WADAH PELANCAR EDISI KHAS MAN 2024

ANGKASA Pahang II (Tengah) 19

Koperasi Digalak Terlibat dalam Ekosistem Ternakan Ayam

Oleh: Rahmat Mohd. Did

Haji Mansor Ab. Rahman Pengerusi ANGKASA Negeri Pahang II (Tengah)

Bagi menyambut seruan kerajaan agar ANGKASA mengambil inisiatif dalam isu keterjaminan makanan khususnya bekalan ayam, satu Projek Rintis Ternakan Ayam Gerakan Koperasi telah dilaksanakan di Temerloh, Pahang dengan kerjasama Koperasi Keluarga Haji Yunus Temerloh Berhad (KOPYUN). Projek yang turut melibatkan ANGKASA Negeri Pahang II (Tengah) itu dijalankan sebagai projek permulaan bagi menggalakkan lebih banyak koperasi menceburi Ekosistem Ternakan Ayam yang diperkenalkan ANGKASA. Dalam sesi lawatan tapak projek pada bulan Januari 2024, Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah berkata, pemilihan KOPYUN sebagai pengendali projek rintis itu adalah berdasarkan pengalaman mereka selama lebih empat tahun dalam industri ternakan. “Koperasi ini mempunyai empat reban yang dikendalikan secara moden dan boleh memantau perkembangan serta pembesaran ayam sehingga dipasarkan bagi keperluan tempatan,” katanya. Fasa pertama projek yang bermula pada 29 Disember 2023 sehingga 4 Februari 2024 tersebut telah berjaya mendapat hasil ternakan sebanyak 29,650 ekor berbanding 31,040 ekor bilangan ayam yang dimasukkan dengan kadar kematian sebanyak empat peratus. “Dalam masa 37 hari sahaja kita sudah melihat perkembangan yang sangat sihat ini. Saya yakin projek ini mampu membekalkan ayam segar dan memenuhi permintaan pengguna, anggota koperasi dan pemain industri di kemudian hari,” tambah beliau lagi. Menurutnya, hasil ternakan tersebut akan dipasarkan kepada 1,200 koperasi yang mengendalikan program Projek Barangan Asas 100 (BA100) menerusi platform digital di seluruh negara.

ANGKASA telah memperuntukkan sebanyak RM10 juta kepada koperasi untuk terlibat dalam sektor agromakanan ternakan ayam dan ruminan bagi membantu menjamin bekalan makanan negara.

Sementara itu, Pengerusi ANGKASA Negeri Pahang II (Tengah), Haji Mansor Ab. Rahman berkata, pihaknya akan terus memberikan komitmen penuh bagi memastikan projek rintis ini berjalan dengan baik sekali gus memberi

inspirasi kepada koperasi lain di negeri berkenaan untuk terlibat sama. “Penglibatan ANGKASA dan gerakan koperasi dalam industri berimpak tinggi seperti ini bukan sahaja mampu memberi pulangan lumayan kepada koperasi, malah rakyat juga akan mendapat manfaatnya kerana ini merupakan salah satu usaha kita untuk mengurangkan kebergantungan kepada syarikat pembekal ayam besar lain seterusnya memecahkan monopoli dan kawalan harga,” ujarnya.

Pekerja memasukkan ayam ke dalam lori untuk penghantaran.

Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah (tiga dari kiri) melihat anak ayam yang diternak oleh Koperasi Keluarga Haji Yunus Temerloh Behad (KOPYUN). Turut sama ialah Anggota Lembaga ANGKASA, Dato’ Haji Kamarudin Ismail (dua dari kiri), Pengerusi ANGKASA Pahang II (Tengah), Haji Mansor Ab. Rahman (kanan sekali) dan Pengerusi KOPYUN, Encik Badri Yunus (kiri sekali). Kredit: Roselan Ab Malek (Harian Metro).

Made with FlippingBook. PDF to flipbook with ease