TINJAUAN KOPERASI 19
Wadah
SISIPAN KHAS KOSISWA
Tokyo Metropolitan University (TMU) Jati Diri Faktor Kejayaan Koperasi Mahasiswa Jepun
Delegasi ANGKASA yang diketuai oleh Presiden, Datuk Seri Dr. Abdul Faah Abdullah (empat dari kiri) bersama beberapa delegasi antarabangsa bergambar kenangan di Tokyo Metropolitan University (TMU) .
Oleh: Nor Lela Abdul Ghani S ejarah gerakan koperasi universiti di Jepun bermula sejak 1898 dengan penubuhan koperasi universiti pertama berteraskan fungsi pengguna di Universiti Doshisha untuk menyokong keperluan akademik dan harian mahasiswa, sekali gus berkembang menjadi institusi penting yang menjadi tulang belakang universiti. Selepas Perang Dunia Kedua, koperasi universiti semakin berkembang pesat seiring dengan peningkatan keperluan kebajikan, pembangunan akademik, penyelidikan dan wadah untuk meningkatkan semangat kebersamaan dalam kalangan mahasiswa. Sebagai badan induk yang menaungi koperasi universiti di Jepun, National Federation of University Co-operative Associations (NFUCA) berperanan utama dalam menyelaras dan menyokong perkembangan koperasi universiti di negara matahari terbit itu. Sehingga Mac 2024, NFUCA menaungi 213 buah koperasi universiti dengan jumlah keanggotaan melebihi 1.5 juta individu yang mana 85 peratus anggotanya adalah mahasiswa universiti. Koperasi universiti di bawah seliaan NFUCA membuktikan keberkesanan koperasi sebagai entiti perniagaan yang mampan dan menguntungkan menerusi jualan tahunan pada 2023 mencecah 140.2 bilion Yen (RM4.2 bilion) dan lebihan pendapatan sebanyak 38.3 bilion Yen (RM1.15 bilion). Antara perniagaan yang menyumbang kepada keuntungan koperasi adalah perniagaan berasaskan pembelajaran, pelancongan, perkhidmatan, makanan dan minuman, insurans serta perumahan. Melalui lima program utama, NFUCA memastikan koperasi universiti menyediakan sokongan menyeluruh kepada mahasiswa dalam aspek pemakanan, kehidupan harian, akademik, pembangunan diri serta kesihatan dan kesejahteraan. Inisiatif tersebut merangkumi penyediaan makanan berkhasiat dengan harga
berpatutan, bantuan penginapan, akses kepada bahan pembelajaran, bengkel pembangunan kemahiran serta perlindungan insurans dan konsultasi kesihatan. Salah satu contoh terbaik koperasi universiti di Jepun ialah Tokyo Metropolitan University (TMU) Co-op yang telah ditubuhkan sejak tahun 1958. TMU Co-op mempunyai lebih 7,051 anggota mahasiswa dan beroperasi di beberapa kampus utama seperti Minami-Osawa, Arakawa dan Hino. Koperasi itu menyediakan pelbagai perkhidmatan termasuk kedai serbaneka, kafeteria, agensi pelancongan domestik dan perkhidmatan insurans. Mahasiswa yang menjadi anggota koperasi menikmati pelbagai faedah antaranya diskaun buku, bahan pembelajaran dan program sekolah memandu sehingga 10 peratus. Dari segi pengurusan sumber manusia, TMU Co- op mempunyai tujuh orang pekerja sepenuh masa dan 106 pekerja separuh masa yang sebahagiannya adalah anggota koperasi sendiri. TMU Co-op tidak mengagihkan dividen kepada anggota, sebaliknya keuntungan yang diperoleh digunakan semula untuk meningkatkan perkhidmatan dan manfaat kepada mahasiswa. Dari aspek pentadbiran, TMU Co-op mempunyai seramai 21 Anggota Lembaga Pengarah termasuk pensyarah dan mahasiswa yang dipilih secara demokrasi secara tahunan bagi memastikan keterlibatan aktif dalam pengurusan koperasi. Koperasi juga menubuhkan Jawatankuasa Mahasiswa TMU Co-op yang dikenali sebagai TUMGI (Tsumugi) dan dianggotai secara sukarela oleh mahasiswa dari pelbagai peringkat pengajian. Matlamat TUMGI bukan sahaja berperanan menjadi saluran komunikasi, malah menjadi platform hebahan dan promosi mengenai kebaikan berkoperasi serta memperkasakan mahasiwa dengan ilmu pengurusan dan kepimpinan koperasi
Model koperasi universiti di Jepun yang dianggotai, dibangunkan dan digerakkan oleh mahasiswa sendiri selaku anggotanya menawarkan contoh terbaik bagaimana koperasi mampu beroperasi secara mandiri dan berdaya tahan. Dengan mengadaptasi pendekatan yang diterapkan oleh NFUCA dan TMU Co-op , koperasi universiti di Malaysia boleh memperluas peranannya melangkaui jualan buku dan kedai serbaneka dengan menawarkan program sokongan menyeluruh seperti bantuan pembelajaran, penginapan, latihan industri dan peluang kerjaya. Dengan mengambil inspirasi daripada kejayaan koperasi universiti di Jepun, ANGKASA memainkan peranan penting dalam memperkukuh gerakan koperasi di Malaysia menerusi inisiatif advokasi dasar, latihan kemahiran, bimbingan serta jalinan kerjasama strategik dan rangkaian perniagaan dalam sektor berimpak tinggi. Keupayaan koperasi universiti dalam menawarkan sokongan holistik kepada mahasiswa bukan sahaja dapat meningkatkan kesejahteraan anggotanya, bahkan memperkukuh daya saing institusi koperasi dalam landskap pendidikan tinggi negara. Koperasi universiti ternyata mempunyai potensi besar untuk berkembang sebagai pemacu pembangunan ekonomi dan penggerak perubahan. Dalam era digitalisasi, koperasi universiti perlu melangkah lebih jauh dengan menerapkan pendekatan inovatif dan strategi pengurusan yang lebih mampan. Persoalannya, sejauh mana koperasi universiti mampu melonjakkan peranannya bagi memenuhi keperluan anggota dalam jangka panjang? Jawapannya terletak pada keberanian untuk berinovasi, keterbukaan untuk bekerjasama dan komitmen untuk menjadikan koperasi universiti sebagai institusi yang mandiri, progresif serta responsif terhadap cabaran semasa.
bagi membentuk komuniti inklusif yang menyokong semua lapisan warganya.
Kedai buku serbaneka TMU Co-op yang dilengkapi dengan buku rujukan, alat tulis, makanan segera dan pelbagai perkhidmatan dalam kampus.
Papan hebahan informasi TMU Co-op .
Made with FlippingBook. PDF to flipbook with ease