29
ANGKASA WP Komited Bantu Kerajaan Tangani Kemiskinan Bandar Oleh: Nadiah Kamarudin
ANGKASA Wilayah Persekutuan
Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Cawangan Wilayah Persekutuan (WP) yang diketuai oleh Pengarahnya, Haji Efendee O.P Andu (lima dari kiri) bersama ANGKASA Wilayah Persekutuan (WP) yang diketuai oleh Pengerusinya, Hajah Sharifah Aminah Syed Mohssain (tiga dari kanan) mengadakan kunjungan hormat bertemu Ketua Pengarah Jabatan Wilayah Persekutuan, YBhg. Dato’ Indera Noridah Abdul Rahim (lima dari kanan) di pejabat beliau di Putrajaya pada 24 Januari 2024.
Nilai purata Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) yang meningkat kepada RM2,589.00 berbanding RM2,208.00 sekali gus memberi kesan kepada jumlah penduduk miskin dan miskin tegar di seluruh negara. Tanggungjawab mengurangkan kemiskinan perlu dipikul oleh semua pihak termasuk sektor koperasi kerana pengukuran kemiskinan tidak terhad kepada kemampuan membeli barangan keperluan, malah turut melibatkan komponen lain seperti kualiti hidup, pendidikan berkualiti, akses perkhidmatan kesihatan terbaik serta perumahan selesa dan mampu milik. Justeru, usaha menangani kemiskinan bandar melalui platform koperasi sentiasa menjadi agenda utama ANGKASA Wilayah Persekutuan (WP) yang diterajui oleh Pengerusinya, Hajah Sharifah Aminah Syed Mohssain. Usaha tersebut digerakkan secara bersama dengan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Cawangan Wilayah Persekutuan (WP) yang diketuai oleh Pengarahnya, Haji Efendee O.P Andu. Menurut Hajah Sharifah Aminah, pihaknya telah mengadakan perjumpaan dengan 65 persatuan penduduk Program Perumahan Rakyat (PPR) di sekitar Kuala Lumpur pada tahun 2023 sebagai langkah awal untuk memberikan kefahaman kepada mereka mengenai gerakan koperasi dan model perniagaannya. Beliau berharap usaha tersebut dan pelbagai lagi aktiviti yang telah dirangka untuk tahun 2024 boleh menggalakkan persatuan tersebut untuk menubuhkan koperasi berasaskan komuniti seperti koperasi kariah masjid, koperasi rukun tetangga
dan kejiranan serta koperasi persatuan penduduk bagi meningkatkan taraf hidup penduduk PPR dan memperkasakan komuniti setempat melalui aktiviti perkumpulan. ANGKASA WP menyasarkan penubuhan lima koperasi komuniti PPR pada tahun 2024 yang akan menjalankan pelbagai aktiviti perniagaan sebagai contoh perniagaan kedai runcit, kedai gunting rambut, kedai dobi, kedai jahit dan pusat penjagaan kanak-kanak. Barisan kepimpinan ANGKASA WP dan SKM Cawangan WP juga telah mengadakan kunjungan hormat bertemu Ketua Pengarah Jabatan Wilayah Persekutuan, YBhg. Dato’ Indera Noridah Abdul Rahim pada 24 Januari 2024 dan berbincang mengenai peluang kerjasama khususnya dalam melaksanakan program pembangunan komuniti melalui koperasi. Di samping itu, ANGKASA WP juga turut menggalakkan koperasi kariah masjid dan koperasi sekolah di sekitar Kuala Lumpur untuk mengusahakan kedai runcit menerusi Projek Barang Asas 100 (BA100) yang menawarkan platform ‘JiMAT Biz’. Sehingga 31 Disember 2023, sebanyak 199 koperasi yang berdaftar di Kuala Lumpur dan Putrajaya menggunakan sistem tersebut sekali gus mencatat nilai jualan berjumlah RM232,684.16. Semenjak mengambil alih kepemimpinan ANGKASA WP, Hajah Sharifah Aminah juga memanfaatkan kedudukannya sebagai satu-satunya wanita dalam kalangan 16 Pengerusi ANGKASA Negeri dengan memperkasakan koperasi wanita
Hajah Sharifah Aminah Syed Mohssain Pengerusi ANGKASA Wilayah Persekutuan
untuk menjadi usahawan yang berjaya melalui penganjuran pelbagai kursus, latihan dan bengkel. ANGKASA WP juga mempunyai perancangan untuk membuka sebuah pusat berpantang yang patuh syariah dan menyediakan pakej berpantang yang berpatutan.
Lebih 730 peserta terdiri daripada koperator koperasi sekolah dan koperasi dewasa telah menyertai program Coop Charity Run yang dianjurkan oleh ANGKASA WP di Dataran DBKL, Kuala Lumpur pada 21 Januari 2024.
Sesi perbincangan antara ANGKASA WP dengan SKM Cawangan WP.
Made with FlippingBook. PDF to flipbook with ease