WADAH PELANCAR EDISI KHAS MAN 2024

27

ANGKASA Pulau Pinang Perkasa Penanaman Rock Melon Berskala Besar Oleh: Nadiah Kamarudin

ANGKASA Pulau Pinang

Haji Mohd Jamil Othman Pengerusi ANGKASA Negeri Pulau Pinang

ANGKASA Negeri Pulau Pinang terus mengorak langkah dalam Projek Inkubator Tanaman Fertigasi Rock Melon dengan memfokuskan terhadap penanaman berskala industri bermula Januari tahun ini. Projek yang berdaya maju itu diusahakan dengan menggunakan internet kebendaan (IoT) dibekalkan oleh Koperasi Permodalan Sahabat Terengganu Berhad sebagai konsultan projek. Pengerusi ANGKASA Negeri Pulau Pinang, Haji Mohd Jamil Othman berkata, sejak projek itu bermula pada Januari 2023, sebanyak satu tan rock melon dalam pelbagai variasi telah berjaya dituai dan dibekalkan ke cawangan Jaya Grocer di Seberang Jaya, Pulau Pinang. Pasar raya premium terkemuka itu turut memasarkan hasil tuaian ke cawangannya yang lain di seluruh negara. Katanya, Jabatan Pertanian Pulau Pinang dan Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang telah memberikan sebanyak enam buah rumah hijau yang setiapnya berkeluasan satu ekar di Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Ara Kuda, Tasek Gelugor untuk dimajukan bagi kegunaan projek tersebut. Bagi memenuhi permintaan Jaya Grocer untuk penghantaran sebanyak satu tan buah setiap dua minggu, ANGKASA Negeri Pulau Pinang

menanam sejumlah empat ribu pokok rock melon di setiap rumah hijau yang mampu menghasilkan sebanyak enam tan buah. Walau bagaimanapun, serangan serangga perosak dan cuaca tidak menentu menyebabkan hanya empat tan buah sahaja yang boleh dituai. Haji Mohd Jamil turut menyatakan bahawa pihaknya telah mengadakan jualan secara runcit di beberapa tempat seperti ibu pejabat ANGKASA dan jabatan kerajaan. Selain itu, perbincangan dengan AEON juga dijalankan dan hasil daripada perbincangan tersebut, pihak AEON bersetuju untuk membeli 500 kilogram buah setiap dua minggu. Pelan jangka panjang ANGKASA adalah untuk menembusi pasaran luar negara dan bagi mencapai sasaran itu, sebanyak 24 tan buah perlu dihasilkan setiap tiga bulan. Justeru, ANGKASA Negeri Pulau Pinang telah menganjurkan bengkel yang melibatkan 15 koperasi di negeri tersebut yang berhasrat untuk menyertai projek serta mengadakan perbincangan bersama Suruhanjaya Koperasi Malaysia bagi melihat bentuk bantuan yang boleh diberikan. Sebagai langkah awal, koperasi yang berminat tetapi tidak mempunyai tanah sendiri boleh memiliki syer dalam projek tersebut dan menggunakan rumah hijau di TKPM Ara Kuda untuk memulakan

proses penanaman. Apabila sudah memiliki tanah, koperasi boleh mengendalikan sendiri projek dengan menggunakan modul dan konsep sedia ada. Tambah Haji Mohd Jamil, pihaknya juga telah menjemput koperasi dari negeri lain untuk turut serta dan setakat ini, terdapat dua koperasi di Perak dan Perlis yang mempunyai rumah hijau mereka sendiri telah menunjukkan minat untuk mengambil bahagian dalam projek itu. Akhir sekali, ANGKASA berharap untuk Projek Inkubator Tanaman Fertigasi Rock Melon yang kini diletakkan di bawah kategori Projek Pemerkasaan Koperasi 1 (CEP 1) dapat melangkah ke peringkat CEP 2, iaitu diserahkan sepenuhnya kepada 15 koperasi tersebut. Hal ini bukan hanya bertujuan untuk meningkatkan kemandirian koperasi dalam mengurus dan memajukan projek tetapi juga sebagai langkah strategik dalam memperluas impak positif kepada ekonomi negeri serta memberikan dorongan kepada lebih banyak koperasi untuk turut serta dalam projek berimpak tinggi. Semua pihak diharap dapat terus menyokong dan bersinergi demi kejayaan jangka panjang projek itu supaya gerakan koperasi mampu menjadi antara pemain utama dalam industri pertanian lestari.

Pekerja membersihkan hasil tuaian daripada kotoran dan menyiapkan kotak untuk persiapan penghantaran ke Jaya Grocer dan beberapa tempat lain.

Made with FlippingBook. PDF to flipbook with ease