WADAH PELANCAR EDISI KHAS MAN 2024

33

ANGKASA Sabah

Koperasi Memacu Pembangunan Ekonomi di Sabah Oleh: Mohd Idzdihar Nooridzahir

Koperasi disifatkan sebagai model keusahawanan sosial yang tidak menitikberatkan keuntungan sebagai matlamat utama. Sebaliknya, koperasi bertujuan memberi manfaat dan kesejahteraan kepada ahlinya dan masyarakat. Oleh itu, gerakan koperasi di Sabah memainkan peranan penting dalam menangani cabaran peningkatan kos sara hidup penduduk di negeri itu. Sehubungan itu, ANGKASA Negeri Sabah yang dipimpin Dr. Zhamriee Gulamrasul sebagai Pengerusi akan melaksanakan pelbagai program bertujuan untuk memperkasakan pembangunan koperasi dan meningkatkan kesedaran umum mengenai peranan dan tanggungjawab koperasi. Beliau menyatakan bahawa pihaknya akan sentiasa menyokong dan membantu usaha yang dijalankan oleh lebih 1,700 koperasi di Negeri di Bawah Bayu itu termasuk bekerjasama dengan pelbagai kementerian, agensi dan sektor swasta untuk memajukan ekonomi negeri. Katanya, program Kembara Jelajah Borneo oleh ANGKASA yang berlangsung di Sabah dan Sarawak bermula 25 hingga 31 Januari 2024 telah berjaya mencapai matlamat penganjurannya dengan mendekatkan masyarakat di kedua-dua negeri tersebut dengan gerakan koperasi. Beliau juga menyeru agar koperasi di Sabah memanfaatkan sumber alam semula jadi dan potensi pelancongan yang unik di negeri berkenaan. “Di Sabah, masih banyak kawasan yang belum diterokai. Kita mempunyai pelbagai sumber dan lokasi yang menarik untuk dijadikan destinasi pelancongan. Koperasi juga digalakkan untuk melibatkan diri dalam sektor makanan dan pertanian serta bidang ternakan secara komersil,” katanya. Tambah beliau, koperasi juga digalakkan untuk terlibat dalam bidang pemborongan dan peruncitan dengan menyertai Projek Barang Asas 100 (BA100) yang diterajui oleh ANGKASA bagi mengurangkan penguasaan pihak tertentu dalam sektor tersebut. “Kita lihat masalah yang dihadapi rakyat Malaysia hari ini adalah harga barangan asas yang terlalu mahal. Hal ini berpunca daripada pengaruh kartel yang ada,” jelas beliau. ANGKASA Negeri Sabah juga akan meneliti di setiap daerah untuk menilai bentuk perniagaan yang sesuai dan menyelaras perlaksanaan program pembangunan ekonomi secara lebih komprehensif.

Dr. Zhamriee Gulamrasul Pengerusi ANGKASA Negeri Sabah

Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah dan Pengarah Serantau Ikatan Koperasi Antarabangsa – Asia dan Pasifik (ICA-AP), Mr. Balu Iyer (tengah) mengadakan kunjungan ke ANGKASAMart Kota Kinabalu di Api-Api Centre, Kota Kinabalu. Hadir sama ialah Pengerusi ANGKASA Negeri Sabah, Dr. Zhamrie Gulamrasul.

Datuk Seri Dr. Abdul Fattah bersama delegasi Kembara Jelajah Borneo bergambar bersama warga Koperasi SMK Badin Tuaran Berhad.

Made with FlippingBook. PDF to flipbook with ease