WADAH PELANCAR EDISI KHAS MAPA 2024

25

Sektor Inovasi dan Teknologi

Koperasi Komuniti Usahawan Digital Sarawak Berhad (SARADEC) SARADEC Sasar Generasi Muda Celik IT dalam Bisnes

Oleh: Wan Adlina Wan Ab. Aziz

K emajuan pesat dalam industri berasaskan digital multimedia banyak menyaksikan perubahan dan perkembangan yang serba pantas khususnya dalam pembangunan teknologi maklumat (IT). Selari dengan perkembangan tersebut, teknologi digital juga digunakan secara meluas dalam bidang keusahawanan untuk melancar dan mengembangkan perniagaan termasuklah dalam sektor koperasi. Koperasi Komuniti Usahawan Digital Sarawak Berhad (SARADEC) mengambil peluang menerusi manfaat dan kelebihan yang dimiliki dalam industri digital multimedia dengan menggalakkan penglibatan generasi muda untuk berkecimpung dalam lapangan perniagaan khususnya dalam sektor koperasi. Kelebihan tersebut terbukti mampu meluaskan jaringan perniagaan sama ada di peringkat tempatan mahupun global menerusi alam siber. Menurut Pengerusinya, Awangku Hafizi Awang Azahari, SARADEC berpendirian mahu melihat masyarakat di negeri Bumi Kenyalang itu terlibat secara lebih aktif dalam industri teknologi digital. Katanya, SARADEC turut berperanan membantu anggota dan masyarakat menerusi pendekatan IT yang dilihat sebagai antara faktor penekanan dalam usaha koperasi untuk meningkatkan pendapatan anggota dan komuniti setempat. Berteraskan visi untuk melahirkan lebih ramai usahawan dalam kalangan anggota dan rakan strategik, SARADEC kini memiliki keanggotaan seramai 42 orang anak jati Sarawak menjalankan pelbagai perniagaan untuk memenuhi keperluan ekonomi melalui pendekatan IT. Selain itu, SARADEC juga bertindak sebagai pemain utama dalam memperkasakan keusahawanan digital serta mewujudkan rangkaian usahawan dalam bidang teknologi, pendidikan digital, keusahawanan dan media.

Kebanyakan anggota SARADEC memilki kemahiran khusus dalam industri multimedia meliputi aspek kemahiran reka bentuk, pemasaran dan penjenamaan produk. Keistimewaan itu memberi peluang kepada SARADEC untuk menyebarluaskan jaringan kerjasama rakan strategik dengan beberapa agensi dan organisasi tertentu seperti Persekutuan Perniagaan Sarawak, Dewan Usahawan Bumiputera Sarawak (Dewan Muda), Persatuan Seramik Bahagian Kuching (PERSERA), Sarawak Entrepreneur Association (SEA), Politeknik Malaysia Kuching Sarawak, Koperasi Belia Inovatif Sarawak Berhad (KOBIS) dan Koperasi Guru Bumiputera Sarawak Berhad (KOBAGUS). Awangku Hafizi berkata, SARADEC akan memastikan segala usaha dan inisiatif membangunkan koperasi mampu membuahkan hasil dan berjaya mencapai sasaran yang ditetapkan sekali gus mahu melihat lebih ramai golongan muda menggunakan teknologi digital secara lebih menyeluruh sama ada dalam perniagaan mahupun aktiviti semasa. “Sejak ditubuhkan pada 5 Januari 2018, SARADEC kini aktif dengan pelbagai program melibatkan pembentangan kertas kerja menerusi kursus, bengkel, seminar dan latihan intensif. Pelbagai topik yang diberi tumpuan antaranya adalah pengurusan kewangan, pemasaran, jualan, inovasi, kemahiran pengurusan, motivasi, perakaunan, asas membina laman web, pengurusan acara, hartanah, katering dan e-commerce . Saya percaya, dengan kekuatan industri digital menerusi kecerdasan aktiviti digital, mereka boleh mencabar mental untuk melakukan perkara yang lebih besar seterusnya memberi impak kepada ekonomi dunia,” ujarnya.

Peserta mengikuti Bengkel Pengurusan Produktiviti & Pemantapan Perniagaan Melalui Aplikasi Smart Phone anjuran SARADEC.

Perbincangan bersama anggota lembaga dan kakitangan koperasi sentiasa menjadi keutamaan sebelum pelaksanaan sesuatu aktiviti.

Koperasi Komuniti Usahawan Digital Sarawak Berhad (SARADEC)

Retail Shop, 9, GR Floor, DB/RS 9, Jalan Matang, Kubah Ria Baru, 93050 Kuching, Sarawak

Alamat

+6016 -5569215

No. Telefon

E-mel

secretary@saradec.com.my

www.saradec.com.my

Laman Web

Made with FlippingBook. PDF to flipbook with ease