6
Memperkasa Ekonomi Koperasi Mikro dalam Gerakan Koperasi
Oleh: Wan Adlina Wan Ab. Aziz
Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Haji Abdullah Presiden ANGKASA merangkap Presiden ASEAN Co-operative Organization (ACO)
PENGENALAN Kesungguhan koperasi melalui penglibatan secara aktif dalam sektor ekonomi bernilai tinggi bukan sahaja berupaya meningkatkan standard dan perolehan koperasi, malah boleh memberi manfaat kepada anggota dan komuniti setempat melalui hasil ekonomi secara keseluruhan. Sebagai pemangkin kepada aspirasi ‘Ekonomi MADANI: Memperkasakan Rakyat’ iaitu meningkatkan taraf hidup rakyat melalui kesaksamaan peluang ekonomi dan sosial, gerakan koperasi boleh berperanan sebagai penyumbang lebih bermakna kepada kekukuhan serta kelestarian sosioekonomi masyarakat dan negara. Usaha memacu pembangunan koperasi yang lebih progresif dan berdaya saing serta memberi manfaat kepada sosioekonomi rakyat juga adalah selari dengan Pelan Transformasi Koperasi Malaysia (TransKoM) 2021-2025 yang merupakan dasar di peringkat nasional sebagai panduan pembangunan sektor koperasi yang merangkumi bidang keusahawanan sosial, Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS), teknologi pendigitalan serta perindustrian. Memetik inti pati ucapan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), YB Datuk Ewon Benedick ketika mengadakan lawatan rasmi pertama ke Ibu Pejabat ANGKASA, Kelana Jaya pada 18 Januari 2023, beliau mahu gerakan koperasi membantu rakyat khususnya yang berpendapatan rendah keluar daripada paras kemiskinan. Beliau percaya melalui pendekatan koperasi, pelbagai program pembangunan boleh digerakkan
bagi tujuan untuk mengeluarkan rakyat daripada kepompong kemiskinan. Katanya lagi, gerakan koperasi juga perlu diberikan bantuan sama seperti syarikat atau organisasi lain supaya dapat bersama- sama merancakkan lagi aktiviti ekonomi dalam sektor utama. PERANAN KOPERASI MIKRO Menyedari akan kepentingan ekosistem dalam meningkatkan potensi koperasi mikro, ANGKASA sentiasa komited untuk menggerakkan koperasi mempelbagaikan perniagaan seterusnya mewujudkan ekosistem rantaian koperasi. Koperasi mikro perlu lebih kompetitif dan memperkasakan peranannya dalam aktiviti perniagaan yang lebih berdaya maju bagi meningkatkan prestasi ekonomi koperasi seterusnya meningkatkan tahap pendapatan tahunan. Bagi meningkatkan penyertaan dalam sektor bernilai tinggi, koperasi disaran supaya memberi tumpuan kepada pengukuhan kemampanan dan meningkatkan daya saing ekonomi berasaskan ilmu pengetahuan dan kerjasama strategik dengan pemain industri yang lebih berpengalaman dan kukuh. Fokus tersebut termasuk memperkasakan koperasi mikro dalam gerakan melalui rantaian bekalan dan memperkukuh ekosistem keusahawanan sosial. Inisiatif itu dilihat berupaya mendorong serta menggalakkan kluster koperasi itu sendiri dalam usahanya untuk meraih kejayaan dalam sektor bernilai tinggi. Usaha itu juga selaras dengan hasrat KUSKOP yang mahu melonjakkan lagi sektor koperasi di Malaysia melalui program pembangunan perniagaan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM).
Hasrat kerajaan menerusi Dasar Koperasi Malaysia 2030 (DaKoM 2030) yang mahu melihat gerakan koperasi menyumbang sebanyak RM60 bilion pada tahun 2025 dan RM73 bilion pada tahun 2030 diharap dapat meletakkan koperasi sebagai model perniagaan pilihan dalam memacu pertumbuhan sosioekonomi negara. Statistik SKM berakhir Jun 2023 merekodkan jumlah koperasi telah berkembang pesat dengan mencatatkan sejumlah 15,556 buah koperasi, keanggotaan seramai 7.3 juta individu, jumlah yuran / syer berjumlah RM17.47 bilion, aset bernilai RM161.96 bilion serta perolehan sehingga 31 Disember 2022 adalah sebanyak RM45.50 bilion. Pencapaian gerakan koperasi menerusi statistik ini menunjukkan koperasi mampu memberi sumbangan besar kepada ekonomi negara sekali gus berupaya mewujudkan satu rangkaian perniagaan yang kukuh dan mampan. Kemudahan Tabung Modal Pusingan (TMP) bernilai RM100 juta yang disediakan SKM kepada koperasi seharusnya dimanfaatkan sebaik mungkin oleh koperasi mikro untuk menjalankan perniagaan di samping melibatkan diri dalam pelaksanaan program pembangunan koperasi. Ini termasuk peruntukan sebanyak RM11.75 juta bagi melaksanakan pelbagai program pembangunan untuk manfaat koperasi di Malaysia termasuk peruntukan sejumlah RM6.75 juta merangkumi Program Pembangunan Perniagaan. Selain itu, Program Pemerkasaan Rantaian Bekalan Koperasi sebanyak RM2 juta dan Program Penggalakan Koperasi sebagai Social Enterprise (SE) sebanyak RM3 juta diharap dapat melonjakkan lagi pendapatan sektor koperasi dan PMKS di Malaysia.
Sumber: Perangkaan Gerakan Koperasi Malaysia 2023 (Suruhanjaya Koperasi Malaysia)
Made with FlippingBook. PDF to flipbook with ease