WADAH PELANCAR EDISI OKTOBER 2024

PENGANTARABANGSAAN KOPERASI 14

OKTOBER 2024

ANGKASA-iCOOP Korea Meterai Kerjasama Perkukuh Modal Insan dan Perniagaan Koperasi

LIPUTAN LUAR NEGARA

Delegasi Malaysia bergambar selepas selesai pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara ANGKASA yang diwakili oleh Anggota Lembaganya, Prof. Madya Dato’ Dr. Haji Abdul Rahman Abdul Razak Shaik (duduk, kanan) dengan iCoop Cooperative Institute yang diwakili Ketua Pengarahnya, Dr. Kim Ah Young di Goesan, Korea Selatan pada 1 Oktober 2024.

Oleh NOR LELA ABDUL GHANI

ANGKASA mengukuhkan kerjasama strategiknya dengan iCOOP Korea dalam bidang latihan dan keusahawanan bagi menggalakkan aktiviti pembangunan kapasiti serta meneroka peluang perniagaan bilateral melalui pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) yang berlangsung pada 1 Oktober 2024 di Goesan, Korea Selatan. Langkah itu merupakan inisiatif penting dalam usaha berterusan antara gerakan koperasi Malaysia dengan Korea Selatan untuk mengukuhkan kapasiti modal insan dalam kalangan kepimpinan dan pengurusan koperasi bagi menambah baik program pembangunan komuniti. Memorandum persefahaman tersebut ditandatangani oleh Anggota Lembaga ANGKASA, Prof. Madya Dato’ Dr. Haji Abdul Rahman Abdul Razak Shaik dan Ketua Pengarah iCOOP Cooperative Institute , Dr. Kim Ah Young . Kerjasama itu dimeterai dalam program latihan antarabangsa siri kedua Training Program for Managers of Cooperatives ‘7th Cooperative Principle in Action: Building a Community Through Cooperatives’ yang diadakan di Seoul, Korea Selatan bermula 28 September hingga 5 Oktober 2024. Program tersebut dianjurkan oleh ANGKASA dengan kerjasama iCOOP Korea. Dalam ucapannya, Prof. Madya Dato’ Dr. Haji Abdul Rahman berkata kerjasama strategik berkenaan akan meningkatkan pertukaran pengetahuan, amalan terbaik dan strategi inovatif dalam bidang latihan, tadbir urus, keusahawanan serta kelestarian yang mampu memperkasakan pembangunan gerakan koperasi di kedua-dua buah negara. Menurut beliau, kompleks Goesan Natural Dream Park yang diusahakan oleh iCOOP Korea merupakan contoh terbaik bagaimana sebuah koperasi boleh mencapai kejayaan ekonomi sambil memberi keutamaan kepada kelestarian komuniti dan alam sekitar.

Prof. Madya Dato’ Dr. Haji Abdul Rahman dan Dr. Kim Ah Young menunjukkan dokumen MoU yang telah ditandatangani.

“Penyertaan kepimpinan dan pengurusan koperasi Malaysia dalam program ini mencerminkan komitmen ANGKASA dan koperasi untuk meningkatkan daya saing gerakan koperasi terutamanya dalam aspek pembangunan berpusatkan komuniti. iCOOP Korea telah membuktikan komitmennya dalam mempromosikan kemampanan ekosistem berpaksikan komuniti melalui pelbagai inisiatif. ANGKASA yakin dan percaya program ini akan membuka peluang kepada para peserta untuk berinteraksi dan berkongsi pengalaman seterusnya mewujudkan rangkaian yang kukuh untuk pembangunan koperasi yang lebih berdaya saing,” kata beliau yang mengetuai delegasi Malaysia dalam program latihan tersebut. Hadir sama ialah Timbalan Pengarah Bahagian Pengurusan Pelaburan Suruhanjaya

Koperasi Malaysia, Puan Che Wan Soraya Che Wan Ibrahim dan Pengurus Besar Bahagian Perdagangan Komersial ANGKASA, Haji Mohd Azeelan Haji Adnan. Seramai 20 orang peserta dari ANGKASA, SKM, Institut Koperasi Malaysia (IKMa), Bank Rakyat dan 14 buah koperasi menyertai siri kedua Training Program for Managers of Cooperatives ‘7th Cooperative Principle in Action: Building a Community Through Cooperatives’. Terdahulu, program latihan siri pertama yang diketuai Ketua Pegawai Pengurusan Kumpulan ANGKASA, Haji Hasnan Haji Mustapha telah diadakan pada 21 hingga 28 September 2024 melibatkan 20 orang peserta. Program latihan antarabangsa yang dihoskan oleh ANGKASA dijangka akan diadakan di Malaysia bagi penglibatan peserta dari Korea hasil usaha sama daripada MoU tersebut.

Made with FlippingBook. PDF to flipbook with ease