WADAH PELANCAR EDISI KHAS MAPA 2024

20

DaKoM 2030: Kompas Gerakan Koperasi Menggapai Kecemerlangan

Encik Azizul Alias Anggota Lembaga ANGKASA Setiausaha Bahagian Pembangunan Koperasi, Penjaja dan Peniaga Kecil Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP)

G erakan koperasi telah mula bertapak di Malaysia sejak tahun 1922 dan penubuhannya adalah sebagai ikhtiar kerajaan pada ketika itu bagi membantu menyelesaikan masalah petani di luar bandar yang ditindas orang tengah di bawah sistem padi kunca, selain daripada menyediakan solusi alternatif kepada penjawat awam di kawasan perbandaran yang dibelenggu masalah keberhutangan serius. Usia gerakan koperasi telah melewati lebih 100 tahun. Justeru, kita tidak boleh menyangkal bahawa gerakan koperasi di Malaysia telah membangun dengan pesat dan berjaya mencipta pelbagai kejayaan di peringkat nasional mahupun di persada antarabangsa. Kini, gerakan koperasi telah berjaya menceburi pelbagai sektor ekonomi utama negara seperti sektor perkhidmatan kewangan, pemborongan dan peruncitan, perladangan, pembangunan hartanah dan industri pembinaan serta pelancongan, penjagaan diri dan kesihatan dengan menjana nilai perolehan semasa berjumlah RM64.5 bilion, iaitu suatu keberhasilan yang terbaik buat gerakan koperasi setakat ini. Apa yang pastinya, kejayaan gerakan koperasi negara pada hari ini bukanlah suatu yang mudah diraih bak kata bidalan 'Yang bulat tidak datang bergolek, Yang pipih tidak datang melayang.' Perkara itu terhasil berkat daripada pemuafakatan 15,809 buah koperasi yang berdaftar dengan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) sehingga kini dan dokongan berterusan pihak kerajaan terhadap sektor ini yang berpotensi untuk menyumbang ke arah pembangunan sosioekonomi. Jika kita menekuni sejarah pembangunan koperasi di negara ini, evolusi koperasi dinukilkan bermula dengan pembangunan ekonomi yang direncanakan oleh kerajaan di bawah Pelan Malaysia Pertama (1966-1970) yang

memberi fokus kepada pembangunan luar bandar. Koperasi telah dikenal pasti sebagai satu entiti sosioekonomi yang berjaya meningkatkan kesejahteraan anggotanya melalui penglibatan aktiviti ekonomi dan keusahawanan. Gerakan koperasi juga dilihat sebagai wahana merapatkan jurang ketidakseimbangan sosioekonomi rakyat khususnya di kawasan luar bandar sekaligus membantu menoktahkan kemiskinan tegar, yang natijahnya adalah bagi mewujudkan keadilan sosial berteraskan kesaksamaan ekonomi antara kaum dalam sebuah negara yang makmur, sejahtera dan progresif. Keyakinan kerajaan terhadap gerakan koperasi juga telah membawa kepada penubuhan entiti tadbir urus, kawal selia gerakan koperasi selain daripada membangunkan kapasiti modal insan kepimpinan koperasi. Begitu juga dengan penggubalan dasar dan akta perundangan khusus berkaitan koperasi. Sebagai contohnya, pada tahun 1956, kerajaan telah menubuhkan Maktab Kerjasama Malaysia (MKM) yang kini dikenali sebagai Institut Koperasi Malaysia (IKMa) bagi meningkatkan kompetensi anggota kepemimpinan koperasi. Selanjutnya, penubuhan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) pada tahun 1971, adalah terhasil daripada resolusi Kongres Kerjasama Kedua. Pada 23 Mei 1996, ANGKASA dengan rasminya telah diangkat sebagai sebuah koperasi yang mewakili gerakan koperasi seluruh Malaysia. Pada tahun 2008, Jabatan Pembangunan Koperasi (JPK) telah diperbadankan dan dikenali sebagai Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM). Langkah ini diambil oleh kerajaan bagi merangsang pembangunan koperasi ke arah yang lebih kukuh dan teratur berdasarkan tata kelola serta prinsip utama koperasi. Sejak tahun 2002, kerajaan telah menggubal tiga dasar khusus berkaitan koperasi di peringkat nasional. Dasar Koperasi Negara 2002-2010 (DKN I) telah digubal bagi memperkemas struktur

akauntabiliti dan kawal selia pihak berautoriti iaitu SKM ke atas semua peringkat koperasi asas, menengah dan puncak ( apex ). Dasar ini telah berjaya menyediakan persekitaran yang kondusif bagi perkembangan gerakan koperasi secara teratur dan tersusun. Seterusnya, Dasar Koperasi Negara 2011- 2020 (DKN II) digubal dengan matlamat untuk meningkatkan sumbangan ekonomi sektor koperasi kepada pembangunan negara dan telah berjaya merangsang penyertaan koperasi dalam sektor ekonomi bernilai tinggi dan sektor perkhidmatan kewangan. Sebagai contoh, Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Berhad (Bank Rakyat) dan Koperasi Co-opBank Pertama Malaysia Berhad (Co-opBank Pertama) yang kini merupakan penyumbang terbesar, iaitu hampir 90 peratus kepada perolehan sektor koperasi di peringkat nasional. Kerajaan juga telah melancarkan Pelan Transformasi Koperasi Malaysia (TransKoM) 2021-2025 pada tahun 2021. TransKoM 2021-2025 merupakan dokumen transformasi strategik yang menggariskan matlamat, sasaran dan langkah strategik serta program utama/aktiviti yang akan dilaksanakan bagi memperkasakan gerakan koperasi di Malaysia. Beberapa kejayaan TransKoM 2021-2025 adalah penubuhan enam federasi koperasi, iaitu perkhidmatan kewangan, pemborongan dan peruncitan, pertanian dan industri asas tani, hartanah dan pembinaan, pelancongan, penjagaan diri dan kesihatan serta perladangan. Matlamat utama penubuhan federasi tersebut adalah bagi meningkatkan kapasiti perniagaan koperasi asas pada skala yang lebih besar menerusi pengukuhan kerjasama ekonomi antara koperasi agar gerakan koperasi dalam sektor ekonomi berdaya maju dan berupaya menjana pendapatan koperasi yang lebih tinggi.

Made with FlippingBook. PDF to flipbook with ease