WADAH PELANCAR EDISI MEI 2024

9

11 th ASIA PACIFIC COOPERATIVE MINISTERS’ CONFERENCE 28-30 April 2024 Laut Mati, Jordan ICA-AP Mahu Semua Negara Anggota Jayakan Tahun Koperasi Antarabangsa 2025

Menteri Pertanian Jordan, Tuan Yang Terutama Khaled Mousa Shehadeh Alhuneafat (duduk, tiga dari kiri) bergambar kenangan bersama barisan Ahli Lembaga Ikatan Koperasi Antarabangsa – Asia dan Pasifik (ICA-AP) yang diketuai oleh Presidennya, Dr. Chandrapal Singh Yadav (duduk, tiga dari kanan). Turut bersama, Presiden ICA, Mr. Ariel Guarco (dua dari kanan) dan Ketua Pengarah ICA yang baharu, Mr. Jeroen Douglas (duduk, kanan sekali).

Oleh NOR LELA ABDUL GHANI

Mesyuarat Lembaga Serantau Ikatan Koperasi Antarabangsa - Asia dan Pasifik (ICA-AP Regional Board Meeting) yang berlangsung secara hibrid di Crowne Plaza Jordan, Laut Mati, Jordan pada 27 April 2024 memberi tumpuan terhadap penglibatan seluruh negara anggota untuk menjayakan sambutan Tahun Koperasi Antarabangsa 2025. Bertemakan `Koperasi Membina Kesejahteraan Sejagat' (Cooperatives Build a Better World) , tahun koperasi antarabangsa diisytiharkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk disambut pada tahun 2025 buat kali kedua selepas sambutan ini diadakan pada 2012. Sambutan itu menggalakkan semua negara anggota dan pihak berkepentingan untuk mengambil peluang mempromosikan koperasi serta meningkatkan kesedaran terhadap sumbangan gerakan tersebut kepada agenda Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 2030 yang berperanan meningkatkan pembangunan sosial dan ekonomi secara keseluruhan. Sehingga akhir 2023, ICA-AP mempunyai 107 keanggotaan koperasi mewakili 29 buah negara. Terdahulu, Menteri Pertanian Jordan, Tuan Yang Terutama Khaled Mousa Shehadeh Alhuneafat dalam ucaptamanya mengalu-alukan kehadiran anggota lembaga ICA-AP ke Jordan bagi penyertaan Persidangan Menteri-Menteri Koperasi Asia Pasifik ke-11 (APCMC) yang berlangsung dari 28 hingga 30 April 2024. Seramai 10 Anggota Lembaga telah hadir ke mesyuarat itu yang dipengerusikan oleh Presiden ICA-AP, Dr. Chandrapal Singh Yadav. Kepimpinan ANGKASA yang turut hadir ialah Anggota Lembaga ANGKASA (wakil Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi), Encik Azizul Alias yang mewakili Presiden ANGKASA merangkap Naib Presiden ICA-AP, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan ANGKASA, Dato’ Haji Abdullah Haji Jusoh. Mesyuarat itu telah membentangkan sebanyak 15 agenda termasuk mengesahkan Minit Mesyuarat yang berlangsung di Manila,

Mesyuarat Lembaga Serantau ICA-AP berlangsung secara hibrid di Crowne Plaza Jordan, Laut Mati, Jordan pada 27 April 2024.

Filipina pada 6 November 2023, pembentangan aktiviti Jawatankuasa Wanita dan Jawatankuasa Belia, keanggotaan dan laporan kewangan ICA-AP, sambutan Tahun Koperasi Antarabangsa 2025, Pelan Strategik ICA-AP 2025-2030, Perhimpunan Agung ICA di India serta perbincangan mengenai perkara berbangkit dan perniagaan berpotensi untuk koperasi di rantau Asia Pasifik. Mesyuarat turut membentangkan kerjasama antara ICA-AP dengan Jawatankuasa Perdagangan dan Perniagaan ICA-AP yang dipengerusikan Presiden ANGKASA dalam meneroka peluang untuk menjadikan gerakan koperasi sebagai platform pemudah cara pengurusan pembekalan beras antara koperasi rantau Asia Pasifik yang dapat membantu menangani isu bekalan beras bagi memenuhi keperluan anggota dan masyarakat sekali gus memperluas pasaran perniagaan koperasi. Kepimpinan ANGKASA turut bertemu buat pertama kalinya dengan Ketua Pengarah ICA yang baharu, Mr. Jeroen Douglas. Mesyuarat Anggota Lembaga Serantau ICA-AP akan datang bakal diadakan di Vietnam pada Julai 2024.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan ANGKASA, Dato’ Haji Abdullah Haji Jusoh menyampaikan cenderamata kepada Mr. Jeroen. Turut bersama, Anggota Lembaga ANGKASA (wakil Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi), Encik Azizul Alias.

Made with FlippingBook. PDF to flipbook with ease