KOPERASI 16
OKTOBER 2024
Koperasi Sejati Berhad (SEJATI) Sasar Tanam 2,000 Pokok Durian dalam Tempoh Tiga Tahun
Sebahagian buah durian telah siap untuk dijual kepada peraih.
Oleh NOR AZAH ABD AZIZ
Kerajaan menerusi Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menggalakkan perkembangan industri tanaman buah durian tempatan untuk diperluas, sekali gus membuka peluang kepada pengusaha durian di seluruh negara termasuk sektor koperasi untuk merancakkan industri tersebut. Galakan menceburi penanaman durian bermutu tinggi jenis Musang King dan Blackthorn misalnya, berupaya menjana pendapatan baharu yang lumayan dan mendatangkan keuntungan besar kepada pekebun dan koperasi yang terlibat. Berdasarkan rekod yang dikeluarkan oleh KPKM, dalam tempoh lima tahun dari tahun 2018 hingga 2022, nilai eksport durian ke luar negara telah berkembang sebanyak 256.3 peratus, iaitu peningkatan sebanyak RM822.8 juta. Durian merupakan penyumbang utama iaitu 58.6 peratus kepada nilai eksport buah-buahan negara pada tahun 2022 daripada keseluruhan nilai eksport buah-buahan yang bernilai RM2.01 bilion. Menjelang tahun 2030, nilai eksport durian diunjur akan terus meningkat kepada RM1.8 bilion. Menyedari akan sambutan luar biasa terhadap eksport ‘Raja Buah’ Malaysia di pasaran global, Koperasi Sejati Berhad (SEJATI) mengakui masa depan cerah dalam industri tersebut dan bagi tujuan itu, koperasi kini sedang giat mengusahakan ladang durian seluas hampir 30 ekar, iaitu melibatkan 20 ekar dan 10 ekar yang terletak di daerah Bentong dan Raub, Pahang.
Pengerusi ANGKASA Negeri Wilayah Persekutuan, Hajah Sharifah Aminah Syed Mohssain mencuba menggunakan alat pembuka buah durian.
Pengerusi koperasi, Dato’ Kamal Darus yang diwakili oleh Anggota Lembaga Koperasi (ALK) SEJATI, Haji Md. Husni Md. Dahri memberitahu, koperasi menyasarkan penanaman pokok durian sejumlah 20,000 pokok dalam tempoh tiga tahun akan datang khususya melibatkan penghasilan lebih banyak Buah Durian Gred Premium. Sehingga kini katanya, penanaman buah durian yang diusahakan SEJATI terdiri daripada pelbagai jenis termasuk Musang King, D200
Blackthorn, Udang Merah,Tekka, Hor Lor, D24 dan D2. “Ladang koperasi di kawasan seluas 4.04686 hektar (10 ekar) yang dikenali sebagai Raub Durian Orchard menawarkan pelbagai jenis durian terbaik kepada pengunjung. Terdapat lebih 400 pokok durian pelbagai kacukan boleh dinikmati pengunjung luar selain daripada pokok buah-buahan lain seperti manggis, rambutan, pulasan dan pisang.
Made with FlippingBook. PDF to flipbook with ease