Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Koperasi Malaysia SEKAPUR SIRIH Datuk Nordin Salleh
Assalamualaikum dan salam sejahtera. Perubahan yang berlaku dalam landskap kehidupan berasaskan norma baharu ekoran pandemik COVID-19 telah banyak merubah dimensi pemikiran dan perspektif termasuklah pendekatan tadbir urus khususnya dalam sektor koperasi. Sehubungan dengan itu, Garis Panduan Pengurusan Mesyuarat Agung Koperasi telah dikeluarkan oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) untuk memastikan pelaksanaan Mesyuarat Agung Koperasi dapat terus dijalankan. Menerusinya, penganjuran Mesyuarat Agung Negeri (MAN) 2021 akan dapat mengekalkan momentum yang sama iaitu membentang, membincang dan meluluskan kesemua agenda sebagaimana yang ditetapkan dalam Peraturan-Peraturan Koperasi 2010 dan Undang-Undang Kecil Koperasi. Garis panduan pengurusan mesyuarat semasa pandemik ini bukan sahaja membolehkan koperasi menjalankan kewajiban mereka malah ia juga merupakan satu usaha bagi memastikan tahap keselamatan anggota koperasi terus terjaga sepertimana arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Bagi memastikan kelancaran mesyuarat, dokumentasi sokongan dan sistem komunikasi dua hala yang berlangsung melalui aplikasi tele-conferencing itu juga perlulah sentiasa dalam keadaan lengkap dan baik, jelas untuk didengar dan mudah untuk dibaca oleh semua. Saya amat yakin melalui kaedah norma baharu ini, MAN 2021 akan dapat berjalan mengikut agenda yang ditetapkan oleh Undang-Undang Kecil Koperasi. Saya juga yakin dengan pengalaman, tahap kepakaran dan kemudahan prasarana teknologi digital yang dimiliki dan disediakan oleh ANGKASA akan berupaya memastikan perjalanan MAN 2021 diurus dengan lebih cemerlang. Selamat bersidang kepada semua perwakilan bersama iringan doa dan harapan agar gerakan koperasi di negara kita terus maju demi kemakmuran sosioekonomi anggota, masyarakat dan negara. Terima kasih.
Datuk Nordin Salleh Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Koperasi Malaysia
4
PELANCAR Edisi Khas
Made with FlippingBook. PDF to flipbook with ease