24
ANGKASA Selangor
Gambar Hiasan
Ternakan Ayam Kampung Kacuk Bantu Kukuh Industri Agromakanan Negara Oleh: Nor Azah Abd. Aziz
Dato' Haji Mohd Alias Hamzah Pengerusi ANGKASA Negeri Selangor
ANGKASA Negeri Selangor menyahut saranan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP)untuk melihat lebih banyak koperasi terlibat dalam bidang ternakan dengan tujuan memperkukuh industri agromakanan melalui aktiviti ternakan ayam kampung kacuk. Pengerusinya, Dato’ Haji Mohd Alias Hamzah menyatakan bahawa projek itu akan dilaksanakan dengan kerjasama Koperasi Agro Hitech Selangor Berhad di sebuah kawasan yang menempatkan sebanyak enam buah reban di Serendah, Selangor. Setiap reban yang berukuran sekitar 30.48 meter kali 9.144 meter dapat menampung hingga lima ribu ekor anak ayam pada satu masa. Beliau turut menegaskan bahawa projek tersebut bukanlah perkara yang mudah kerana pelbagai faktor yang mempengaruhi kejayaannya perlu diambil kira, terutamanya faktor persekitaran seperti cuaca panas yang boleh memberikan impak kepada tumbesaran ayam dan ancaman haiwan liar. Setiap reban juga perlu berada dalam keadaan bersih dan selamat untuk mengelak ayam dijangkiti penyakit. Walaupun cabaran itu wujud, namun beliau yakin dengan kerjasama dan perancangan yang baik, projek ternakan ayam kampung kacuk itu mampu memberi manfaat besar kepada industri agromakanan negara, menjamin kelestarian bekalan makanan pada masa hadapan dan membuka peluang pekerjaan kepada komuniti setempat. Dato’ Haji Mohd Alias menambah bahawa lokasi reban dipilih secara berstrategik, berjarak 250 meter dari kawasan kediaman, selaras dengan syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar. Ini bertujuan untuk memastikan aktiviti ternakan ayam terlindung daripada pencemaran sungai, bau yang tidak diingini, pembiakan lalat, makhluk perosak dan pencemaran sisa.
Reban berukuran 30.48 meter kali 9.144 meter di mana Koperasi Agro Hitech Selangor Berhad akan menjalankan perusahaan ternakan ayam kampung kacuk.
Sementara itu, Bendahari Koperasi Agro Hitech Selangor Berhad, Encik A. Al-Haqq Mohammad Mubin berkata, anak ayam kampung kacuk diternak sejak berusia seminggu dengan harga belian sekitar RM2.20 seekor. Ayam boleh mula dijual selepas berusia 45 hari (satu pusingan) dengan berat kira-kira 1.2 kilogram. Katanya, harga ayam kampung kacuk juga sedikit murah berbanding ayam kampung asli tetapi kadar tumbesarannya yang lebih cepat telah berjaya mengatasi kekurangan itu. Satu pusingan ayam kampung asli bersamaan dengan empat pusingan ayam kampung kacuk. Harga jualan pula adalah sekitar RM11 hingga RM12 sekilogram.
Bahagian dalam reban.
Made with FlippingBook. PDF to flipbook with ease