WADAH PELANCAR EDISI MAN 2021

SEULAS PINANG Dato’ Abdul Fattah Abdullah

Presiden ANGKASA

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Pelaksanaan Mesyuarat Agung Negeri (MAN) 2021 secara maya menjadi petunjuk dan bukti terhadap tahap kesediaan serta keupayaan koperasi untuk terus berperanan walau dalam apa juga situasi. Pastinya cabaran dalam melengkapkan agenda dan perjalanan MAN 2021 sangat besar, namun semuanya mampu direalisasikan dengan lancar dan berkesan jika semua pihak dapat mengadaptasi dan menguasai pembaharuan dalam teknologi maklumat berasaskan Garis Panduan Pengurusan Mesyuarat Agung yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM). Saya yakin dengan kesungguhan serta keupayaan para perwakilan untuk bersama-sama mewarnai dan menjayakan MAN 2021. Pastinya mesyuarat pada tahun ini akan menempa satu sejarah baharu selain menjadi simbol percapaian terhadap aspirasi kerajaan untuk memartabatkan pembangunan digital dalam gerakan koperasi. Walaupun perniagaan koperasi kini sedang berhadapan dengan ketidaktentuan ekonomi akibat pandemik COVID-19, kita perlu terus berani untuk bergerak ke hadapan secara berjemaah bagi menzahirkan kekuatan dan kestabilan yang lebih jitu. MAN 2021 juga boleh dijadikan sebagai platform koperasi untuk berkongsi pandangan serta idea bagi mengukuhkan lagi peranan Jawatankuasa Perhubungan ANGKASA Negeri (JPAN). Ia sekali gus dapat membantu memperkasakan peranan JPAN sebagai pusat pengembangan kefahaman dan pengamalan prinsip koperasi selain dapat membentuk sebuah jaringan yang lebih kuat bagi mengukuhkan rantaian nilai dan pengeluaran koperasi. Bersama kita mendoakan kesejahteraan gerakan koperasi agar terus maju dan berjaya. Segalanya demi kemakmuran bersama dan kelestarian sosioekonomi seluruh anggota koperasi, masyarakat serta negara. Selamat bersidang. Terima kasih.

Dato’ Abdul Fattah Abdullah Presiden ANGKASA merangkap Presiden ASEAN Co-operative Organization (ACO)

Edisi Khas PELANCAR

5

Made with FlippingBook. PDF to flipbook with ease