27
Sektor Pelancongan, Penjagaan Diri dan Kesihatan
Koperasi Homestay D’Pelandok Best Port Dickson Berhad Homestay D’Pelandok Tawar Pelancong Pengalaman Indah Duduk di Kampung
Oleh: Rahmat Mohd. Did
P elancong dari seluruh dunia yang mahu merasai sendiri pengalaman duduk di kampung bersama keluarga angkat sambil mempelajari keunikan budaya masyarakat tempatan pasti pulang dengan kenangan manis apabila mereka mengikuti pakej pengalaman homestay yang ditawarkan Koperasi Homestay D’Pelandok Best Port Dickson Berhad. Menurut Pengerusinya, Encik Mistam Taib, homestay yang terletak di Kampung Teluk Pelanduk, Pasir Panjang, Negeri Sembilan itu telah menerima tetamu dari pelbagai negara.
“Pelancong yang menginap di sini bukan sahaja dalam kalangan warga tempatan, malah ada yang datang dari luar negara seperti China. Pada bulan Februari tahun 2024, kami telah menerima tetamu seramai 50 orang dari Zhejiang, China dan mereka akan kembali pada bulan Julai nanti kerana amat berpuas hati dengan pakej yang kami tawarkan,” katanya. Koperasi yang pernah memenangi Anugerah Gold Awards 2019 bagi kategori Best Homestay Experience daripada Majlis Pelancongan Malaysia (MTC) itu menyediakan pelbagai aktiviti menarik untuk tetamu antaranya pengalaman mengenali tarian, budaya dan makanan tradisional, lawatan ke pelbagai tempat menarik di sekitar Sungai Linggi, jungle trekking di Hutan Simpan Tanjung Tuan dan banyak lagi. Bercakap tentang cabaran, Encik Mistam menyatakan bahawa selain bilangan tetamu yang semakin beransur pulih setelah terkesan dengan pandemik COVID-19, pengusaha homestay juga berdepan persaingan dengan homestay yang tidak berdaftar. “Isu ini telah terlalu lama berlaku dan masih tiada jalan penyelesaian yang tuntas. Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) masih tiada garis panduan yang jelas berhubung isu ini menyebabkan pengusaha homestay tidak berdaftar semakin bermaharajalela. Sebagai contoh, kawasan perumahan taman tidak boleh dijadikan homestay , namun ini yang sering kali berlaku apabila mereka tidak berdaftar dengan PBT tetapi dengan syarikat luar yang lain. Mereka tidak membayar cukai kepada kerajaan dan apabila terjadi kes-kes tidak diingini dan laporan tentang salah laku daripada masyarakat setempat, tempiasnya akan terkena kepada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) secara khusus dan pengusaha homestay yang berdaftar secara am,” jelasnya. Beliau turut menyeru pihak kerajaan agar dapat melaksanakan mekanisme yang berkesan untuk
Pengerusi Koperasi Homestay D’Pelandok Best Port Dickson Berhad, Encik Mistam Taib.
menyelesaikan isu tersebut secepat mungkin agar industri pelancongan homestay dapat dilestarikan dengan lebih pesat dan bukan sekadar rumah sewa semata-mata pada masa hadapan. “Saya juga berharap lebih banyak pengusaha homestay lebih-lebih lagi koperasi di seluruh negara dapat merpergiatkan program pengalaman homestay agar lebih dikenali ramai. Selain daripada penginapan, tetamu terutama pelancong dari luar negara boleh diperkenalkan dengan budaya setempat dan pengalaman yang eksklusif di satu-satu tempat tersebut sahaja. Kerajaan juga bertanggungjawab mempromosikan program pengalaman homestay ini sehingga boleh dikenali di seluruh dunia,” ujarnya. Ditubuhkan pada 25 September 2013, Koperasi Homestay D’Pelandok Best Port Dickson Berhad dianggotai seramai 56 orang penduduk Kampung Teluk Pelanduk. Koperasi Homestay D'Pelandok Best Port Dickson Berhad
Pondok unik di salah satu penginapan Homestay D’Pelandok Best.
Kampung Teluk Pelanduk, Batu 12, Jalan Pantai, 71050 Port Dickson, Negeri Sembilan +6013-6206708 homestaydpelandokbest@ gmail.com dpelandok.myhomestays.my/ website/index
Alamat
No. Telefon E-mel Laman Web
Tetamu dari Zhejiang, China yang hadir ke Homestay D’Pelandok Best pada bulan Februari 2024.
Made with FlippingBook. PDF to flipbook with ease