REAKSI 8
Wadah
SISIPAN KHAS KOSISWA
“Pemerkasaan budaya berilmu boleh memperkasakan modal insan dalam kalangan anggota koperasi. Generasi muda koperasi khususnya mahasiswa sewajarnya membawa KOSISWA kepada satu tahap yang boleh membanggakan negara, sekali gus menjadi salah satu sektor penting dalam pembangunan bangsa dan negara. Pembangunan modal insan disifatkan menjurus kepada pemerkasaan insan sebagai individu dan merujuk kepada memperkasakan insan itu sendiri. Sekiranya modal insan yang dilahirkan tidak mengambil kira akan kualiti, koperasi tidak dapat membawa inovasi dan melakukan transformasi sebagaimana yang diharapkan dalam mewujudkan pemikiran strategik dan daya saing global.”
Timbalan Presiden ANGKASA Dr. Mohd. Azlan Yahya
“KOSISWA telah bertapak pada landasan yang tepat sebagai kesinambungan keterlibatan mahasiswa di institusi pengajian tinggi awam mahu pun swasta selepas diwujudkan lebih dua dekad. Kejayaan sebagai ‘role model’ pembabitan pelajar dan tenaga pengajar di sekolah menengah negara ini dicontohi dunia dan diharapkan dapat diteruskan di semua institusi pengajian tinggi. Selain menjadi ‘batu loncatan’ dunia perdagangan serta keusahawanan koperasi, KOSISWA boleh menjadi permulaan baik kepada kepimpinan dan pengurusan organisasi. Harapan saya, semoga KOSISWA Malaysia dapat mencontohi koperasi siswa luar negara seperti Jepun, Korea, England dan Amerika. Pendedahan dan ‘bench marking’ serta penimbaan ilmu, kemahiran, pengalaman, sikap serta jati diri koperasi tulen tentunya dapat memantap dan memperkasakan lagi sumbangan KOSISWA untuk koperasi, institusi yang diwakili, negara dan antarabangsa. Tentunya ini akan menjadi sumbangan bermakna merealisasikan Tahun Koperasi Antarabangsa (IYC) 2025.”
Anggota Lembaga ANGKASA Datuk Haji Mohamad Ali Hasan
“Penubuhan KOSISWA antara lain bermatlamat untuk melahirkan mahasiswa yang cenderung kepada aktiviti perniagaan dan keusahawanan. Penglibatan mahasiswa dalam bidang ini diharapkan dapat memberi peluang kepada mereka untuk terus maju dan meneruskan kesinambungan berkoperasi apabila tamat pengajian kelak di samping dapat menyuburkan bakat usahawan melalui koperasi siswa. Justeru, sudah tiba masanya KOSISWA membuat anjakan paradigma dengan memperluas aktiviti berteraskan perniagaan dalam usaha mewujudkan kepelbagaian aktiviti ekonomi sosial sekali gus dapat memberikan pendedahan yang lebih meluas kepada pelajar.”
Anggota Lembaga ANGKASA Dato’ Haji Kamarudin Ismail
“Sektor perniagaan dalam KOSISWA tidak terkecuali mengaplikasikan aspek pendigitalan dalam pengurusan dan pembangunan modal insan mahasiswa. Usaha meningkatkan keupayaan pendigitalan ini mencakupi aspek kemahiran, pengurusan operasi dan kompetensi yang diperlukan anggota koperasi bersesuaian dengan perkembangan teknologi dari semasa ke semasa. Penguasaan penggunaan platform digital seharusnya menjadi faktor pendorong kepada koperasi untuk mengadaptasi keusahawanan digital supaya dapat meluaskan lagi perniagaan, selain dapat bersaing dengan entiti perniagaan yang lain.”
Anggota Lembaga ANGKASA Dato’ Haji Che Mohd Shukree Che Isa
Made with FlippingBook. PDF to flipbook with ease