KOPERASI 14
MEI 2024
MPKK Bilangan 1/2024: Beri Fokus Kepada Hala Tuju Pembangunan Koperasi
Menteri KUSKOP, YB Datuk Ewon Benedick (tengah) mempengerusikan MPKK Bilangan 1/2024 di Menara Kembar Bank Rakyat, Kuala Lumpur pada 13 Mei 2024. Turut bersama ialah Timbalan Menteri KUSKOP, YB Dato' Ramanan Ramakrishnan (kanan) dan Ketua Setiausaha KUSKOP, YBhg. Dato' Sri Suriani Dato' Ahmad (tiga dari kanan).
Oleh RAHMAT MOHD. DID
Mesyuarat Koperasi Kebangsaan (MPKK) Bilangan 1/2024 yang berlangsung di Menara Kembar Bank Rakyat, Kuala Lumpur pada 13 Mei 2024 memberi fokus kepada hala tuju pembangunan gerakan koperasi negara serta usaha mempertingkatkan kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Negeri. Majlis Perundingan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), YB Datuk Ewon Benedick menyatakan, usaha mempertingkatkan kerjasama kedua-dua pihak penting bagi memastikan pembangunan gerakan koperasi negara kekal relevan sebagai pemacu pertumbuhan sosioekonomi negara. Beliau berkata, sokongan padu yang diberikan beberapa Kerajaan Negeri terhadap pembangunan gerakan koperasi di peringkat negeri masing-masing wajar diberi pujian melalui penawaran insentif kepada kemajuan gerakan. "Sebagai contoh, Kerajaan Negeri Johor telah memperuntukkan insentif sebanyak RM300,000 dengan sasaran sebanyak 20 koperasi, manakala Kerajaan Negeri Perak pula telah memperuntukkan insentif sebanyak RM620,000 dengan sasaran lebih 100 koperasi. Kerajaan Negeri Melaka turut memperuntukkan sebanyak RM100,000 dengan sasaran 15 koperasi, iaitu masing-masing bakal menerima manfaat kepada usaha pembangunan tersebut. Justeru, saya amat berharap agar Kerajaan Negeri yang lain juga dapat bersama-sama membantu pembangunan gerakan koperasi di negeri masing-masing untuk meningkatkan sosioekonomi masyarakat Malaysia secara keseluruhan," ujarnya.
Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah (dua dari kanan) mewakili ANGKASA dalam MPKK Bilangan 1/2024.
Dalam mesyuarat yang dipengerusikan oleh YB Datuk Ewon itu, beliau turut menyentuh mengenai penekanan terhadap penguasaan ekonomi digital dengan lebih meluas dalam kalangan koperasi. “Melalui penguasaan penggunaan platform digital, koperasi dapat mempertingkatkan kualiti penawaran produk dan perkhidmatan seterusnya meluaskan empayar perniagaan koperasi mereka,” katanya. Beliau juga turut mengucapkan tahniah kepada agensi dan gerakan koperasi di negara ini kerana berjaya mencatatkan perolehan sebanyak RM64 bilion pada tahun 2023, sekali gus melebihi sasaran RM60 bilion yang ditetapkan pada 2025 dalam Dasar Koperasi Malaysia 2030 (DaKoM 2030). Hadir sama dalam mesyuarat tersebut ialah Timbalan Menteri KUSKOP, YB Dato’ Ramanan Ramakrishnan, Ketua Setiausaha KUSKOP, YBhg. Dato’ Sri Suriani Dato’ Ahmad, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Keusahawanan) KUSKOP, Datuk Haji Zamri Salleh, Pengerusi Lembaga Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Leftenan Jeneral Datuk Ahmad Norihan Jalal Bersara, Ketua Pegawai Eksekutif SKM, Tuan
Rusli Jaafar, Ketua Pengarah Institut Koperasi Malaysia (IKMa), Datuk Mohd Ali Mansor, Ahli Majlis yang terdiri daripada 35 orang mewakili 14 Exco Kerajaan Negeri yang memegang portfolio koperasi, sembilan wakil gerakan koperasi, tiga wakil akademik dan dua wakil industri. Kepimpinan ANGKASA yang hadir ialah Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah dan Timbalan Presiden ANGKASA, Dr. Mohd Azlan Yahya. Timbalan Presiden ANGKASA, Dr. Mohd Azlan Yahya sedang membentang kertas makluman Penganjuran Kongres Koperasi Kebangsaan 2024.
Made with FlippingBook. PDF to flipbook with ease