihak kerajaan dan swasta mahupun koperasi lain untuk menangani pelbagai cabaran yang dihadapi. Dalam projek perumahan di mana terdapat kerjasama antara koperasi dengan pihak lain, terdapat kecenderungan hasil untuk mencapai kadar kejayaan yang lebih tinggi. Pendekatan kolaboratif ini menyatukan pelbagai pihak berkepentingan, memanfaatkan kekuatan dan sumber mereka yang akhirnya menyumbang
kepada kejayaan keseluruhan inisiatif perumahan. Sebagai contoh, Koperasi Perumahan Melayu Perak Berhad yang membangunkan projek perumahan Taman Perpaduan Koperasi berkeluasan 126 ekar di Batu 5, Tambun, Ipoh, Perak secara bersepadu dengan dua koperasi lain, iaitu Koperasi Polis Diraja Malaysia Berhad dan Koperasi Guru-Guru Melayu Perak Berhad pada 2001. Projek yang dibina dalam dua fasa itu melibatkan pembinaan lebih 1,000 unit rumah dalam Fasa I sementara Fasa II pula membabitkan sebanyak 145 unit rumah. Kediaman yang dibangunkan dalam kedua-dua fasa tersebut merangkumi rumah jenis teres setingkat, teres dua tingkat, teres tiga tingkat dan studio serta rumah kedai.
Made with FlippingBook. PDF to flipbook with ease